KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Shapawi Ismail mempertahankan Majlis Sukan Negara (MSN) susulan kenyataan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang mendakwa agensi itu campur tangan dalam pengurusan kontinjen negara di Sukan Paralimpik Paris 2024 sekali gus menjadi salah satu faktor kegagalan Malaysia mencapai sasaran empat pingat emas.
Shapawi yang juga bekas Ketua Pengarah MSN percaya agensi itu melaksanakan tugas berdasarkan bidang kuasa mereka.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas panjang dakwaan yang ditimbulkan Megat D Shahriman itu kerana tidak mahu memberi publisiti yang tidak sepatutnya.
“Cukup saya katakan, mereka yang tahu pastinya tahu apa yang berlaku sebenarnya. Tiada guna saya beri komen panjang atau melayan kenyataan seperti ini yang mahu mencari publisiti murahan,” kata Shapawi kepada BH Sukan.
Shapawi menambah, kemenangan atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sepatutnya boleh dipertahankan kerana walaupun didakwa melewati masa pendaftaran untuk menyertai acaranya, dia masih dibenarkan bertanding.
“Sepatutnya sesiapa yang melewati masa pendaftaran tidak akan dibenarkan bertanding dan dikategorikan dalam DNP (Did Not Participate). Jadi, ada kelebihan buat Ziyad tetapi siapa ketua kontinjen dan pengurus pasukan olahraga di Tokyo, bukankah watak yang sama di Paris kali ini?.
“Watak yang sama sibuk menampalkan gambarnya di perkampungan sukan untuk bertanding jawatan di Majlis Paralimpik Asia sehingga ditegur oleh pihak penganjur,” katanya.
BH Sukan sebelum ini melaporkan Megat D Shahriman menuntut MSN untuk turut memikul tanggungjawab bersama MPM di atas kegagalan kontinjen negara di Paris yang sekadar meraih dua pingat emas berbanding empat yang disasarkan.
Beliau mendakwa MSN banyak campur tangan dalam pengurusan kontinjen negara yang menyaksikan ada ‘dua kapten dalam satu kapal’ selain mengambil tugasan yang sepatutnya dijalankan MPM.
Dakwa Megat D Shahriman lagi, MSN turut membuli ketua kontinjen negara ke Paris yang dipilih MPM, Datuk R Subramaniam dan tidak menghormatinya.
Katanya, beliau tidak boleh lagi berdiam diri kerana perkara ini sudah berlarutan sejak Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Di Sukan Paralimpik Paris, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-42 keseluruhan apabila meraih dua emas, dua perak dan satu gangsa.
Dua emas negara disumbang jaguh badminton para, Cheah Like Hou bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang mendominasi acara lelaki 72kg manakala perak diraih Datuk Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) dan Ziyad dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual).
Satu gangsa pula dihadiahkan seorang lagi atlet olahraga para Eddy Bernard dalam acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).-Berita Harian