Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives September 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
26 sukan teras dipertandingkan pada Sukma Selangor 2026

SEBANYAK 27 acara sukan teras dikenal pasti akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor pada 2026, antaranya olahraga, badminton, bola sepak, hoki, akuatik dan memanah, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi.

Katanya, sukan tambahan seperti catur, kabaddi, silambam dan sukan elektronik (e-sports) yang dipertandingkan pada Sukma Sarawak baru-baru ini juga akan dipertimbangkan pada temasya sukan dwitahunan edisi ke-22 itu.

“Kita akan pastikan 27 jenis sukan teras dan berprestasi tinggi itu akan dipertandingkan. Dari segi sukan tambahan, kita akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan-persatuan sukan untuk melihat keperluan dan kesesuaian ia dipertandingkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Santapan Tengah Hari Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama pegawai dan pemenang pingat emas temasya Sukma ke-21 Sarawak di Istana Alam Shah, Shah Alam.

Mohd Najwan berkata, kontinjen Selangor dijangka mengekalkan antara 50 hingga 60 peratus daripada 700 atlet yang bersaing di Sukma Sarawak bagi membawa cabaran negeri itu pada edisi akan datang.

Tengku Amir (kiri) beramah mesra bersama atlet pada Majlis Santapan Tengah Hari Bersama Pegawai dan Pemenang Pingat Emas Temasya Sukma Sarawak 2024 di Istana Alam Shah.

Tengku Amir (kiri) beramah mesra bersama atlet pada Majlis Santapan Tengah Hari Bersama Pegawai dan Pemenang Pingat Emas Temasya Sukma Sarawak 2024 di Istana Alam Shah.

Katanya, para atlet yang meraih pingat perak dan gangsa di Sarawak akan terus digilap dan dipersiapkan sebaik mungkin bagi mencerahkan peluang memenangi pingat emas.

Berhubung insentif kemenangan kepada atlet yang memenangi pingat pada Sukma Sarawak, Mohd Najwan berkata, insentif itu dijangka diserahkan pada Majlis Anugerah Sukan Selangor yang akan diadakan selewat-lewatnya November depan.

Untuk Sukma Sarawak, Selangor menjanjikan ganjaran RM10,000 kepada pemenang pingat emas individu, RM5,000 seorang bagi acara berpasukan bawah lima orang dan RM3,000 seorang bagi acara berpasukan lebih daripada lima orang, yang merupakan peningkatan tiga kali ganda berbanding temasya sama pada 2022.

Terdahulu Raja Muda Selangor berkenan berangkat ke majlis yang meraikan 101 atlet yang meraih pingat emas dalam pelbagai acara individu dan berpasukan pada Sukma Sarawak bulan lepas.

Pada temasya itu, Selangor yang menyasarkan kedudukan ketiga teratas mengakhiri pertandingan di tempat ketiga dengan memperoleh 56 pingat emas, 64 perak dan 61 gangsa.

Sukma 2024 menyaksikan penyertaan lebih 12,000 atlet dan pegawai yang bertanding bagi merebut 488 pingat emas daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Speedy Tigers pilih jalan sukar

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan memilih jalan sukar dalam misi untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia 2024 selepas tewas 4-2 di tangan China pada aksi kedua di Hulunbuir, Inner Mongolia, China, hari ini.

Selepas mengharungi dua perlawanan, Malaysia hanya mengutip satu mata menerusi keputusan seri 2-2 dengan Pakistan dalam perlawanan pertama, semalam.

Pada aksi menentang China, lawan terlebih dahulu di depan apabila membuka tirai jaringan menerusi Gao Jiesheng yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan.

Skuad Speedy Tigers bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-14 sebelum Jiesheng sekali lagi menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-32 untuk meletakkan China kembali di depan 2-1.

China terus melebarkan penguasaan selepas Lin Changliang menjaringkan gol padang pada minit ke-40 sebelum Faizal Saari merapatkan jurang dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-50.

Ketika Malaysia terdesak mencari gol penyamaan, China sebaliknya berjaya meledak gol keempat menerusi penalti stroke yang disudahkan Chao Jieming pada minit ke-56 untuk membolehkan pasukan itu menang 4-2.

Kekalahan menyaksikan Malaysia yang dibimbing Sarjit Singh tidak mempunyai pilihan selain menang dalam baki tiga perlawanan pusingan pertama yang dijalankan secara liga sepusingan untuk berada dalam kelompok empat teratas sekali gus mara ke separuh akhir.

Anak buah Sarjit seterusnya akan menentang India, Rabu ini diikuti Jepun (Khamis) dan Korea Selatan (Sabtu).-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tindakan drastik perlu dilakukan jika tak mahu pulang kosong di Los Angeles

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin sukar untuk memenangi pingat emas selepas edisi Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 sekiranya tiada tindakan drastik diambil dari sekarang bagi memperkasakan program pembangunan atlet para khususnya dalam kategori lain.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, berkata Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada ‘muka lama’ bagi menjelmakan kilauan emas di temasya itu sebaliknya perlu ada program khusus untuk melahirkan generasi atlet baharu membabitkan kategori lain.

Katanya, negara perlu meneroka kategori baharu yang berpotensi untuk menyumbang emas kepada kontinjen Malaysia.

“Kita tidak boleh bergantung kepada orang yang sama, yang boleh bersaing sehingga dua atau tiga kitaran Paralimpik, ini bukan lagi zaman yang begitu. Kita kena persiapkan atlet pelapis kita.

“Macam badminton kita nampak sudah ada. Namun, apa yang merisaukan kita adalah acara atau kategori lain.

“Paralimpik ini bukan legasi. Kalau seperti Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual), sukar kita mahu cari orang macam Ziyad selepas ini.

“Begitu juga dengan Datuk Abdul Latif Romly untuk acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual), kita tidak boleh harapkan ada lagi orang kurang upaya sepertinya selepas ini.

“Sebab itu kita kena tengok kategori lain.

“Kita kena beri tumpuan kepada mana-mana atlet para yang berkedudukan mungkin ada peluang menang gangsa atau dalam kelompok 10 dan lima terbaik dalam kategori lain. Kita kena gilap mereka dan beri sokongan yang secukupnya.

“Apa yang merisaukan saya adalah kita mungkin sukar untuk menang emas selepas edisi Los Angeles 2028 mengambil kira usaha negara lain yang turut serius membangunkan atlet para mereka,” katanya kepada BH Sukan.

Di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang melabukan tirainya, awal pagi tadi, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-42 keseluruhan apabila membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa sekali gus gagal mencapai sasaran empat emas ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Dua emas itu disumbangkan ‘orang lama’ yang mempertahankan emas dimenangi mereka di Paralimpik Tokyo 2020 iaitu jaguh badminton para, Cheah Liek Hou yang mengungguli kategori SU5 (kecacatan fizikal) dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin yang mendominasi acara lelaki 72 kilogram (kg).

Ziyad dan Latif yang menjadi sandaran emas terpaksa berpuas hati dengan perak dalam acara masing-masing.

Bagaimanapun, kedua atlet berkenaan pernah menyumbang emas kepada Malaysia dengan Ziyad pada edisi 2016 di Rio manakala Latif dua kali muncul juara ketika Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Satu gangsa kontinjen negara di Paris pula dihadiahkan seorang lagi atlet olahraga para Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

Mengulas mengenai pencapaian kontinjen negara di Paris, Pekan memuji tindakan berani yang diambil MPM apabila menetapkan sasaran empat emas biarpun tidak berjaya merealisasikannya.

“Saya hormat dengan sasaran MPM, mereka berani letak sasaran. Mereka sedar kenapa perlu lagi letak sasaran tiga emas kerana sudah capainya sebelum ini.

“Sebenarnya memang boleh capai sasaran empat emas itu tetapi bergantung kepada prestasi atlet pada hari pertandingan. Dalam hal ini Ziyad dan Latif raih perak kita perlu hargainya kerana mereka pernah sumbang emas sebelum ini,” katanya.

Kontinjen negara berjaya membawa pulang tiga emas dalam dua edisi terakhir sebelum ini iaitu pada Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.-Berita Harian

Majlis Penutupan Sukan Paralimpik Paris 2024

Sekitar Majlis Penutupan Sukan Paralimpik Paris 2024 yang diadakan di Stade de France jam 8.00 malam waktu Paris semalam.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PEMBELIAN PERALATAN LATIHAN DAN PERTANDINGAN NFDP LELAKI DAN WANITA SERTA AMD BAGI TAHUN 2024-Tutup

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-
030501 – PERALATAN SUKAN

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/043/2024 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN PERALATAN LATIHAN DAN PERTANDINGAN NFDP LELAKI DAN WANITA SERTA AMD BAGI TAHUN 2024
TARIKH BUKA : 9 SEPTEMBER 2024 (ISNIN)
TARIKH TUTUP : 17 SEPTEMBER 2024 (SELASA)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Shukri Harun (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929027

Muat Turun: <Iklan><Spesifikasi><Maklumat Penyebutharga><Akuan Pembida>

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
FEI ENDURANCE WORLD CHAMPIONSHIP MONPAZIER, FRANCE

Tarikh: 7 September 2024

Sukan: Ekuestrian

Acara: Endurance (CH-M-E 160km)

Peringkat : Akhir

Keputusan : Berpasukan

🥇PERANCIS

Total Time : 26:33:11

🥈CHINA

Total Time : 31:21:13

🥉MALAYSIA

Total Time : 31:33:53

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukan Paralimpik 2024 labuh tirai

PARIS: Selepas 11 hari yang tidak dapat dilupakan penuh dengan persaingan sengit, persembahan bertaraf dunia dan paparan semangat juang yang tidak mudah luntur, obor Paralimpik akhirnya dipadamkan awal pagi tadi, menandakan berakhirnya Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bersejarah.

Stade de France yang penuh sesak dengan penonton, atlet dan tetamu kenamaan menjadi tumpuan majlis penutup yang memukau dipenuhi dengan persembahan hebat termasuk penghormatan kepada kehidupan malam Paris mengikut irama muzik elektronik.

Penyanyi Perancis, Santa memulakan persembahan dengan mendendangkan lagu ikonik Johnny Hallyday, Vivre pour le Meilleu, dengan penuh bertenaga yang memberikan aura luar biasa kepada acara penutup itu.

Atlet dari 168 delegasi Paralimpik berarak dengan penuh kebanggaan dalam stadium, disambut sorakan gemuruh penonton dan diiringi oleh pancaragam Pengawal Republik yang menambah kemeriahan suasana dengan mempersembahkan pilihan lagu popular Perancis dan antarabangsa.

Selepas Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Andrew Parsons mengisytiharkan temasya sukan itu ditutup dengan rasmi disusuli dengan persembahan oleh lapan penari termasuk atlet kurang upaya mengikut rentak DJ Perancis, Cut Killer.

Suasana pada upacara penutup Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France, Saint-Denis, awal pagi tadi. – Foto BERNAMA
Suasana pada upacara penutup Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France, Saint-Denis, awal pagi tadi. – Foto BERNAMA

Bendera Paralimpik kemudian diturunkan oleh pegawai Tentera Perancis sebelum diserahkan oleh Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo kepada Parsons yang menyerahkannya pula kepada Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass.

Ia sebagai simbolik bandar itu akan menjadi tuan rumah bagi edisi Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.

Penonton ‘dibawa’ ke pesta maya di Venice Skate Beach Park, California, menampilkan persembahan oleh bintang antarabangsa dan pemenang Anugerah Grammy lapan kali Anderson .Paak, bersama kumpulannya yang mempersembahkan lagu hit mereka, Come Down.

Obor Paralimpik kemudian memasuki stadium dalam tanglung yang dipegang oleh beberapa atlet Paralimpik Perancis termasuk bintang boccia dan pemenang pingat emas individu wanita BC1 (kecacatan fizikal), Aurelie Aubert, sebelum ia dipadamkan dengan sekali nafas.

Walaupun hujan, kemuncak majlis penutup menampilkan 23 DJ muzik elektronik diketuai oleh Jean-Michel Jarre, bapa muzik elektronik Perancis serta Kavinsky, yang meraikan kepelbagaian industri muzik elektronik Perancis yang penuh rancak.

Percikan bunga api yang menyinari langit pada upacara penutup Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France, Saint-Denis, awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Percikan bunga api yang menyinari langit pada upacara penutup Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France, Saint-Denis, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

China muncul sebagai juara keseluruhan buat kali keenam berturut-turut dengan 94 pingat emas, 76 perak dan 50 gangsa diikuti Britain (49-44-31) dan Amerika Syarikat (36-42-27).

Malaysia, bagaimanapun, menamatkan kempen mereka dengan kekecewaan di kedudukan ke-42 apabila gagal mencapai sasaran empat pingat emas dengan membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Subramaniam ambil tanggungjawab pencapaian di Paralimpik Paris 2024

PARIS: Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Paris 2024 Datuk R Subramaniam mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran empat emas ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Katanya, beliau menerima pencapaian membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya sukan empat tahun itu kali ini dengan hati terbuka.

“Kami cukup berani untuk menyasarkan empat emas kerana itu adalah penilaian sebelum bertolak ke Paris 2024.

“Namun, setibanya pada hari pertandingan, atlet tidak berputus asa cuma lawan mereka jauh hebat daripada mereka,” katanya kepada media Malaysia ketika ditemui di luar perkampungan sukan di sini hari ini.

Beliau mengambil contoh situasi Datuk Abdul Latif Romly yang seakan mengesahkan emas hatrik acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) menerusi catatan 7.45 meter (m) sebelum lompatan akhir Matvei Iakushev mewakili Atlet Paralimpik Neutral (7.51m) merampas emas dimenanginya sejak Rio 2016.

Justeru, Subramaniam berpendapat kontinjen negara mungkin memandang rendah keupayaan atlet negara lain sehingga menyebabkan mereka terlepas buruan emas seperti apa yang berlaku terhadap Latif Romly dan juga jaguh lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) Muhammad Ziyad Zolkefli yang turut menyumbang perak selepas emas disambar atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi.

“Mungkin prestasi pencabar Ziyad meningkat dengan ketara…jadi kita mungkin telah mengambil mudah pihak lawan. Jika anda menyertai pertandingan , anda mesti mengetahui kemampuan lawan,” katanya.

Dua emas negara disumbang jaguh badminton para Cheah Like Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang mendominasi acara lelaki 72kg manakala gangsa pula dihadiahkan seorang lagi atlet olahraga para Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).

Dalam pada itu, beliau yang juga Setiausaha Agung MPM berkata, satu perubahan radikal perlu dilakukan termasuk memperkasakan ekosistem sukan sedia ada bagi menjamin kecemerlangan atlet paralimpik negara bermula dari peringkat akar umbi.

Katanya perbincangan bagi melakukan perubahan drastik tersebut perlu melibatkan pelbagai pihak antaranya MPM, Majlis Sukan Negara, persatuan sukan kebangsaan dan para atlet.

“Kesedaran mengenai Sukan Paralimpik semakin tinggi dalam kalangan negara luar. Dahulu mereka tak endah namun sekarang sudah tunjuk minat dan melabur seberapa banyak yang boleh.

“Jadi kita tidak boleh duduk dan fikir zaman kegemilangan kita akan kekal selamanya. Oleh itu perlu mengambil langkah prubahan yang drastik,” katanya.

Prestasi kali ini juga dilihat merudum berbanding Rio 2016 dan Tokyo 2020 yang masing-masing menyumbang tiga emas.

Sukan Paralimpik Paris 2024 yang bermula 28 Ogos akan melabuhkan tirainya dengan upacara penutup di Stade de France dijadual berlangsung 8.30 malam ini waktu tempatan (2.30 pagi Isnin waktu Malaysia). – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pestabola Merdeka: Malaysia akhiri badi trofi 14 tahun

MALAYSIA muncul juara Pestabola Merdeka 2024 setelah mengejutkan pasukan di ranking ke-116 dunia, Lubnan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Kemenangan jaringan tunggal Romel Morales pada minit ke-33 itu menamatkan kemarau kejuaraan negara di pentas antarabangsa yang kali terakhir memenangi Piala Suzuki pada 2010.

Malah Malaysia juga menamatkan badi kekalahan kepada pasukan dari negara Arab yang kali terakhir menang 2-1 ke atas Yaman 10 tahun lalu.

Kemenangan itu juga pasti melegakan skuad Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-134 dunia meskipun tanpa sokongan Ultras Malaya.

Malah jurulatih sementara, Pau Marti Vecente boleh tidur lena apabila berjaya menghadiahkan trofi pertama selepas mengambil alih kerusi panas itu dari Kim Pan-gon.

Terdahulu dalam aksi yang agak panas itu, skuad Harimau Malaya berpeluang di depan menerusi sepakan percuma Safawi Rasid, namun dinafikan penjaga gol, Mehdi Khalil.

Memasuki babak kedua, Pau Marti membuat dua pertukaran.

Pemain Malaysia meraikan jaringan yang dihasilkan Romel Morales (kanan) pada perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2024, Malaysia menentang Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama

Pemain Malaysia meraikan jaringan yang dihasilkan Romel Morales (kanan) pada perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2024, Malaysia menentang Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama

Pemain sensasi, Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid dibawa masuk menggantikan Sapawi Rasid serta Syafiq Ahmad.

Kemasukan duo Arif Aiman dan Akhyar mencetuskan impak buat skuad negara apabila berpeluang menambah jaringan, namun Mehdi kebal di gawang.

Serangan balas lantas Lubnan turut mencemaskan benteng negara.

Mujur Syahin Hazmi ampuh di gawang menangkap kemas tandukan Karim Darwich.

Malang kemudian menimpa Lubnan apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas Khalil Khamis dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Akhyar.

Aksi selepas itu agak tegang apabila Lubnan yang terdesak memburu gol penyamaan mengasak kubu negara yang mencetuskan insiden kekasaran.

Para pemain negara yang tenang dengan situasi itu mengawal permainan dengan baik sebelum pengadil, Thoriq Munir Al-Katir mengesahkan kemenangan Malaysia 1-0.

Kali terakhir Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka ialah pada edisi 2013 menerusi skuad bawah 23 tahun.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN HADIAH KARNIVAL SUKAN WANITA KEBANGSAAN 2024

YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Timbalan Ketua Pengarah (Sukan), MSN telah hadir ke Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah bagi Karnival Sukan Wanita Kebangsaan 2024 yang melabuhkan tirainya hari ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Penglibatan seramai 1100 orang atlet dan jurulatih pada karnival kali ke-2 yang dianjurkan oleh MSN dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan juga Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) telah diadakan pada 4 hingga 8 September 2024.

Majlis Sukan Negara Malaysia