Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Khairul Hafiz belum mahu mengalah

KUALA LUMPUR: Bekas raja pecut Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan masih mengintai peluang untuk mencetuskan impak di temasya itu tahun depan apabila ia berlangsung di Bangkok, Thailand.

Atlet berusia 26 tahun itu, berkata fokus dia kini adalah untuk konsisten mencatat masa bawah 10.30 saat (s) bagi memastikan dia kekal relevan dalam kalangan pelari pecut terbaik negara.

“Tahun lalu, tahun yang agak baik buat saya. Walaupun saya tak berpuas hati dengan catatan masa itu (10.34s) tetapi berlari tanpa kecederaan membuatkan saya berasa lebih bersemangat.

“Sekarang ini saya sasar untuk buat lebih bagus mungkin boleh turun ke 10.33, 10.30 atau 10.29s dan biarpun peluang untuk ke Sukan Olimpik sudah tertutup kerana kita ada Muhammad Azeem Fahmi tetapi itu bukan penghalang untuk saya mencatatkan masa lebih baik.

“Fokus saya sekarang adalah untuk layak ke Sukan SEA dan saya mahu menghadiahkan pingat buat negara,” katanya yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.18s bagi acara 100m ketika melakukannya di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada 2016.

Sebagai rekod, Khairul Hafiz pernah memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara 100m dengan catatan 10.38s.

Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan Olahraga negara, Robert Ballard memaklumkan bahawa setiap atlet perlu melepasi piawaian yang ditetapkan jika ingin menyertai kejohanan di luar negara.

Bagi atlet pecut, mereka perlu mencatatkan masa sekitar 10.3s dengan Khairul Hafiz bersedia menyahut cabaran itu.

“Ia satu cabaran buat saya. Ia bagus juga selain tak membazirkan duit yang dilaburkan kepada atlet, ia juga meletakkan saya dalam kedudukan sasaran 10.3s

“Andai melepasi masa itu, saya boleh terus perbaiki lagi dan lagi,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN 100PLUS SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2024

Majlis Penyampaian Sumbangan 100PLUS sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis bertempat di MSN, Bukit Jalil. Seramai 9 orang atlet yang tersenarai dipilih sebagai penerima sumbangan pada tahun 2024.

MSN telah berkolaborasi bersama F&N Beverages Sdn. Bhd. melalui 100PLUS dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 untuk memberi sumbangan kepada atlet-atlet negara seterusnya dapat meringankan beban bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Program CSR ini merupakan tahun ketiga diadakan oleh 100 PLUS dengan kerjasama YAKEB memberi sumbangan kepada bekas-bekas atlet sahaja dan tahun ini merupakan kali pertama pihak 100PLUS menyalurkan sumbangan kepada atlet-atlet dalam program MSN.

Turut hadir sama, YBrs. En Encik Norazrin bin Norsyam Yee, Pengarah Penglibatan Kerajaan & Industri Fraser & Neave Holdings Bhd.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS KHATAM ALQURAN 1445H PERINGKAT MSN 2024

Demi memupuk rasa cintakan Al-Quran, Program Tadarus Al-Quran peringkat Majlis Sukan Negara sempena ramadan 1445H yang bermula dari tarikh 13 hingga 27 Mac, telah tiba ke penghujungnya.

Sebagai penutup program, satu majlis khatam Al-Quran diadakan di Surau Al-Faizin Majlis Sukan Negara, pada 4 April menyaksikan kehadiran 67 peserta khatam Al-Quran yang terdiri daripada pegawai dan anggota dari Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Majlis yang dipimpin oleh Pegawai Agama Msn, Al-fadhil Ustaz Arfah Hosnani, turut dihadiri Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Encik Abdul Rashid Yaakub serta barisan pengurusan tertinggi jabatan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aniq belum cukup ummph!

PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) akan melihat semula pendekatan lebih efektif bagi meningkatkan prestasi jagoan angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan selepas badang negara tersebut mengesahkan slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis.

Malah presidennya, Datuk Ayub Rahmat menegaskan pencapaian pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 semasa kempen kelayakan terakhir di Phuket, Thailand pada Selasa tidak menggambarkan keupayaan sebenar atlet kelahiran Segamat, Johor tersebut.

Katanya, beliau sememangnya menjangkakan Aniq akan layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 berdasarkan kedudukan ranking dan prestasi semasa atlet tersebut.

“Cumanya kami terkilan persembahan beliau kurang memuaskan tambahan pula gagal capai sasaran angkatan keseluruhan 300 kilogram.

“Agak malang sedikit pencapaian di Phuket tiada peningkatan walaupun kita sebelum ini telah pun mengadakan latihan di luar negara sebelum kejohanan.

