Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hannah harap giliran atlet wanita tuai pingat di Olimpik LA28 

PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap lebih ramai atlet wanita negara menyinar dalam tempoh empat tahun dari sekarang dan seterusnya mampu menuai pingat pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) nanti.

Tegas Hannah, pada temasya Sukan Olimpik Tokyo (2020) dan Paris (2024) menyaksikan tiada seorang atlet wanita negara berjaya meraih pingat sekali gus meletakkan harapan cukup tinggi agar kemarau pingat itu mampu ditamatkan di Los Angeles pada 2028 nanti.

Oleh itu, Hannah berharap atlet negara terutama sukan skuasy yang dipertandingkan buat kali pertama di Sukan Olimpik LA28 tersebut mampu mengubah keadaan itu kerana ketika ini terdapat ramai atlet skuasy wanita negara berada dalam ranking 100 dunia.

“Jika dilihat ketika ini, matlamat kami semakin jelas menuju LA28 dan potensi emas akan menjadi sangat jelas terutama menerusi pemain ranking 10 terbaik dunia iaitu S. Sivasangari.

“Kita juga tidak bergantung kepada Sivasangari tetapi impian meraih pingat juga terarah kepada pemain terbaik lain seperti Aifa Azman, Aira Azman, Rachel Arnold dan pemain yang lain.

“Pada masa ini, mereka sudah meraih pingat di Sukan Asia, maknanya kita sudah berada pada tahap terbaik. Tetapi untuk mendapatkan pingat emas, kita mempunyai cabaran dari Mesir dan juga negara lain.

“Sebab itu, persiapan perlu dibuat dengan cukup baik bermula dari sekarang,” katanya pada majlis pelancaran Kejohanan Piala Skuasy ACE Malaysia 2024 yang berlangsung di pada 12 hingga 17 November di pusat beli-belah terkemuka, The Curve.

Tambah Hannah, kejohanan seperti Piala Skuasy ACE Malaysia akan memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat Malaysia dalam sukan itu.

“Saya fikir mengadakan acara ini di pusat beli-belah adalah idea yang bagus kerana ia boleh memberi inspirasi kepada kanak-kanak yang kebetulan berada di pusat membeli-belah sekali gus mampu menarik minat mereka dalam sukan ini.

“Saya masih ingat sewaktu Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan bahawa beliau mendapat inspirasi untuk menjadi pelumba berbasikal selepas menyaksikan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) melalui kampungnya semasa kecil,” tambah Hannah.

Lebih 100,000 penonton dijangka menyaksikan Piala Skuasy Malaysia yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$103,000 (RM447,000). -KOSMO! ONLINE