PEMAIN beregu wanita negara, M. Thinaah, berkata isu pertelingkahann dengan pasangannya, Pearly Tan, yang digembar-gemburkan sebelum ini, bukan satu gangguan menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Arena Axiata bermula 9 Januari ini.
Menyedari aksi kurang memberangsangkan sepanjang 2023, Thinaah berharap dia dan Pearly dapat mengekalkan prestasi lebih tekal, khususnya pada penghujung saingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.
“Saya dan Pearly setakat ini baik-baik sahaja,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.
“Kami juga amat teruja untuk bermain dalam Terbuka Malaysia tahun ini.
“Memandangkan ia merupakan kejohanan pertama tahun ini, jadi kami amat teruja untuk bermain di laman sendiri.
“Dari dulu juga kami sudah katakan bahawa ketekalan merupakan masalah utama kami kerana apabila kami meningkat, ia amat ketara dan apabila ada penurunan, ia juga amat ketara.
“Saya fikir kami perlukan lebih penambahbaikan dalam perkara itu.
“Selain itu, kami hanya perlu lebih berkomunikasi dan bekerjasama di dalam gelanggang dan semuanya akan menjadi baik,” katanya.-Stadium Astro
Tze Yong buru 10 terbaik musim ini
KUALA LUMPUR: Setelah berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik pada Jun tahun lepas, pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong kembali dengan misi lebih besar iaitu untuk mencetak nama sebagai antara 10 pemain terbaik dunia musim ini.
Bukan itu sahaja, pemain berusia 23 tahun itu juga mahu berada di landasan tepat dalam usaha memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
“Azam tahun baharu saya, supaya tidak mengalami kecederaan, berada dalam kelompok 10 terbaik dan layak ke Sukan Olimpik Paris,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan hari ini.
Pemain di ranking ke-15 dunia itu, kini berada pada kedudukan ke-13 dengan 57,080 mata di belakang pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia yang berada di tempat ke-11 (62,126 mata) dalam ranking Race to Paris.
Menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi acara perseorangan lelaki dan wanita, setiap negara boleh mempunyai kuota maksimum dua tempat jika pemain tersebut berada pada kedudukan 16 terbaik dalam ranking Road to Paris.
Tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 yang bermula 1 Mei tahun lepas, akan berlangsung hingga 28 April 2024.
Sementara itu mengenai Terbuka Malaysia 2024, pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu berkata beliau kini dalam perbincangan dengan jurulatih untuk mencari formula berdepan lawannya Koki Watanabe dari Jepun, dalam perlawanan pusingan pertama, minggu depan.
“Memang harap prestasi lebih baik tahun ini (Terbuka Malaysia). Perlawanan pertama bukan mudah namun tiada siapa yang mahu kalah,” katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain itu, Watanabe yang menghuni ranking ke-23 dunia mempunyai kelebihan apabila pernah menewaskan Tze Yong 21-17, 21-14 pada pusingan kedua Terbuka Jepun tahun lepas, yang merupakan satu-satunya pertemuan mereka.
Terbuka Malaysia 2024 akan berlangsung pada 9 hingga 14 Jan di Axiata Arena.
— BERNAMA
Memanah Pahang sasar tiga emas
Kuantan: Pasukan memanah Pahang mensasarkan untuk membawa pulang tiga pingat emas, satu perak dan tiga gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak, September depan.
Jurulatihnya Mohd Rizaini Pandak Mohd, berkata seramai 16 atlet membabitkan masing-masing lapan lelaki dan wanita membawa cabaran pasukan memanah bertanding dalam acara individu dan berpasukan.
Menurutnya, pada Sukma 2022 Kuala Lumpur, Pahang membawa pulang satu emas (Recurve Men Team), satu perak (Compound Women Team) dan tiga gangsa namun untuk saingan kali ini, pasukannya dijangka berdepan tentangan sengit daripada Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
“Sasaran emas kita sandarkan dalam acara berpasukan recurve lelaki dan wanita serta berpasukan lelaki Qualification Round. Kelibat atlet kebangsaan, Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi diharap dapat membantu misi meraih kilauan emas.
“Walaupun sasaran kita hanya tiga emas, satu perak dan tiga gangsa, tidak mustahil kejayaan lebih membanggakan dapat dicapai,” katanya, dihubungi di sini hari ini.
Mohd Rizaini berkata, dua sirkit kejohanan memanah kebangsaan pada Mac dan Mei depan menjadi pemanas badan buat anak buahnya dalam usaha memburu kejayaan diharapkan dipentas Sukma.
“Semangat tinggi selain persediaan sepanjang tahun diharapkan menjadi kelebihan kepada atlet memanah Pahang untuk menyerlah pada Sukma 2024 Sarawak, September depan,” katanya.-Harian Metro
PTANS sasar satu emas Sukma 2024
Seremban: Negeri Sembilan bakal menjanjikan saingan sengit dalam acara tinju pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, apabila menyenaraikan 14 petinju termasuk empat wanita, untuk persiapan menghadapi temasya sukan terbesar itu.
Setiausaha Kehormat Persatuan Tinju Amatur Negeri Sembilan (PTANS), Mohamed Jani Ismail berkata, pihaknya akan mempertaruhkan lapan orang atlet termasuk dua wanita untuk menggalas cabaran pada temasya sukan berkenaan.
Katanya, ketika ini PTANS menetapkan sasaran awal kutipan satu pingat emas berbanding pencapaian pada Sukma lalu di Kuala Lumpur dengan satu pingat gangsa melalui penyertaan dua atlet lelaki.
“Dengan membariskan hampir semua petinju muda berusia seawal 18 tahun, kita menaruh keyakinan petinju-petinju ini mampu menggalas cabaran pasukan dan seterusnya mendapatkan keputusan cemerlang meraih pingat pada Sukma di Sarawak nanti.
“PTANS dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS) sudah mendapatkan khidmat bekas ketua jurulatih tinju kebangsaan, Azmi Yunus, untuk mengetuai program latihan atlet, bagi memastikan mereka mendapat latihan dan bimbingan lebih sempurna.
“Kita menaruh keyakinan tinggi kepada kemampuan, keupayaan serta pengalaman Azmi untuk membimbing setiap atlet sehingga mereka mencapai tahap prestasi terbaik dan mampu beraksi cemerlang di Sukma nanti,” katanya di sini, hari ini. -Harian Metro
Jurulatih, atlet SUKMA Pahang terima tambahan elaun
KUANTAN: Kerajaan Pahang menetapkan gaji minimum jurulatih sepenuh masa dinaikkan kepada RM2,000 sebulan bermula Mac tahun lalu berbanding RM1,500 sebulan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, inisiatif berkenaan mampu menaikkan moral dan semangat jurulatih untuk menjalankan tugas dengan penuh semangat, menerap mentaliti juara dan dedikasi tinggi.
Katanya, turut mendapat imbuhan ialah atlet Tok Gajah yang layak bersaing pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak, mereka menerima elaun minimum sebanyak RM200 sebulan.
Menurutnya, elaun yang disediakan kepada altet itu diharap menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk berlatih seterusnya berusaha melakar kejayaan
“Bagi atlet Tok Gajah yang memenangi pingat pada SUKMA sebelum ini, mereka akan menerima sehingga RM500 sebulan bermula bulan ini.
“Imbuhan itu ialah pengiktirafan dan dorongan serta pemangkin semangat buat setiap atlet untuk berjuang bagi menaikkan nama Pahang di pentas kebangsaan,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih fasiliti sukan termasuk Stadium Darul Makmur (SDM) sebanyak RM1.3 juta yang kini sudah selesai sepenuhnya.
Fadzli berkata, kini pihak SDM memberi peluang kepada rakyat untuk turut menggunakan kemudahan trek di stadium berkenaan yang kini menjangkau usia 50 tahun, kemudahan disediakan secara percuma pada Isnin hingga Khamis.
“Selain stadium, kerajaan negeri juga menyalurkan peruntukan untuk menaik taraf lapang sasar menembak di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), pembinaan baharu litar skateboard dan pusat latihan Muay Thai Pahang di Jerantut,” katanya.
Pahang menyasarkan lima kedudukan terbaik pada temasya SUKMA Sarawak. -Berita Harian
PABK sasar tiga emas di Sukma Sarawak
ALOR SETAR, 1 Jan: Persatuan Angkat Berat Kedah (PABK) meletakkan sasaran tiga pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, Ogos nanti.
Presiden PABK Yahaya Sani berkata, 16 atlet angkat berat dari negeri itu, masing-masing lapan lelaki dan wanita dipertaruhkan untuk menyumbang pingat kepada kontinjen Kedah dalam temasya yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos.
“Kita menaruh harapan untuk membawa pulang pingat emas bagi kategori 64 kilogram, dua lagi pingat emas kita akan tentukan semula nanti bagi kategori mana dan persiapan rapi sedang dilakukan untuk mencapai sasaran itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, PABK berazam untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan angkat berat dan melahirkan atlet buat negara seperti Aznil Bidin yang berjaya memperoleh dua pingat emas pada Sukan Komanwel 2022.
Beliau berkata, seorang lagi atlet kelahiran Kedah, Nur Syazwani Radzi yang meraih pingat gangsa semasa Sukan SEA 2023 membuktikan negeri itu tidak ketandusan bakat dalam sukan berkenaan.
“Kita masih meneruskan pencarian bakat-bakat baharu bukan sahaja untuk Sukma tetapi juga sasaran untuk bertanding di Sukan Komanwel. Kita akan buat program pencarian bakat secara berterusan,” katanya.
Yahaya berkata, setakat ini, pihaknya sedang melatih dua atlet, masing-masing lelaki dan wanita untuk diangkat sebagai atlet bagi Sukan Komanwel 2026 dan berharap dapat melatih lebih ramai bakat muda untuk beraksi pada kejohanan antarabangsa. – TVS