Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Beregu campuran bertembung sesama sendiri di final

Kuala Lumpur: Dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai bakal bertembung sesama sendiri di final selepas menyingkirkan lawan masing-masing di separuh akhir Terbuka Switzerland 2024, awal pagi tadi.

Pada perlawanan berlangsung di St Jakobshalle di Basel, Tang Jie-Ee Wei selaku beregu ranking kesembilan dunia mudah melangkah ke final apabila meraih kemenangan straight set 21-16 dan 21-12 ke atas beregu Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin.

Kemaraan itu kemudian diteruskan Soon Huat-Shevon ranking ke-14 dunia apabila menewaskan beregu Belanda Robin Tabeling-Selena Piek, 21-18 dan 21-16 dalam tempoh 37 minit dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ia pertembungan kali ketiga buat kedua-dua pasangan negara itu selepas Terbuka Korea 2023 dan Masters Jepun 2023 dengan masing-masing pernah meraih kemenangan.

Pertemuan final membabitkan kedua-dua pasangan beregu negara itu akan berlangsung malam ini.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bertahan bukan pilihan Harimau Malaya

Petaling Jaya: Pertukaran formasi atau rentak permainan akan dilakukan bagi mempertajamkan jentera serangan skuad Harimau Malaya untuk menghadapi Oman dalam perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Pertahanan skuad kebangsaan, Mohd Shahrul Mohd Saad berkata, ketika menentang Oman di tempat lawan, pasukan lebih banyak bertahan agar tidak mudah dibolosi dan kali ini di gelanggang sendiri, skuad bimbingan Kim Pan-gon itu akan lebih agresif memburu jaringan.

“Semestinya bermain di tempat kita, saya rasa akan ada pertukaran formasi terutama dari segi serangan. Kita tidak boleh hilang mata untuk perlawanan seterusnya, kita akan bagi all out untuk perlawanan di tempat kita.

“Perlawanan di Oman kita harus bertahan, di sini tidak boleh terus bertahan terlalu lama, kita mahu mata. Kita mahu lebih serangan dan berikan tekanan untuk mendapatkan kemenangan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sementara itu, Mohd Shahrul berkata berdasarkan perlawanan Jumaat lalu, mereka mengesan beberapa kelemahan pasukan Oman yang boleh dimanfaatkan pada perlawanan di Bukit Jalil nanti.

“Kita mampu melakukan sesuatu di tempat kita. Saya pasti kita mempunyai kekuatan sendiri bila bermain di tempat kita,” katanya.

Seorang lagi pemain pertahanan negara Corbin Ong berkata berdasarkan corak permainan Oman tempoh hari, beliau yakin skuad kebangsaan mampu melakukan sesuatu apabila berdepan pasukan di ranking ke-80 itu.

“Oman di ranking utama dalam pot (undian), jadi kita beri muka. Tapi saya yakin Malaysia boleh mencipta sesuatu menentang Oman Selasa ini. Lagipun, mereka bukan pasukan tanpa kalah atau apa-apa seperti itu,” katanya.

Pada aksi di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, Selasa lepas, skuad Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Oman, sekali gus hilang status pendahulu Kumpulan D apabila turun ke tangga ketiga walaupun berkongsi enam mata dengan Oman yang merampas kedudukan berdasarkan perbezaan gol.

Kyrgysztan di tempat kedua juga dengan enam mata manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Perak tetap hantar pasukan bola ke SUKMA Sarawak

KUALA KANGSAR: Perak tetap akan menghantar pasukan bola sepak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, Ogos depan, meskipun Perak FC tidak bersedia untuk melepaskan pemain bawah 20 tahunnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah menegaskan sekiranya Perak FC tidak bersedia untuk menyediakan pasukan, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak akan membuat persiapan sendiri.

Namun demikian, MSN masih menunggu kenyataan rasmi daripada Perak FC mengenai perkara itu.

“Kami hanya dengar melalui media sahaja, kami belum terima kenyataan rasmi mereka lagi.

“Jika mereka menolak, kami ada pelan A, B dan seterusnya. Apa yang penting, kami tetap akan hantar pasukan (sertai SUKMA),” katanya ketika ditemui sebelum majlis berbuka puasa di Istana Iskandariah malam tadi.

