KUALA LUMPUR: Atlet wanita kebangsaan, Alice Chang Li Sian memasang impian untuk membantu kem ping pong negara menjejakkan kaki di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.
Kem negara dijadual menyertai dua kejohanan kelayakan iaitu Kejohanan Dunia Berpasukan di Busan, Korea Selatan bermula 16 Februari ini sebelum mengharungi saingan bagi individu di Bangkok, Thailand pada Mei.
Justeru itu, atlet berusia 24 tahun itu berkata, pasukan sudah mempersiapkan diri untuk kedua-dua kejohanan berkenaan dan fokus utama kini terlebih dahulu terarah kepada merebut tempat ke suku akhir di Korea Selatan.
“Sekarang kami dalam persiapan untuk kejohanan dunia berpasukan di Busan dahulu. Di kejohanan ini pasukan yang berada di suku akhir boleh ke Olimpik.
“Memang agak susah di kejohanan dunia berpasukan tetapi saya rasa kalau tak bersaing, kita tak akan tahu bagaimana,” katanya.
Alice adalah antara atlet yang membantu kem negara meraih pingat perak acara berpasukan wanita di Sukan Komanwel Birmingham 2022 bersama Tee Ai Xin, Karen Lyne dan Ho Ying.
Selain itu, Alice turut membantu kem ping pong meraih pingat di Sukan SEA Kemboja 2023 dalam acara berpasukan wanita (perak) dan beregu wanita (gangsa).
“Di Sukan SEA tahun lalu, kami mara ke pentas final berpasukan wanita, yang pertama dalam tempoh 33 tahun (ke final). Jadi tahun ini, harap untuk sukan ping pong, ada yang layak ke Olimpik,” kata Alice.
Berdasarkan peningkatan prestasi yang dipamerkan dalam dua temasya itu, Alice optimis kem negara mampu untuk mencipta sesuatu pada kejohanan kelayakan Olimpik kali ini.
“Ada dua kejohanan (kelayakan), saya harap dapat pergi dan akan bersaing sehabis baik sebab saya dapat rasakan yang ping pong memang ada peluang.
“Sebagai seorang atlet, impian kami sudah tentunya mahu ke Olimpik dan itu sasaran saya,” katanya yang begitupun mengharapkan proses undian di Bangkok nanti memberikan laluan mudah kepada dirinya.
“Untuk kelayakan itu, ia juga bergantung kepada undian. Tetapi bagi saya, saya tidak begitu mahu terlalu terburu-buru. Saya sudah melakukan yang terbaik pada masa ini, jadi mungkin keputusan juga menjadi baik.
“Ini kerana, seperti di Sukan SEA tahun lalu, Sukan Komanwel… kami tidak begitu meletakkan harapan tinggi nak emas atau ke final. Apa yang kami lakukan, hanyalah berjuang sehabis baik,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mempunyai wakil pada Sukan Olimpik adalah menerusi penyertaan dua pemain wanita iaitu Lau Wai Cheng dan Leong Mee Wan pada edisi 1988 di Seoul.-Berita Harian