Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Noor Ainaa kembali raih gelaran selepas 17 bulan

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara, Noor Ainaa Amani Ampandi akhirnya menamatkan kemarau 17 bulan tanpa sebarang gelaran dengan menjuarai Ace Challenger Tour 12k 2024, hari ini.

Pemain berusia 22 tahun itu meraih gelaran ketiga dalam kariernya dengan menewaskan Hana Ismail dari Mesir 11-9, 11-4, 11-7, selepas pertarungan 35 minit dalam aksi final wanita yang berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta di sini.

Sebelum melangkah ke final, Noor Ainaa yang merupakan pilihan kedua, terlebih dahulu menyingkirkan pilihan ketiga S Akanksha dari India di separuh akhir, manakala Hana mengejutkan pilihan utama tuan rumah, Aifa Azman dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Noor Ainaa, yang gelaran terakhir diraihnya merupakan kemenangan berturut-turut di Hong Kong Challenge Cup dan Terbuka SRFI di India masing-masing pada Mac dan April tahun lepas, berkata kemenangan hari ini membuktikan dia tidak jauh ketinggalan daripada tiga pemain utama negara.

“Ini merupakan gelaran ketiga dan pertama saya untuk tahun ini, sangat bersyukur walaupun pada awal tahun saya agak sukar bermain di Jelajah Dunia menentang 10 pemain terbaik dunia. Saya perlu menyesuaikan diri dengan gaya permainan mereka yang jauh lebih bagus daripada saya.

“Saya juga berdepan sedikit kesukaran dengan prestasi yang turun naik selain perlu fokus kepada pelajaran saya dan dua sesi latihan setiap hari. Saya juga terpaksa mengubah program latihan saya sebagaimana latihan pemain terbaik lain.

“Pada awalnya saya mengalami kesukaran dengan gaya latihan tetapi sedikit demi sedikit segalanya berbaloi. Kemenangan ini membuktikan saya masih di sini dan masih bagus seperti dulu, malah mungkin lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya kepada pemberita.

Noor Aina, yang akan berlepas ke Amerika Syarikat bulan depan untuk bermain dalam beberapa kejohanan di sana, berharap dapat tersenarai dalam 40 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini berbanding ranking ke-57 ketika ini.

Sementara itu, pilihan utama V. Senthilkumar dari India merangkul gelaran bagi kategori lelaki mengalahkan Noor Zaman dari Pakistan 11-5, 11-6, 11-9. – BERNAMA