Semalam, media melaporkan Perak mungkin tidak menyertai acara bola sepak SUKMA disebabkan faktor tajaan dan kewangan yang tidak mencukupi disalurkan oleh MSN Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin dilaporkan berkata, mereka memohon peruntukan RM160,000 bagi memastikan kebajikan pemain serta jurulatih dijaga, tetapi hanya RM50,000 diluluskan.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Harapan pingat di bahu Zii Jia

KUALA LUMPUR: Sandaran bagi memenangi pingat acara perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 kini terletak di bahu Lee Zii Jia.

Pemain profesional negara itu kemungkinan besar menjadi wakil tunggal Malaysia menggalas cabaran dalam acara itu di Paris.

Zii Jia yang kini berada di kedudukan ke-10 ranking kelayakan ke Paris bakal membuat penampilan keduanya di temasya berprestij itu selepas Olimpik Tokyo 2020.

Hasrat untuk menyaksikan dua wakil negara beraksi dalam acara itu di Paris mungkin tidak kesampaian selepas Ng Tze Yong masih belum pulih daripada kecederaan belakang dialaminya sejak Januari lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu ketika ini berada di kedudukan ke-17 ranking kelayakan ke Paris.

Tze Yong menjalani pembedahan kecil bulan lalu sekali gus menyaksikan dia terlepas beberapa kejohanan di Eropah termasuk Terbuka Perancis dan Seluruh England.

Memburukkan lagi keadaan, dia juga terpaksa melupakan saingan Masters Sepanyol di Madrid yang akan bermula Selasa ini kerana masih belum cergas sepenuhnya.

Justeru, hanya keajaiban kini mampu membantu Tze Yong melayakkan diri ke Olimpik dengan dia sekurang-kurangnya perlu mara hingga ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini.

Kejohanan bertaraf Super 1000 itu adalah kejohanan terakhir untuk kelayakan ke Olimpik Paris dengan Tze Yong perlu melonjakkan kedudukan ranking dalam kelompok 16 terbaik.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan hujung bulan depan.

Bagi Zii Jia, aksi di Ningbo memberi peluang kepadanya untuk kembali merampas gelaran juara yang pernah dimenanginya pada 2022.

Dia perlu mencatat keputusan positif dalam setiap kejohanan disertai sebelum 2 Julai depan bagi melonjakkan kedudukan ranking dunianya.

Dia perlu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia untuk membolehkan dia mendapat kedudukan selaku pemain pilihan di Olimpik Paris.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Keputusan tepat tolak anjur Sukan Komanwel 2026

Kuala Lumpur: Tindakan kerajaan menolak untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 adalah satu keputusan tepat selepas mengambil kira pelbagai faktor terutamanya berkenaan kos yang harus ditanggung sebelum, semasa dan selepas kejohanan itu.

Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohammad berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira kerana dana yang diberikan oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebanyak 100 juta (RM603 juta) dilihat sukar untuk menyediakan kelengkapan yang terbaik terutama persediaan kepada pasukan yang bertanding.

Jelasnya, jika Victoria, Australia yang mempunyai mata wang lebih tinggi pun menolak dan menarik diri, kenapa Malaysia perlu menawarkan diri pula.

Katanya lagi, meskipun Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib sebelum ini menyatakan akan menggunakan formula Sukan Sea 2017 seperti penginapan atlet ialah tinggal di hotel, persoalannya adakah hotel di Malaysia mampu menampung keseluruhan kontinjen.

“Idea yang diberikan itu tak dinafikan agak bagus tetapi kena ingat, bilik hotel hanya boleh tinggal dua orang sahaja. Takkan kita nak sediakan hotel kelas biasa? Itu belum masuk chef yang menyediakan makanan, pasukan perubatan seperti fisioterapi, bilik atau dewan untuk kegunaan pasukan dan sebagainya.

“Semua ini mengambil kira dan perlu dilihat secara teliti. Jika mereka tinggal di hotel, adakah hotel itu akan ditutup keseluruhannya dan macam mana pula dari segi bayaran yang dikenakan oleh hotel itu.

“Setiap pasukan sudah pasti inginkan penginapan yang agak selesa dan tidak jauh dari venue pertandingan agar ia memudahkan pergerakan pasukan. Jika jauh, ini akan menimbulkan kegusaran dan tidak seronok kepada pasukan yang bertanding dan akan memberi imej kurang baik kepada negara kita.

“Kenapa kita sanggup nak jadi (tuan rumah), lagipun ada lagi negara yang maju dari kita yang mempunyai fasiliti sukan terbaik seperti London dan beberapa negara lain. Mereka boleh jadi tuan rumah,” katanya kepada Arena Metro.

