Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives September 17, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pearly-Thinaah kaut RM234,234 dalam tempoh kurang sebulan

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh kurang sebulan, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah sudah mengumpul hadiah wang kemenangan keseluruhan berjumlah RM234,234.

Habuan lumayan itu diperoleh menerusi pencapaian mereka dalam tiga kejohanan yang disertai bermula Terbuka Jepun dari 20 hingga 25 Ogos diikuti Terbuka Korea (27 Ogos hingga 1 September) dan Terbuka Hong Kong (10 hingga 15 September).

Di Terbuka Jepun, Pearly-Thinaah yang terkandas di suku akhir meraih hadiah wang kemenangan sebanyak AS$5,312.50 (RM22,852).

Pasangan nombor lapan dunia itu kemudiannya menerima ganjaran sebanyak AS$15,960 (RM68,654) selepas muncul naib juara Terbuka Korea.

Semalam, Pearly-Thinaah terus menambah pendapatan mereka apabila membawa pulang hadiah wang kemenangan sebanyak AS$33,180 (RM142,728) susulan kejayaan muncul juara Terbuka Hong Kong.

Kedua-dua pasangan itu berpeluang untuk meraih ganjaran lebih lumayan apabila dijadual beraksi di Terbuka China yang bermula, esok.

Kejohanan bertaraf Super 1000 itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$2 juta (RM8.6 juta) dengan juara bagi acara beregu akan membawa pulang AS$148,000 (RM636,677).-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hasrat Izzat Shameer ada asasnya

KEM boling padang negara telah membuktikan kesediaan untuk dikembalikan semula ke dalam Program Podium berdasarkan pencapaian terkini atlet sukan tersebut.

Malah jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, pencapaian Izzat Shameer Dzulkeple kini pemain nombor satu dunia lelaki dan Nor Farah Ain Abdullah ranking kedua dunia wanita Siri Boling Padang Dunia (WBS) dijelmakan menerusi keputusan positif dalam setiap kejuaraan disertai kedua-duanya.

“Sejujurnya, apabila Izzat Shameer Dzulkeple menyatakan hasratnya supaya boling padang dikembalikan semula dalam Program Podium ada asasnya.

“Ini tidak hanya membolehkan atlet boling padang negara mendapat latihan lebih sistematik, tetapi paling penting untuk mereka tampil konsisten meraih lebih banyak keputusan positif bagi mengharumkan nama negara dalam temasya atau kejuaraan pada masa depan.

“Jadi kini PLBM (Persekutuan Boling Padang Malaysia) perlu tampilkan perancangan lebih bersistematik untuk sokongan berterusan selepas atlet mereka menyerlah menempatkan diri dalam kedudukan terbaik dunia kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara),” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Izzat Shameer sebelum ini menyuarakan harapan supaya sukan itu disenaraikan semula ke dalam Program Podium selepas menempatkan diri di kedudukan nombor satu dunia apabila mengumpul 822 mata mengatasi Stewart Anderson, Scotland (797 mata), Aron Sherriff, Australia (781 mata), Harry Goodwin, England (644 mata), Sheldon Bagrie-Howley, New Zealand (618 mata).

Pencapaian Izzat itu juga diikuti atlet boling padang wanita negara, Nor Farah Ain, apabila berada di kedudukan kedua ranking dunia dengan 645 mata mengekori rapat pendahulu, atlet Australia, Kelsey Cottrell (676 mata), yang turut dicabar Tayla Bruce, New Zealand (608 mata), Julie Forrest, Scotland (568 mata), dan Selina Goddard, New Zealand (567 mata).

Izzat Shameer mengungguli ranking nombor satu dunia selepas memenangi pingat emas acara perseorangan lelaki di Kejuaraan Boling Padang Asia, perak perseorangan lelaki dan gangsa beregu campuran bersama Nor Farah Ain di Guernsey.

Nor Farah Ain pula menduduki tempat kedua ranking wanita selepas memenangi pingat emas perseorangan wanita kejuaraan yang berlangsung di Kepulauan Channel.

Sebagai rekod, boling padang sebelum ini berada dalam Program Podium ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, namun dikeluarkan selepas sukan itu tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Asia Hangzhou 2022.-Sinar Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sarjit dedah punca Speedy Tigers duduki tangga tercorot

KUALA LUMPUR: Kurang klinikal di kawasan ‘D’ dan kerap melakukan kesilapan mudah menjadi antara punca Speedy Tigers menamatkan kempen Trofi Juara-Juara Asia (ATC) 2024 di China dengan nota mengecewakan.

Skuad hoki lelaki negara terpaksa menerima hakikat pahit menghuni tangga tercorot kejohanan membabitkan enam pasukan itu selepas tewas 2-4 kepada Jepun menerusi penalti shoot-out dalam penentuan tempat kelima dan keenam, hari ini.

Akur keputusan yang diraih mengecewakan, ketua jurulatih Sarjit Singh berkata anak buahnya tidak menyangka Jepun berjaya membawa permainan ke penalti shoot-out selepas terikat 4-4 tamat masa permainan.

“Kami ada peluang untuk menjaringkan gol tetapi kurang klinikal di dalam kawasan ‘D’,” kata Sarjit mengulas kekalahan kepada Jepun itu.

“Kami juga melepaskan gol yang agak mudah dan membenarkan Jepun untuk melakukan kebangkitan. Kami mendahului dan membenarkan lawan bangkit dengan memberi gol-gol yang tidak sepatutnya.

“Pemain sudah berusaha keras namun kesilapan mudah memusnahkan harapan kami untuk memenangi perlawanan.

“Kami tidak menjangkakan perlawanan akan berakhir dengan shoot-out, kerana kami yakin mampu untuk menamatkan perlawanan dalam tempoh 60 minit.”

Tiba di Hulunbuir, China dengan status naib juara edisi tahun lalu di India, keputusan kali ini sebagai rekod adalah yang terburuk pernah diraih skuad Speedy Tigers sepanjang tujuh penampilannya di kejohanan itu.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia