Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bonnie dapat ‘durian runtuh’ RM500,000

KUCHING: Pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin layak dijadikan model yang harus dicontohi untuk menjadi atlet yang berjaya.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, berikutan kejayaan yang dicapai, kerajaan Sarawak menyediakan insentif sebanyak RM500,000 kepada Bonnie hasil kejayaannya meraih pingat emas Paralimpik Paris 2024.

Abang Johari berkata, beliau percaya ganjaran lumayan yang diterima atlet kelahiran Kampung Baru Mawang, Serian itu akan menjadi dorongan kepada atlet muda Para SUKMA untuk berlatih dengan lebih gigih lagi untuk mencapai kejayaan pada masa depan.

“Bonnie Bunyau adalah atlet para yang harus kita ambil sebagai contoh dan saya mengucapkan tahniah kepada beliau kerana berjaya memenangi pingat emas dan memecahkan rekod dunia.

Disyorkan Untuk Anda

“Pencapaian itu bukan sahaja mengharumkan negara Malaysia tetapi juga Sarawak dalam sukan antarabangsa,” katanya dalam ucapan pada Upacara Perasmian Para SUKMA XXI Sarawak di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, malam ini.

Abang Johari berkata, apabila berbicara mengenai atlet para, pasti ramai yang terbayang kepayahan mereka dalam mempersiapkan diri untuk mengharumkan nama negeri atau wilayah yang diwakili.

“Namun saya percaya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan kekuatan terbesar seorang atlet para adalah terletak pada semangat dan motivasinya untuk berjaya.

“Berbekalkan kepada kecekalan dan keberanian, mantra ‘impossible’ bertukar ke ‘I’m possible” adalah detik bagi menjadikan matlamat pencapaian atlet para setaraf dengan atlet normal,” katanya.

Menurutnya, pencapaian cemerlang atlet negara pada Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini membuktikan keupayaan atlet para Malaysia di arena sukan antarabangsa.

“Semangat mereka kita perlukan sebagai pendorong kepada pembudayaan dan pembangunan sukan para secara menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi.

“Setiap atlet para yang bakal bertanding di sini (Para SUKMA XXI) juga menunjukkan bahawa batasan fizikal bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.

Selain itu katanya, semua jenis sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Sejak berdekad lamanya, sukan mengajar kita untuk menyelami erti perpaduan, bekerjasama dan menanam rasa cinta kepada negara.

“Malah, sukan mengikat kita sebagai bangsa yang tebal dengan nilai-nilai kasih sayang sekali gus menyatukan kita merentasi garis-garis kaum dan agama sesuai dengan slogan rasmi kita, ‘Semangat Perpaduan Membara’,” katanya.-Berita Harian