“Sebenarnya saya percaya Aniq mampu melakukan lebih baik di Phuket, tapi mungkin faktor puasa, namun itu bukan alasan sebab saya pun puasa sampai ke Phuket,” katanya kepada Sukan Sinar.

Siri kelayakan Piala Dunia Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) di Phuket itu menyaksikan atlet China, Li Fabin unggul dengan angkatan keseluruhan 312kg, wakil Korea Utara, Park Myongjin kedua (301kg) diikuti atlet Filipina, Ceniza John (300kg) manakala Aniq (290kg) kelapan bagi Kategori 61kg.

Bagaimanapun keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke Paris 2024 apabila masih dalam status 10 terbaik ranking IWF.

Aniq pemegang rekod kebangsaan dalam kategori 61kg dengan angkatan 296kg di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II Qatar, Disember lalu.

Sebagai rekod, PABM sebelum ini telah menghantar atlet Aniq, Muhamad Aznil Bidin kecuali Muhammad Erry Hidayat menjalani latihan di Aceh, Indonesia sebagai persiapan mengharungi kelayakan Paris 2024 di Phuket.

Tegas Ayub lagi, prestasi dipamerkan atlet negara dalam kejohanan berdasarkan rekod semasa setiap kali mengadakan siri latihan di luar negara tidak begitu memuaskan badan induk tersebut.

“Saya masih mencari punca jawapan kepada keputusan diraih atlet dalam kejohanan yang boleh sifatkan teruk setiap kali kita buat latihan di luar negara.

“Maka untuk persediaan Aniq ke Sukan Olimpik Paris 2024 kali ini, saya cadang beliau berlatih di Pusat Latihan Angkat Berat Kuala Rompin.

“Biarpun begitu PABM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi melihat pendekatan lebih holistik sama ada latihan luar negara atau Kuala Rompin sebelum ke temasya Paris 2024 pada Ogos depan,” katanya.

Mohd Hafifi Mansor merupakan atlet angkat berat terakhir negara layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 dalam Kategori 69kg.

Aniq menyertai lima lagi atlet lain yang layak secara merit ke Paris 2024 iaitu Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya).-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bin Shen cabar dua beregu

KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu lelaki, Tan Bin Shen melontarkan cabaran kepada dua gandingan negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk kembali bangkit dan mula menjuarai kejohanan bertaraf Super 500 ke atas.

Kedua-dua pasangan itu bergelut dalam kejohanan individu musim ini yang turut menyaksikan mereka gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Izzuddin-Sze Fei yang menghuni ranking ke-19 dunia tewas di pusingan awal dalam semua kejohanan musim ini manakala pencapaian terbaik Wei Chong-Kai Wun adalah mara ke suku akhir Terbuka Switzerland, bulan lalu.

Bin Shen, berkata dia mahu kedua-dua gandingan itu bangkit bermula dengan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini.

“Walaupun gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik, masih banyak lagi yang mereka belum capai seperti memenangi gelaran juara kejohanan Super 500 atau 750.

“Itu adalah sasaran yang seharusnya mereka capai daripada asyik kalah di pusingan awal dan suku akhir. Selepas ini mereka akan beraksi di BAC dan saya berharap ada keputusan positif daripada mereka dalam kejohanan itu nanti,” kata Bin Shen.

Menurut Bin Shen, sekiranya Izzuddin-Sze Fei dan Wei Chong-Kai Wun tidak bangkit, kedudukan mereka akan ‘dirampas’ pasangan muda negara seperti Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Aaron Tai-Kang Khai Xing yang ketika ini menunjukkan peningkatan prestasi positif.

Haikal-Hon Jian cemerlang apabila berjaya merangkul gelaran ketiga mereka dalam Jelajah Dunia BWF dengan menjuarai Masters Orleans di Perancis sekali gus melonjak ke kedudukan ke-28 dunia manakala Wan Arif-Roy King muncul naib juara Masters Sepanyol untuk naik ke tangga ke-50 ranking dunia.

Aaron-Kai Xing turut cemerlang apabila merangkul gelaran pertama mereka di peringkat senior selepas menjuarai Cabaran Antarabangsa Thailand untuk melonjak ke tangga ke-118 dunia berbanding 167 sebelum ini.

“Kita perlukan banyak pasangan untuk bersaing dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki nombor satu negara), kalau semua menang kita akan ada beregu yang berkualiti sekali gus kualiti dalam latihan juga akan meningkat,” kata Bin Shen.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Poad cabar pelari pecut muda

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim melontarkan cabaran kepada atlet baharu supaya menonjolkan potensi dengan melakukan kejutan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

Justeru, beliau menuntut atlet muda supaya mencatat larian sekurang-kurangnya 10.5 saat sekali gus mampu menjadi barisan pelapis pelari pecut sedia ada.

“Sebab pelari sekarang seperti Jonathan Nyepa sudah 27 tahun, Khairul Hafiz Jantan 26 tahun, harap ada pelapis yang dapat membuat catatan 10.4s atau 10.5s.

“Pada masa ini, kita masih mengharapkan Muhammad Azeem (Mohd Fahmi) tetapi dia di Amerika Syarikat. Jadi kita perlu pelapis buat catatan sebegitu untuk diketengahkan dan sebagai sandaran kepada atlet sedia ada,” katanya ketika dihubungi

Bagi kuartet 4×100 meter negara, Poad berkata beliau masih mengintai empat pelari pecut terbaik untuk menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan akan datang.

Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, kuartet 4x100m dibarisi Azeem, Khairul Hafiz, Arsyad Md Saat dan Jonathan, manakala seorang lagi pelari Haiqal Hanafi mengalami kecederaan buku lali ketika itu.

Bagaimanapun, Haiqal kembali beraksi pada kejohanan Allcomers Kuala Lumpur dan membuktikan dia masih berbisa apabila meraih pingat perak 100m lelaki dengan catatan 10.59 saat pada awal bulan lalu.

Dalam pada itu, Poad berkata skuad pecut negara bakal mengharungi enam kejohanan Siri Super yang akan bermula di Johor Bahru pada 6 April depan.

Beliau berkata, skuad pecut negara turut akan berentap pada Kejohanan Olahraga Terbuka Hong Kong pada Mei serta Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada Jun.

“Kalau ikut senarai Siri Super saya rasa sudah memadai cuma mungkin atlet perlu dua atau tiga lagi kejohanan luar. Saya harap Kesatuan Olahraga Malaysia dapat memperbanyakkan kejohanan antarabangsa kepada atlet negara,” katanya. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kalau ada rezeki ke separuh akhir

PEMAIN tengah skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi yakin pasukan akan dapat melakukan kejutan pada pentas saingan Piala Asia B-23 di Doha, Qatar bulan ini.

Menurut Mukhairi, dia meletakkan sasaran peribadi untuk skuad negara mara ke suku akhir pada pentas bolas sepak tertinggi Asia itu.

“Apa yang saya sasarkan adalah untuk mara ke suku akhir dan kalau ada rezeki kita dapat mara ke separuh akhir, Alhamdulillah.

“Sebab kita pun tahu pasukan lain juga sudah melakukan persiapan rapi dan saya harap kita dapat fokus dengan persembahan ketika perlawanan,” katanya.

Kejohanan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Doha bakal membuka tirai pada 15 April hingga 3 Mei ini.

Skuad muda negara telah berlepas awal ke Doha dalam usaha untuk menyesuikan diri dan melakukan sesi latihan di negara tersebut.

Mereka juga telah mengadakan dua perlawanan persahabatan di menentang India dan bakal mengharungi dua lagi aksi persahabatan di Doha menentang China dan Qatar.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan memulakan saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti dengan Vietnam 20 April dan Kuwait 23 April.-Sinar Harian

Sukma 2024: ADAMAS harap sifar doping, tumpuan kepada badang negeri

AGENSI Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) menaruh harapan tinggi agar penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal diadakan di Sarawak pada Ogos ini bebas daripada ‘pencemaran’ kes doping atau penyalahgunaan bahan terlarang.

Pengarah ADAMAS, Azura Abidin berkata, pihaknya menggesa agar kesemua negeri bertanding hadir secara telus dan bersih dalam temasya dwitahunan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan ujian secara rawak terhadap sukan berpotensi tinggi dengan tumpuan pastinya terarah kepada atlet angkat berat yang sering terkait dengan isu berkenaan.

“Memang hasrat kami untuk melihat sifar doping SUKMA kali ini (terutamanya dengan) Sarawak memang berhasrat menjadi penganjur paling berjaya jadi kami menggalakkan semua negeri datang dan bertanding secara bersih.

“Mesyuarat dalam jawatankuasa khas teknikal baru-baru ini setuju ADAMAS buat saringan khas atlet angkat berat sama macam di Kuala Lumpur (2022). Kita tidak boleh umum bila buat tapi pastinya sebelum SUKMA,” katanya.

Azura berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Menara Kementerian Belia dan Sukan di sini malam tadi yang turut dihadiri menteri berkenaan Hannah Yeoh.

Beliau turut menjangkakan kira-kira 20 hingga 30 pegawai terlatih dikerahkan untuk mengawal selia kelancaran temasya itu.

Saingan Sukma Kuala Lumpur 2022 menjadi tamparan hebat buat arena sukan negara apabila lima atlet angkat berat terjerat isu doping dengan tiga daripadanya menggunakan bahan terlarang metandienone, tebutaline dan oxymetholone

Dua pemenang pingat acara angkat berat pada Sukma 2022 pula disahkan positif bahan terlarang jenis ‘anabolic androgenic steroid’.

Sukma 2024 dijadualkan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sivasangari cipta sejarah di London

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari terus mencipta kejutan apabila menewaskan Hania El Hammamy dari Mesir yang juga pemain di ranking kedua dunia untuk menjuarai Klasik London 2024, sebentar tadi.

Sivasangari, 25, mempamerkan aksi penuh konsisten di sepanjang kejohanan bertaraf emas itu dengan kemuncaknya menewaskan Hania 3-2 dalam tempoh 81 minit di pentas final yang berlangsung di Alexandra Palace London.

Lebih manis, sejarah tercipta buat Sivasangari apabila melakar kejuaraan pertamanya dalam kejohanan bertaraf emas yang menyaksikan dirinya turut melakar kejutan ke atas beberapa nama tersohor seperti pemain nombor satu dunia dari Mesir, Nour El Sherbini di suku akhir, nombor empat dunia dari Belgium, Nele Gilis (separuh akhir) dan Hania di pentas final.

Juara Sukan Asia 2022 itu membuka tirai pertarungan dengan memenangi set pertama 11-9 namun Hania, 24, nyata tidak menyediakan laluan mudah kepada Sivasangari apabila mengikat keputusan kepada 1-1 selepas memenangi set kedua, 11-5.

Sivasangari yang kini melonjak ke ranking ke-13 dunia kemudian bangkit memenangi set ketiga 13-11 sebelum pilihan kedua kejohanan dari Mesir itu kembali menyamakan kedudukan kepada 2-2 selepas melakar kemenangan 14-12.

Sivasangari membuktikan dirinya berada di tahap prestasi terbaik apabila meninggalkan jauh lawannya di awal set kelima namun Hania kembali menunjukkan kebangkitan pada saat akhir yang membuatkan perlawanan menjadi begitu dramatik.

Bagaimanapun, Sivasangari terus mencipta mata untuk mendahului perlawanan kepada 10-8 sebelum memuktamadkan kejuaraannya dengan 11-8 untuk melakar kemenangan muktamad 3-2.

“Tidak tahu bagaimana untuk buat menggambarkannya tetapi aksi saya sepanjang minggu ini (cukup baik), menewaskan pemain kelompok 10 teratas dunia sebanyak tiga kali. Saya gembira dengan kemenangan ini,” kata Sivasangari selepas perlawanan.

Untuk rekod, kemenangan itu membolehkan Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai AS$17,598 (RM83,141).-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukan golf kini untuk semua lapisan masyarakat

PUTRAJAYA: Sukan golf kini boleh diakses oleh semua golongan masyarakat dengan kewujudan simulasi golf yang mampu memberikan ruang kepada peminat sukan berkenaan terutama golongan muda merasai pengalaman bermain secara simulasi.

Terbaru, Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS) yang berada di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama iDataRaya Sdn Bhd melancarkan Simulator Golf yang pertama di Menara KBS dan disaksikan oleh Menterinya, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri, Adam Adli Abd Halim.

Menariknya, Simulator Golf yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat berdekatan ini disediakan secara percuma selama enam bulan pertama di sini sebelum dikenakan caj bayaran berpatutan.

“Simulator Golf ini adalah sebuah projek di bawah PPGS dan yang pertama di Menara KBS. Ia bertujuan untuk menarik minat belia di sekitar Putrajaya untuk mencuba dan mempelajari sukan golf dengan harga yang rendah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PPGS, Megat Mohd Shahrin Mohamed Hamdan, hari ini.

“Projek ini selari dengan inisiatif Sukan untuk Semua, dengan memberikan akses kepada pejawat kementerian-kementerian dan rakyat umum untuk mencuba sukan golf. Projek simulator Golf ini juga selari dengan inisiatif Rakan Muda iaitu Rakan Aktif dan Rakan Digital yang sedang giat diketengahkan oleh pihak kementerian.

“Harapan saya adalah supaya stigma sukan golf adalah sukan elitist di negara ini dapat diketepikan dengan adanya projek seperti ini di bawah PPGS dan KBS dengan bantuan pihak swasta.”

Dalam pada itu, PPGS dan iDataRaya juga akan menjalankan program bersama pelajar di sekolah di sekitar Putrajaya untuk mereka mencuba sukan golf bagi menggalakkan mereka bersukan dan memupuk minat sukan golf di kalangan pelajar.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia