Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives September 11, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Prestasi perlu lebih baik berbanding pemain tempatan

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menganggap tidak salah mencari lebih ramai pemain naturalisasi serta warisan yang boleh dianggap ‘trend’ oleh mana-mana negara di peringkat global ketika ini.

Menurut Pau Marti, syarat yang perlu ditetapkan jika mana-mana pemain dari luar negara yang mahu menguatkan skuad kebangsaan selepas ini mestilah lebih baik berbanding anak tempatan.

Pau Marti berkata, barisan kejurulatihan akan terus menilai dari semasa ke semasa agar pemain-pemain yang dikenal pasti tidak sekadar ‘tangkap muat’ sebaliknya mampu memberi nilai tambah buat Harimau Malaya.

“Banyak negara ketika ini turut menggunakan pemain naturalisasi (serta warisan) dan inilah realiti yang perlu kita hadapi sekarang.

“Sebagai seorang jurulatih, pandangan saya kita tidak boleh menolak trend semasa. Jika mereka layak bermain untuk negara, kita perlu menilai mereka.

“Barisan kejurulatihan perlu melihat sama ada mereka benar-benar baik ataupun tidak untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan.

“Situasi ini telah berlaku di seluruh dunia, jadi saya pasti ia juga (boleh) menjadi ikutan buat Malaysia juga,” kata bekas pengendali skuad remaja Barcelona itu.

Sebagai rekod, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd. Amin sebelum ini mendedahkan dua pemain warisan, Wan Kuzain Wan Kamal dan Mats Deijl semakin hampir diserapkan dalam skuad kebangsaan.

Malah, kapten kelab Burnley yang beraksi di Liga Kejuaraan Inggeris (EFL), Josh Brownhill turut mendakwa memiliki salasilah darah Malaysia.-Kosmo

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
ACT 2024: Perjuangan belum berakhir

PERJUANGAN skuad hoki negara dalam Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, China masih belum berakhir kerana peluang buat semua pasukan yang bertanding masih terbuka.

Bekas pemain hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, belum masanya buat skuad Speedy Tigers menyerah kalah atau mengibar bendera putih, sebaliknya mereka perlu bangkit dengan lebih kuat pada baki tiga lagi perlawanan.

Biarpun nampak sukar, namun beliau percaya sebarang kemungkinan boleh berlaku dengan semangat juang tinggi para pemain yang dibimbing Sarjit Singh untuk mengintai slot separuh akhir dengan berada dalam kedudukan empat terbaik.

Malaysia memulakan langkah dengan keputusan 2-2 ketika menentang Pakistan dan kemudian tewas 2-4 kepada China untuk mengutip satu mata.

“Tidak bermula dengan baik dan bukan keputusan yang kita harapkan. Seri dan kalah sekali. Ini perkara yang biasa terjadi dalam mana-mana kejohanan.

“Kita mengharapkan kemenangan untuk perjalanan yang lebih mudah, namun terpaksa menempuh laluan berliku. Ia bukan penamat, perjuangan belum berakhir dan tiada yang mustahil.

“Bukan masa untuk kibar bendera putih lagi. Speedy Tigers perlu bangkit dengan lebih kuat. Baiki segala kelemahan dan fokus kepada perlawanan untuk mengintai kedudukan empat terbaik untuk mara ke separuh akhir,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Malaysia dalam misi wajib menang ke atas India yang akan ditentang pada Rabu, disusuli Jepun pada Khamis dan Korea Selatan pada Sabtu untuk berada dalam kelompok empat teratas sekali gus mara ke separuh akhir dalam saingan liga sepusingan itu.

Mirnawan menjelaskan, pasukan negara bukan tidak biasa menentang ketiga-tiga pasukan tersebut dan sudah mengetahui sebarang kelemahan serta kekuatan mereka.

Malah beliau percaya, Sarjit seorang yang berpengalaman maklum mengenai corak dan strategi sesuai untuk diterapkan dalam merencana permainan pasukan.

“Apa yang diperlukan ialah perbaiki kelemahan individu dan tingkatkan kekuatan pasukan. Para pemain senior bantu rakan sepasukan meningkatkan moral serta semangat mereka,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS SAMBUTAN KEPULANGAN KONTINJEN MALAYSIA DARI TEMASYA SUKAN PARALIMPIK PARIS 2024

YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah hadir pada Majlis Sambutan Kepulangan Kontinjen Malaysia dari Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di Balai Ketibaan KLIA malam tadi.

Kontinjen negara menamatkan saingan Paris 2024 di kedudukan ke-42 dengan membawa pulang 2 pingat emas, 2 perak dan 1 gangsa.

Turut hadir sama, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS dan YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.

Majlis Sukan Negara Malaysia