Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PABK sasar tiga emas di Sukma Sarawak

ALOR SETAR, 1 Jan: Persatuan Angkat Berat Kedah (PABK) meletakkan sasaran tiga pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, Ogos nanti.

Presiden PABK Yahaya Sani berkata, 16 atlet angkat berat dari negeri itu, masing-masing lapan lelaki dan wanita dipertaruhkan untuk menyumbang pingat kepada kontinjen Kedah dalam temasya yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos.

“Kita menaruh harapan untuk membawa pulang pingat emas bagi kategori 64 kilogram, dua lagi pingat emas kita akan tentukan semula nanti bagi kategori mana dan persiapan rapi sedang dilakukan untuk mencapai sasaran itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, PABK berazam untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan angkat berat dan melahirkan atlet buat negara seperti Aznil Bidin yang berjaya memperoleh dua pingat emas pada Sukan Komanwel 2022.

Beliau berkata, seorang lagi atlet kelahiran Kedah, Nur Syazwani Radzi yang meraih pingat gangsa semasa Sukan SEA 2023 membuktikan negeri itu tidak ketandusan bakat dalam sukan berkenaan.

“Kita masih meneruskan pencarian bakat-bakat baharu bukan sahaja untuk Sukma tetapi juga sasaran untuk bertanding di Sukan Komanwel. Kita akan buat program pencarian bakat secara berterusan,” katanya.

Yahaya berkata, setakat ini, pihaknya sedang melatih dua atlet, masing-masing lelaki dan wanita untuk diangkat sebagai atlet bagi Sukan Komanwel 2026 dan berharap dapat melatih lebih ramai bakat muda untuk beraksi pada kejohanan antarabangsa. – TVS