KUCHING: Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada temasya Paralimpik Paris 2024 untuk meneruskan kecemerlangan pada kejohanan antarabangsa.
Sebaliknya, tumpuan harus diberikan untuk melahirkan lebih ramai atlet kalangan orang kelainan upaya (OKU) untuk bersaing di peringkat tertinggi.
Justeru, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memberi lebih banyak lagi peluang untuk OKU terbabit serius dalam sukan.
“Kita tidak bergantung kepada Bonnie (Bonnie Bunyau Gustin), Liek Hou (Cheah Liek Hou), Abdul Latif (Datuk Abdul Latif Romli), Ziyad (Muhamad Ziyad Zulkefli) dan Eddy (Eddy Bernard) sahaja.
“Sebab itu, saya berazam untuk memberi banyak lagi peluang dan platform untuk OKU dalam sukan pada tahun 2025,” katanya dalam ucapan Upacara Perasmian Para Sukan Malaysia Ke-21 (Para SUKMA XXI) Sarawak di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, hari ini.
Upacara berkenaan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Hannah berkata, Para SUKMA terbukti berkesan dalam melahirkan atlet hebat termasuk pemenang dua pingat emas Paralimpik, Bonnie yang bakatnya dikesan apabila memenangi pingat untuk Sarawak pada tiga temasya Para SUKMA iaitu pada 2014, 2016 dan 2018.
“Daripada 30 atlet TeamMAS yang membawa cabaran pada Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini, 19 adalah atlet yang lahir daripada Para SUKMA dan pencapaian Paralimpik yang membanggakan buat Malaysia dengan dua pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa.
“Saya akui, semua itu tidak akan dicapai tanpa kesungguhan yang tidak berbelah bahagi dengan kepimpinan ditonjolkan oleh Dato R Subramaniam, Setiausaha Agung MPM yang tanpa pernah putus asa sering memperjuangkan keperluan atlet para di MSN dengan pengurusan geran pentadbiran cemerlang serta kuat berusaha mempromosikan sukan para,” katanya.
Sehubungan itu katanya, sebagai perancangan strategik untuk tahun hadapan, beliau berjumpa dengan Menteri Kewangan II untuk cadangan Belanjawan 2025.
“Saya cuba meminta peruntukan khusus untuk program pembangunan sukan OKU seluruh negeri,” katanya.
Seramai 2,111 atlet dan pegawai yang mewakili 15 kontinjen dari seluruh negara menyertai temasya Para SUKMA XXI yang bermula hari ini hingga 28 September ini.-Berita Harian