Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives September 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kontinjen Paralimpik negara sukar capai sasaran?

PARIS: Berbaki kurang seminggu sebelum temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 melabuhkan tirai, kontinjen negara berdepan tugas getir dalam merealisasikan impian 10 pingat emas keseluruhan sejak membawa pulang masing-masing tiga pada Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Malaysia setakat ini mengumpul satu emas menerusi jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou yang mempertahankan kejuaraannya di sini selepas menewaskan Suryo Nugroho dari Indonesia 21-13, 21-15 kelmarin.

Jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli yang dalam radar emas kontinjen negara bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara lontar peluru lelaki F20 selepas pulang tangan kosong susulan insiden dibatalkan penyertaannya gara-gara lewat ke bilik panggilan pada edisi lalu di Tokyo.

Secara realistik, Malaysia boleh menyandarkan harapan kepada atlet lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) Datuk Abdul Latif Romly serta jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin yang masing-masing akan beraksi pada Jumaat dan Sabtu ini untuk menambah koleksi emas sambil mengharapkan keajaiban daripada atlet lain mencapai sasaran ditetapkan.

Terdahulu, Ziyad meraih pingat perak dengan catatan 17.18 meter di belakang atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi yang melakukan rekod dunia baharu 17.61m untuk emas manakala rakan senegaranya Maksym Koval terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 16.99m.

Dua atlet olahraga para Ammar Aiman Nor Azmi dan Nazmi Nasri tidak dapat menjelmakan kilauan pingat buat kontinjen negara pada edisi kali ini.

Ammar Aiman menamatkan saingan di tempat keempat acara 400m lelaki T20 (kecacatan intelektual) dengan catatan 48.38 saat manakala Nazmi pula kelima acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) dengan lompatan sejauh 6.00m pada percubaan kedua.

Sementara itu, impian gandingan Abdul Razzaq Abdul Rahman-Noor Askuzaimey Mat Salim ke suku akhir beregu campuran BC4 (kecacatan fizikal) lebur selepas menduduki tempat terakhir Kumpulan A di belakang Colombia dan Ukraine.

Hanya dua pasangan teratas setiap kumpulan mara ke suku akhir.

Hari ini, atlet memanah S Suresh akan turun beraksi dalam pusingan penyingkiran 1/16 acara recurve lelaki berdepan Eric Bennett dari Amerika Syarikat yang pernah ditewaskannya ketika muncul juara dunia 2019 di Belanda.

Selain emas Liek Hou dan perak Ziyad, kontinjen negara juga merangkul gangsa menerusi Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal), Ahad lalu. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pecut 400m T20

Good job Ammar 🔥💪🏻.. Atlet Para Olahraga Muhammad Ammar Aiman menamatkan saingan Pecut 400m T20 dengan catatan 48.38s di Stade De France sebentar tadi untuk berada di kedudukan ke-4 keseluruhan.

Lompat Jauh T37

Good job Nazmi🔥💪🏻.. Atlet Para Olahraga Muhammad Nazmi Nasri menamatkan saingan acara lompat jauh T37 dengan lompatan sejauh 6.00 meter di Stade De France sebentar tadi untuk berada di kedudukan ke-5 keseluruhan.

Lontar Peluru

Tahniah Ziyad🔥💪🏻.. The Smiling Giant Ziyad Zolkefli menambah koleksi pingat kontinjen dalam acara lontar peluru F20 dengan meraih pingat perak untuk negara.

Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.18 meter tidak dapat mengatasi lontaran wakil Ukraine Oleksandr Yarovyi yang mencipta rekod dunia dengan lontaran 17.61 meter.

Boccia

Kudos team 🔥💪🏻.. Aksi Noor Askuzaimey Mat Salim dan Abdul Razzaq Abdul Rahman dalam Peringkat kelayakan Boccia Mixed Pair BC4.

Pasukan Negara berjaya menewaskan wakil Ukraine dengan kiraan mata 4-5.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Badminton : perebutan pingat gangsa

Cuba lagi Fareez 💪🏻🇲🇾 Muhammad Fareez Anuar dalam aksi perebutan pingat gangsa menentang Dheva Andimusthi di Temasya Paralimpik Paris.

Fareez tewas ditangan pemain nombor 2 dunia dari indonesia dengan catatan 21-17,19-21,12-21

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
RM15 juta untuk Harimau Malaya

KERAJAAN mengumumkan peruntukan RM10 juta khusus untuk memperkukuh pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya.

Berucap di Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan (MoF), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM5 juta turut diberikan syarikat swasta sebagai komitmen terhadap sukan tersebut.

“RM15 juta ini khusus untuk kebajikan, latihan dan makan minum pasukan, jurulatih dan pengurusan supaya kita dapat mengangkat nama Harimau Malaya sebagai gergasi Asia,” katanya pada Selasa.-Sinar

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Olahraga, boccia tumpuan hari ini

PARIS: Kelibat jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang turun beraksi acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) pastinya dinanti-nantikan peminat sukan tanah air pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang masuk hari keenam esok.

Ziyad sudah semestinya diharapkan dapat merampas emas yang pernah dimenanginya pada Sukan Paralimpik Rio 2016 selepas mengalami detik hitam dengan penyertaannya dibatalkan pada Tokyo 2020 gara-gara lewat ke bilik panggilan sekali gus dinafikan pingat diidamnya ketika itu.

Bagaimanapun, tugas atlet berusia 34 tahun itu bukan mudah apabila bakal berdepan juara bertahan Maksym Koval dari Ukraine, yang juga pemegang rekod dunia dengan 17.57 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris.

Kejayaan memenangi emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, dengan lontaran 17.43m diharapkan dapat menjadi tonik buatnya untuk kembali meraih kedudukan tertinggi podium di Stade de France.

Selain Ziyad, kejutan juga tidak mustahil dijelmakan oleh dua lagi wakil negara, Muhammad Nazmi Nasri yang bersaing dalam acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) dan Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi (kecacatan intelektual).

Ini berikutan Nazmi pernah merangkul emas acaranya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 dan Ammar Aiman pula meraih gangsa, juga di Kobe.

Dalam pada itu, jaguh badminton para Cheah Liek Hou menceriakan kontinjen Malaysia pada hari kelima Paris 2024 dengan menyumbang emas sulung buat negara di Porte de La Chapelle Arena.

Pemain nombor satu dunia dan pilihan utama Paris 2024 memastikan emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) berada dalam genggamannya selepas kali pertama memenanginya di Tokyo 2020 dengan mengecewakan wakil Indonesia Suryo Nugroho 21-13, 21-15.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika ditemui pemberita Malaysia selepas final badminton pula seronok dapat mendengar lagu Negaraku berkumandang dan berharap agar kejayaan Liek Hou memberi inspirasi buat atlet lain untuk menambah koleksi pingat bagi negara.

Ketua Kontinjen negara, Datuk R Subramaniam pula optimis Malaysia berada dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran empat emas manakala Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pula menyifatkan pingat emas Liek Hou sebagai hadiah dari pihaknya bersempena Hari Kebangsaan ke-67 yang disambut Sabtu lepas.

Impian rakan sepasukannya, Muhammad Fareez Anuar merangkul pingat pada penampilan sulung di pentas Paralimpik musnah apabila tumpas kepada Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 19-21, 12-21 dalam perlawanan penentuan gangsa.

Saingan di Paris La Defense Arena pula menyaksikan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli terlepas peluang menyinar dalam acara kegemarannya, 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) dengan berada di kedudukan keenam menerusi catatan 1 minit 46.71 saat (s).

Dua wakil memanah negara G Daneshen dan Nur Jannaton Abdul Jalil disingkirkan wakil Itali Matteo Bonacina-Eleonora Sarti bagi pusingan penyingkiran 1/8 acara compound berpasukan campuran terbuka 141-147. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Liek Hou mahu terus berjuang selagi mampu

PARIS: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou enggan memikirkan soal menggantung raket ketika ini sebaliknya tekad terus berjuang demi negara selagi kudratnya terdaya.

Liek Hou mengakui pencapaian mempertahankan emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) bukanlah satu pengakhiran buat kariernya kerana masih dahagakan kejayaan demi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Walaupun tidak boleh meramalkan peluang beraksi pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles (LA28), pemain berusia 36 tahun itu berkata mahu memberi tumpuan terlebih dahulu bersaing pada Sukan Para Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

“Masih ada empat tahun lagi sebelum ke Los Angeles 2028 dan saya pun tidak tahu apa akan terjadi kepada saya ketika itu… yang penting saya akan fokus tahun demi tahun menuju ke Sukan Para Asia 2026 di Jepun.

“Kejayaan menang emas di sini menandakan kondisi saya masih boleh tahan lagi, jadi saya mahu cipta lebih banyak rekod dan sejarah buat sukan badminton para selagi diri masih kuat,” kata Liek Hou.

Perlawanan akhir di Porte de La Chapelle Arena menyaksikan Liek Hou menepati ramalan apabila menghadiahkan pingat emas pertama negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan mengatasi wakil Indonesia Suryo Nugroho 21-13, 21-15 dalam masa 42 minit.

Mengulas mengenai permainan malam tadi, beliau berkata Suryo kadang kala terperangkap dengan tiupan angin dalam venue dan beliau memanfaatkan kesempatan tersebut dengan menukar corak permainan kepada mod menyerang di penghujung set kedua untuk memastikan emas kekal berada dalam genggamannya.

Ditanya erti pelukan diberikan kepada Nova Armada sejurus tamat perlawanan, Like Hou berkata bahawa jurulatih dari Indonesia itu kerap berada di sisinya tidak kira sewaktu senang mahupun susah.

“Jurulatih Nova faham karakter saya, dia tahu betapa saya susah dan bergelut dari dahulu sampai sekarang. Saya tidak mahu mengecewakan dia sebab itu kejayaan ini mahu dedikasikan kepadanya juga” katanya.

Dalam pada itu, pemain nombor satu dunia yang sangat gembira dengan pencapaiannya, mahu berehat seketika selepas melakukan pengorbanan besar meninggalkan keluarga khususnya isteri tercinta, Dewi Febriana, 31, demi mengejar impian mengekalkan emas di Paris 2024.

Justeru, beliau merancang untuk membawa isterinya balik ke kampung halaman di Medan, Indonesia selain melancong ke luar negara bagi meraikan kejayaan di Paris 2024 dan menghargai sokongan padu insan tercintanya selama ini.

Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan termasuk Menterinya Hannah Yeoh, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas bantuan diberikan sebelum ini. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Fareez tertekan fikir soal pingat

PARIS: Terlampau memikirkan soal membawa pulang pingat pada penampilan sulung di Sukan Paralimpik Paris 2024 ternyata menjejaskan persembahan Muhammad Fareez Anuar dalam perlawanan penentuan pingat gangsa acara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di sini, malam tadi.

Biarpun menang set pertama 21-17, Fareez tidak berupaya mengekalkan momentum sebelum dikecewakan Dheva Anrimusthi dari Indonesia 21-19, 21-12, sekali gus menyaksikan pemain Indonesia itu membawa pulang gangsa dari Porte de La Chapelle Arena.

Fareez mengakui dirinya diselubungi tekanan hebat sehingga tidak dapat menampilkan permainan sebenarnya ketika berdepan Dheva dan mengulangi persembahan menakjubkan ketika muncul juara Kumpulan B yang dianggap sebagai ‘kumpulan maut’.

“Apa yang membezakan antara saya dan Dheva adalah pengalaman. Lawan pernah beraksi di Tokyo 2020 dan paling penting saya tidak dapat mengawal diri.

“Saya memang agak keras kerana terlampau berharap (pingat gangsa) sehinggakan permainan saya serba tidak menjadi hari ini,” kata Fareez.

Pemain berusia 28 tahun itu turut mengakui tekanan lebih kuat dialaminya ketika perlawanan separuh akhir menentang pemenang pingat perak dari Indonesia Suryo Nugroho, yang menyaksikannya tewas 12-21, 21-14, 6-21, kelmarin.

“Saya memang tak dapat nikmati permainan separuh akhir kerana ia paling tertekan. Ketika itu saya memang fikir harapan untuk beraksi dengan Liek Hou di final kerana jika mara sah pingat dalam tangan,” katanya.

Walaupun sedih tidak dapat membawa pulang pingat buat negara, pemain nombor empat dunia itu tetap bersyukur memperoleh pengalaman berharga beraksi dalam suasana pertandingan di peringkat tertinggi.

Selain berazam mengukuhkan daya ketahanan mentalnya selepas ini, Fareez juga tekad kembali bangkit dengan merangkul pingat pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.

Beliau memulakan kempen pada peringkat Kumpulan B dengan mengejutkan pilihan kedua, Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-14, 21-18 sebelum melakukan dua kebangkitan hebat untuk menewaskan Dheva 14-21, 21-19, 21-19 dan pemain Jepun, Taiyo Imai 17-21, 21-17, 21-17.

Liek Hou menepati ramalan dengan mempertahankan emas dimenanginya menewaskan Suryo 21-13, 21-15 sekali gus menyumbang emas pertama buat kontinjen negara pada hari kelima Paris 2024. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia