Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives September 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bonnie harapan emas kedua Malaysia

PARIS: Jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang akan turun dalam kategori 72 kilogram lelaki di Porte de La Chapelle Arena hari ini menjadi sandaran emas kedua kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Kontinjen negara juga pastinya mengharapkan Porte de La Chappelle terus ‘bertuah’ buat mereka selepas jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menyumbang emas sulung dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), Isnin lalu di gelanggang pertandingan itu.

Di atas kertas, badang kerdil dari Sarawak itu berpotensi besar untuk mempertahankan emas dimenanginya ketika membuat penampilan pertama Sukan Paralimpik bagi edisi 2020 di Tokyo.

Reputasi sebagai pemegang rekod dunia 231kg dan temasya 228kg meletakkan atlet berusia 25 tahun itu sebagai pilihan utama untuk menggegar acara powerlifting di sini.

Bukan itu sahaja, jurang angkatan Bonnie juga agak jauh jika dibandingkan dengan pencabar terdekatnya Donato Telesca dari Itali yang merekod angkatan terbaik 216kg.

Dalam pada itu, perenang para negara Imaan Aiman Muhammad Redzuan yang akan beraksi dalam acara 100m kuak lentang S14 (kecacatan intelektual) berpeluang mencipta sensasi pada penyertaan sulungnya di Paralimpik Paris 2024.

Selepas tular gara-gara wajahnya mirip pemain bola sepak kebangsaan, Safawi Rasid, Imaan Aiman yang gemar bergaya perlu menunjukkan kesungguhannya dan mencapai kecemerlangan di Paris.

Dia dijadual turun beraksi dalam saringan ketiga pada jam 10.37 pagi (4.37 petang waktu Malaysia) di Paris La Defense Arena.

Hanya lapan perenang terbaik daripada tiga saringan layak ke final. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Syaiful rindu cahaya mata sulung

PARIS: Di sebalik kegigihannya menjalani latihan bagi menghadapi Sukan Paralimpik Paris 2024, perenang para negara Nur Syaiful Zulkafli memendam rindu kepada cahaya mata sulungnya yang baru berusia tiga bulan.

Nur Syaiful berkata dia hanya sempat meluangkan masa beberapa hari sahaja bersama anak lelakinya itu susulan komitmen latihan selama dua bulan di China sebelum menyertai Sukan Paralimpik di sini.

“Saya sempat beberapa hari dengan isteri (Fatin Husna Japar) sehinggalah saat kelahiran Nashwan di Sarawak, kemudian saya perlu ke China untuk berlatih di sana.

“Selepas tamat latihan di China, saya hanya dibenarkan balik dua hari sahaja untuk menjenguk keluarga termasuk anak saya sebelum berlepas ke Paris 2024,” katanya.

Terdahulu, Nur Syaiful menutup kempen Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan meraih tempat ketujuh acara 50 meter gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dengan masa 34.34 saat di Paris La Defense Arena awal pagi tadi.

Perenang para negara Nur Syaiful Zulkafli beraksi dalam perlumbaan akhir 50m gaya bebas lelaki S5 pada Sukan Paralimpik Paris 2024, awal pagi tadi. – Foto BERNAMA
Perenang para negara Nur Syaiful Zulkafli beraksi dalam perlumbaan akhir 50m gaya bebas lelaki S5 pada Sukan Paralimpik Paris 2024, awal pagi tadi. – Foto BERNAMA

Dia juga beraksi dalam dua final sebelum ini dengan menduduki tempat keenam acara 100m gaya bebas lelaki S5 selepas merekodkan 1 minit 16.60s dan juga kedudukan sama dalam 100m kuak dada lelaki SB4 menerusi catatan masa 1:46.71s.

Perenang dari Sarawak itu berkata dia sememangnya mahu berehat seketika sejurus pulang ke tanah air minggu depan serta turut merancang untuk mengadakan kenduri akikah.

Mengenai prestasinya di Paris 2024, atlet berusia 29 tahun itu mengakui sukar mencabar kelompok perenang terbaik dunia dalam kelasnya yang memiliki kelebihan menggunakan kaki bagi meningkatkan kepantasan dalam kolam renang.

Dia yang hanya bergantung kepada bahagian atas badan bermula dari perut untuk berenang mengakui bergelut beraksi dengan jaguh negara lain susulan kecacatan di bahagian kaki dan lumpuh separuh badan, akibat kemalangan ketika berusia 17 tahun.

Bagaimanapun, pemenang emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 itu tetap berpuas hati kerana berjaya mencapai sasaran layak ke final bagi ketiga-tiga acara itu.

“Persatuan ada letak sasaran kepada saya untuk berada dalam kelompok lima terbaik acara 50m gaya bebas lelaki S5 namun tidak berjaya melakukannya hari ini. Namun KPI (indeks prestasi utama) saya layak tiga final tercapai,” katanya. – BERNAMA

Karnival Sukan Wanita Kebangsaan

Sekitar aksi peringkat kumpulan bagi sukan Hoki pada hari kedua Karnival Sukan Wanita Kebangsaan yang sedang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula 4 hingga 8 September 2024.

Menteri Belia & Sukan melawat Perkampungan Paralimpik Paris 2024

YB Hannah Yeoh, Menteri Belia & Sukan melawat Perkampungan Paralimpik Paris 2024. Beliau sempat berkunjung ke Bilik Rawatan ISN dan bertemu dengan atlet serta jurulatih kontinjen negara di dewan makan utama.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KURSUS PENGURUSAN SUKAN KEBANGSAAN (KPSK) TAHAP 1 BERSAMA INSTITUT KEMAHIRAN BELIA NEGARA (IKBN)

Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan (KPSK) Tahap 1 bersama Institut Kemahiran Belia Negara telah diadakan pada 2 hingga 5 Ogos 2024.

Kursus yang melibatkan peserta daripada Persatuan dan Kelab Sukan sekitar Daerah Kuala Langat itu telah diadakan Institut Kemahiran Belia Negara, Kuala Langat.

Majlis Penutup telah disempurnakan oleh En.Bashirul Ismail, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan Bahagian Pengurusan dan Professional diiringi oleh Encik Suhaimi Sun Abdullah selaku Panel Penilai Jawatankuasa Pelaksana Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan (KPSK) Tahap 1.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Karnival Sukan Wanita Kebangsaan

Sekitar aksi peringkat kumpulan bagi sukan Hoki di Karnival Sukan Wanita Kebangsaan yang sedang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula 4 hingga 8 September 2024.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Para Memanah

Good shot 🔥💪🏻.. Atlet Para Memanah S. Suresh melepasi pusingan pertama 1/16 dengan kemenangan 6-2 mengatasi Eric Bennett dari USA.

Suresh layak ke pusingan 1/8 untuk menentang wakil Iran sebentar lagi.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Para SUKMA 2024: Sarawak import bas Rapid KL

KUCHING, 28 Ogos– Sebanyak 25 buah bas RapidKL di bawa ke Sarawak bagi memudahkan pergerakan atlet Para SUKMA yang berkerusi roda sepanjang temasya berlangsung bermula 22 hingga 28 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Para SUKMA Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata seramai 300 atlet berkerusi roda terlibat pada temasya kali ini.

“Kita hanya ada 10 sukan dan kita mengambil kira faktor pergerakan atlet golongan orang kurang upaya (OKU) ini.”

“Jadi, kita hanya fokuskan acara di Kuching melibatkan 10 venue dan kebanyakkan venue di Petrajaya,” ujar Datu Hii kepada RTM selepas hadir temu bual dengan REDfm di RTM Sarawak, Kuching, pagi tadi.

Seramai 1,300 atlet dan 780 pegawai teknikal akan terlibat sepanjang Para SUKMA berlangsung.

Acara pembukaan dijangka dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar manakala penutup oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Stadium Perpaduan, Petrajaya.-berita.rtm

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
20 hotel dijadikan penginapan atlet Para SUKMA Sarawak 2024

KUCHING, 3 Sept: Sebanyak 20 buah hotel di sekitar bandar raya ini akan dijadikan sebagai tempat penginapan atlet Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 Sarawak, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak berkata, pihaknya yakin kemudahan itu akan memberikan keselesaan kepada seramai 1,290 atlet para SUKMA 2024 yang akan bertanding di sini.

Tambah beliau ketika ini beberapa persiapan akhir sedang dilaksanakan termasuklah menyediakan laluan berkerusi roda, kemudahan asas dalam lif penumpang, kafeteria dan kemudahan dalam bilik penginapan.

“Setakat ini persiapan perkampungan atlet sudah mencapai tahap 80 peratus. Urusan ini dipermudahkan kerana kita mengekalkan jawatankuasa penginapan bertugas pada SUKMA lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hotel Raia yang menjadi salah satu penginapan untuk atlet Para SUKMA.

Secara keseluruhan, seramai 2,111 atlet dan pegawai yang mewakili 15 kontinjen dari seluruh negara akan menyertai Para SUKMA Sarawak 2024.

Temasya itu akan berlangsung bermula 23 hingga 28 September 2024 kelak. -TVS.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Persiapan penganjuran Para SUKMA 2024 Sarawak sudah capai 80 peratus

KUCHING: Persiapan bagi penganjuran Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 Sarawak yang akan berlangsung pada 22 hingga 28 September ini sudah mencapai 80 peratus.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, semua jawatankuasa telah membuat persiapan dengan teliti berbekalkan pengalaman mengurus penginapan bagi atlet SUKMA 2024 yang baru melabuhkan tirainya.

Menurutnya jawatankuasa Para SUKMA 2024 juga merupakan jawatankuasa SUKMA 2024 yang menggalas tugas dan tanggungjawab sama cuma beberapa perkara khususnya dari segi logistik perlu diubah suai mengikut keperluan atlet para.

“Dari aspek penginapan misalnya kita lihat dari segi (atlet) khasnya yang menggunakan kerusi roda kerana kecacatan fizikal, cacat penglihatan dan kerdil termasuk yang mengalami masalah mental (mental disable), ubah suai perlu dibuat agar kemudahan disediakan menepati keperluan mereka.

“Maknanya perhatian khusus perlu diberi, semua aspek ini perlu diubah suai. Ini (persiapan) sudah mencapai 80 peratus kesiapsiagaan menerima para atlet para yang berjumlah 1,290 dan 260 berkerusi roda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke salah satu perkampungan Para SUKMA 2024 iaitu Hotel Raia di sini, hari ini.

Fatimah selaku menteri bertanggungjawab kepada penganjuran Para SUKMA 2024 berkata Perkampungan Para SUKMA 2024, 19 lagi hotel di sekitar Kuching akan digunakan dan penempatan para atlet adalah mengikut acara sukan disertai.

“Atas permintaan pengurus pasukan atau ketua kontinjen, penempatan atlet adalah mengikut acara sukan disertai kecuali kontinjen Sarawak, perkampungan mereka ialah di Hotel Imperial.

“Mereka akan diletakkan secara berpasangan dalam satu bilik, misalnya yang cacat penglihatan dan berkerusi roda digandingkan dengan yang kerdil atau mengalami masalah fizikal lain. 

“Ideanya supaya mereka dapat saling membantu antara satu sama lain,” jelasnya.

Beliau berkata pihaknya akan berusaha sebaik mungkin menyediakan kemudahan yang terbaik serta selesa kepada semua atlet para dan pengurus serta pegawai sukan.

“Kita mengakui mungkin tidak dapat menyediakan kemudahan yang paling ideal kerana setiap hotel mungkin ada had. 

“Hotel Raia menyediakan paling banyak bilik untuk OKU (orang kurang upaya) tetapi yang lain tidak banyak.

“Di situlah sentuhan insani kita perlu. Ada orang lain atau rakan atlet yang membantu menggerakkan kerusi roda misalnya,” katanya.

Untuk rekod, Para SUKMA XXI 2024 akan diadakan di Kuching mulai 22 hingga 28 September ini.

Sebanyak 10 acara akan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, pingpong, boling tenpin, boccia, boling padang, angkat berat, memanah dan catur.-utusanborneo

Majlis Sukan Negara Malaysia