KUCHING : Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Ogos ini menjadi penanda aras untuk Sarawak menawarkan diri sebagai tuan rumah Sukan SEA di luar Kuala Lumpur.
Ia susulan keputusan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memilih Malaysia sebagai penganjur Sukan SEA bagi edisi ke-34 pada 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berikutan itu Sarawak menetapkan dua matlamat utama pada temasya dwi tahunan itu yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos.
Menurutnya, pertamanya semua venue sedia ada dinaik taraf sesuai dengan standard antarabangsa dan keduanya menjadi penganjur terbaik dalam semua aspek pada temasya SUKMA.
“Apabila kita berjaya menganjurkan SUKMA terbesar dengan penilaian terbaik dalam semua aspek barulah kita membawa cadangan kepada Kerajaan Pusat untuk membida penganjuran Sukan SEA di Sarawak pula.
“Ini bermakna SUKMA kali ini amat penting bagi Sarawak kerana ia menjadi penanda aras untuk Kerajaan Pusat memberi kira ruang dan peluang untuk menganjurkan acara sukan terbesar Asia Tenggara pula,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri ‘Road to Runaway Champion SUKMA XXI 2024 di Auditorium Borneo Cultures Museum, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, bagi memastikan semua venue menepati standard yang ditetapkan, kerajaan Sarawak berbelanja besar untuk melaksanakan kerja menaik taraf selain membina venue yang belum dimiliki.
“Sekarang kita menyediakan lebih RM100 juta untuk menaik taraf venue semua acara sedia ada dan membina venue baharu untuk acara seperti ragbi, wushu dan kriket.
“Selain itu, peruntukan lebih RM100 juta lagi disediakan bagi membina velodrom walaupun tiada acara berbasikal trek pada SUKMA 2024 nanti, tetapi ia adalah persediaan untuk kita membida penganjuran Sukan SEA kerana velodrom satu-satu kemudahan sukan yang belum ada di Sarawak,” katanya.
Pada 7 Jun 2022, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya terbuka dengan idea penganjuran secara bersama dengan negeri-negeri yang berminat pada Sukan SEA 2027.
Pada 21 Oktober tahun lalu pula, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg memberi bayangan Sarawak mungkin akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 apabila temasya itu diadakan di Malaysia.-Berita Harian