Tambahnya, itu belum mengambil kira berkenaan venue pertandingan seperti kesesakan jalan raya dan sebagainya.

“Memang setiap pasukan akan ada pengiring tetapi perkara itu harus diambil kira juga (kesesakan lalu lintas). Sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil itu terdapat beberpa acara tumpuan seperti olahraga, skuasy, akuatik dan badminton,” kata Nazmizan.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Kementerian Belia dan Sukan pada 22 Mac lalu mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026.

Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada hari itu mengambil keputusan berkenaan selepas meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA 2024: Perhalusi syarat sebelum acara futsal wanita digugurkan – Abdul Karim

KUCHING, 22 Mac: Acara futsal wanita berkemungkinan digugurkan daripada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 susulan tidak memenuhi syarat minimum penyertaan temasya sukan berkenaan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, minimum penyertaan iaitu sejumlah enam buah negeri belum dicapai setakat ini bagi membolehkan acara tersebut dipertandingkan.

“Kita ada syarat-syarat tertentu untuk SUKMA, sekiranya sesebuah acara itu tidak memenuhi syarat penyertaan daripada minimum enam buah negeri, maka ia akan digugurkan.

“Keputusan itu agak menyedihkan kerana Sarawak sedia ada mempunyai pasukan futsal wanita, dan kita mengharapkan negeri-negeri lain untuk menghantar pasukan mereka agar acara tersebut boleh diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikikan kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pentadbiran Sukan di Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar penyertaan minimum itu diteliti semula ekoran sebelum ini pada SUKMA 2022, acara terjun wanita digugurkan atas hal yang sama.

“Saya berharap agar syarat-syarat tersebut diperhalusi lagi, agar insiden acara terjun wanita sebelum ini yang digugurkan daripada SUKMA 2022 tidak berulang lagi.

“Kita perlu mengambil kira dari sudut pandangan sukan, bagaimana kita hendak mempunyai kemajuan dalam sesebuah sukan sekiranya ia selalu digugurkan atau dibatalkan di peringkat kebangsaan?,” soalnya.

  • Ditanya mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menjadi tuan rumah pada temasya Sukan Komanwel 2026, beliau berkata Sarawak menghormati keputusan tersebut.

Ini kerana menurut beliau, dana untuk menganjur sukan berskala besar itu memerlukan dana yang tinggi, dan geran yang hendak diberi pihak penganjur tidak mencukupi, sebaliknya hanya mampu menampung kos yang sedikit. – TVS

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MALAYSIA TIDAK TERIMA TAWARAN TUAN RUMAH SUKAN KOMANWEL 2026

Kementerian Belia dan Sukan hari ini mengumumkan keputusan Kerajaan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026. Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini telah mengambil keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasi.

Kerajaan Madani mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Namun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
BENGKEL PROGRAM PERPINDAHAN BAKAT (TALENT TRANSFER)

Bengkel Program Perpindahan Bakat (Talent Transfer) telah diadakan pada Jumaat bertempat di MSN, Bukit Jalil. Tujuan bengkel ini diadakan adalah bagi membincangkan dan menetapkan kerangka serta kaedah pemilihan atlet untuk projek talent transfer.

Program ini dimulakan dengan 3 sukan iaitu Akuatik Terjun, Berbasikal dan Olahraga. Seramai 15 orang telah hadir ke bengkel tersebut yang terdiri daripada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pemindahan bakat (Talent Transfer) ini merupakan satu proses yang berlaku apabila seseorang atlet berhenti atau mengurangkan penglibatan mereka dalam sukan yang mereka telah berlatih sebelum ini dan seterusnya mencuba sukan yang baru.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Atlet perlu bersedia jika Malaysia anjur Sukan Komanwel 2026

KUALA LUMPUR: Kesediaan dan kesiapsiagaan atlet tidak seharusnya menjadi masalah jika Malaysia memutuskan untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, kata legenda skuasy negara Datuk Nicol David.

Berkongsi pengalamannya, bekas ratu skuasy negara itu berkata sama ada Malaysia menganjurkan temasya empat tahun sekali itu atau tidak, atlet negara di bawah program pembangunan dan latihan Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa menjalani latihan untuk penyertaan sukan utama lain.

“Atlet sudah bersiap sedia, ada yang ke Sukan Olimpik, ada ke acara seperti Sukan Asia dan Komanwel yang diadakan empat tahun sekali. Kami tahu tahun itu akan menjadi penting, jadi perlu bersedia dua tahun sebelumnya untuk mencapai keputusan lebih baik.

“Ia adalah sebahagian daripada persiapan sama ada mereka akan merasakan tekanan tambahan atau tidak, ia sentiasa tekanan daripada kita sendiri untuk negara mendapat pingat. Selain itu, bermain di laman sendiri kita akan mendapat kelebihan dan banyak sokongan,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengimbau kenangan menyertai Sukan Komanwel 1998 ketika berusia 14 tahun, Nicol berkata pengenalan skuasy dalam Sukan Komanwel ketika itu membantu sukan raket berkenaan meraih populariti.

“Ia kali pertama skuasy dipertandingkan, untuk membuat persiapan ia sangat mengujakan dan skuasy mendapat banyak pengiktirafan sejak dari itu,” kata juara dunia lapan kali itu.

Tuan rumah Sukan Komanwel 2026 Victoria menarik diri selepas unjuran kos penganjuran temasya itu melonjak daripada AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).

Berikutan itu, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan suntikan dana sebanyak £100 juta (RM602 juta) kepada Malaysia, yang menjadi tuan rumah temasya pada 1998 dan ahli lain demi menyelamatkan temasya empat tahun sekali itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat berkata kerajaan akan meneliti butiran dan mendapatkan pandangan semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum membuat keputusan muktamad mengenai tawaran untuk menganjurkan temasya itu. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hamidin jangka 29 atlet ke Paris 2024

Kuala Lumpur: Malaysia dijangka akan menghantar 29 atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Julai depan selepas mengambil kira beberapa sukan lain akan turut layak secara rasmi ke temasya itu.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, meskipun ketika ini terdapat beberapa sukan belum mengeluarkan pengesahan rasmi berkaitan atlet akan layak ke sukan terbesar dunia itu, mereka sudah melakukan congakan ke atas atlet yang mempunyai potensi besar untuk layak.

Beliau berkata, ketika ini hanya lima atlet layak secara rasmi iaitu Bertrand Rhodict Lises dari sukan akuatik – terjun, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong Guanjie (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal – jalan raya).

Beliau menyedari jumlah atlet akan ke Paris 2024 mungkin sedikit kecil dan peluang Malaysia untuk menang emas mungkin sedikit terkesan, tetapi dia tetap optimis kemampuan atlet negara berdasarkan prestasi semasa kerana akhirnya semua itu akan bergantung kepada rezeki.

“Ada beberapa sukan yang belum tamat sesi kelayakan seperti badminton, tetapi dari segi kutipan mata mereka sudah layak. Antaranya Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita).

“Sama seperti golf dan beberapa sukan lain, tetapi sukan berkenaan belum keluarkan keputusan rasmi.

“Kalau tanya saya jujur, ini semua rezeki, kalau dulu nak kira rezeki, di Olimpik Rio 2016 Brazil dulu patut sudah rezeki menang emas.

“Hanya beberapa saat sahaja badminton masa tu nak menang emas. Kita ada potensi untuk dua tiga atlet untuk dapatkan emas. Kita doa dan kita perlu bekerja kuat.

“Jadi, berdasarkan potensi tetap ada dan berdasarkan fakta, Datuk Azizulhasni Awang dan Aaron-Wooi Yik boleh menyumbang (emas).

“Saya tetap dengan keyakinan sehingga kejohanan Paris 2024 habis. Sekarang masih belum rezeki kita dan harap kita rezeki di Paris nanti kita akan dapat,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan ke Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Hadir sama, Timbalan CDM ke Paris 2024, Datuk Nicol Ann David dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Hamidin menyatakan senarai 29 atlet ke Paris 2024 itu tidak termasuk pasukan bola sepak kerana beliau menyedari secara realistik perlu bersaing dengan beberapa negara yang dilihat mempunyai peluang cukup cerah.

“Berdasarkan kiraan saya sebagai Presiden FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), pasukan bola sepak tiada dalam sasaran layak ke Paris 2024. Kalau layak Bawah 23 Tahun (B23) sudah dikira satu pencapaian yang baik.

“Apa yang penting ketika ini, saya mengharapkan mereka memberi fokus untuk mencatat keputusan terbaik dan layak ke pusingan kedua terlebih dahulu (di Piala Asia B-23 di Qatar),” katanya.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia