KUALA LUMPUR: Tonggak pertahanan, Matthew Davies antara calon yang bakal menggalas tugas sebagai kapten Harimau Malaya bagi aksi persahabatan antarabangsa menentang New Zealand di Stadium North Harbour, 14 Oktober ini.
Ia susulan skuad kendalian Pau Marti berlepas ke Auckland, malam ini tanpa kapten, Dion Cools yang terpaksa menarik diri dari skuad kali ini kerana masalah keluarga.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente menegaskan bahawa beliau percaya pemain lain mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cools.
Beliau berkata, Cools adalah pemain penting buat pasukan dan berharap tonggak pertahanan Buriram United itu akan kembali menyertai Harimau Malaya pada kem yang seterusnya.
ADVERTISEMENT
javascript:false
javascript:false
Disyorkan
- MFL sangkal dakwaan Perak FC
- PRESMA syor ‘kedai mamak’ tak jual rokok
- United terikat tanpa jaringan dengan Villa, Ten Hag dalam bahaya
- Peluru berpandu Israel sasar kilang kereta Iran di Homs, Syria – Pemantau
“Sudah pasti semua pemain amat penting tapi saya percaya kami pasukan yang kuat. Jadi perkara paling penting adalah pasukan.
“Mana-mana pemain tiada, kami ada ramai pemain yang bagus yang boleh mengambil tanggungjawab dengan baik. Jadi saya amat yakin dengan semua pemain.
“Kami mempunyai ramai yang boleh jadi ketua. Matthew Davies antara salah satu kapten dan dia menjadi kapten dalam aksi sebelum ini.
“Kita juga ada Syamer Kutty Abba dan juga ramai pemain berpengalaman yang boleh memimpin pasukan. Seperti saya katakan, paling utama kerjasama,” katanya.
Vicente berkata demikian ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Auckland, hari ini.
Harimau Malaya hanya akan mengharungi satu aksi antarabangsa Tier 1 menentang pasukan ranking ke-95 dunia, New Zealand dalam kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 7 hingga 15 Oktober ini selepas gagal mendapatkan pasukan negara lain untuk aksi persahabatan.
Anak buat Vicente bagaimanapun akan menentang sebuah pasukan kelab utama untuk perlawanan antarabangsa Tier 2 pada 11 Oktober sebagai persiapan yang berkualiti sebelum berdepan New Zealand.-Berita Harian