Peluang terbaik enam wakil ke WTF 2024

SKUAD badminton Malaysia berpeluang menyertai Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di China akhir tahun ini dengan penyertaan yang lebih meriah berbanding dua wakil pada musim lalu.

Bagi edisi 2023, kem negara diwakili beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi dan beregu campuran, Toh Ee Wei-Cheng Tang Jie.

Ia susulan kedudukan terbaharu yang dikemas kini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa yang menyaksikan pasukan negara berada dalam landasan terbaik untuk menghantar enam wakil.

Penganalisis sukan, Zakaria Rahim melihat perkembangan itu sebagai sangat positif, namun mereka tidak boleh cepat berpuas hati dengan kedudukan tersebut kerana peluang masih terbuka buat semua wakil.

Beliau berkata, terdapat 11 lagi kejohanan menyusul termasuk Terbuka Taiwan yang sedang berlangsung menjadi pentas buat mereka mengekalkan kedudukan atau memperbaiki ranking ke tangga yang lebih selesa.

“Jika diukur daripada kedudukan terkini, Malaysia setakat ini ada 11 pemain atau enam wakil iaitu seorang pemain perseorangan dan lima beregu yang telah berada di kedudukan lapan terbaik WTF.

“Ini satu kedudukan yang menarik dan membanggakan,” katanya.

Ia masing-masing melibatkan satu wakil perseorangan lelaki dan beregu wanita, manakala dua wakil masing-masing daripada beregu lelaki serta beregu campuran.

Sebagai rekod hanya lapan wakil bagi setiap kategori akan layak ke kejohanan penutup tahun itu yang akan berlangsung di Hangzhou dari 11 hingga 15 Disember.

Bagi perseorangan lelaki, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2023, Lee Zii Jia berada di kedudukan kelima daripada lapan terbaik.

Menyusuri beregu lelaki pula, Malaysia mempunyai tiga wakil yang menghuni kelompok lapan terbaik termasuk Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri berada di kedudukan keenam.

Pasangan profesional yang baru keluar dari naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 1 September lalu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (ketujuh) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (kelapan).

Aaron-Wooi Yik pula berdepan cabaran besar apabila tergelincir ke ranking 11.

Ia susulan kecederaan yang dialami Wooi Yik yang memaksa pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 melupakan saingan Terbuka Jepun dan Korea baru-baru ini.

Berita gembira buat beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah apabila sudah berjaya menembusi kelompok lapan terbaik selepas beraksi di pentas final Terbuka Korea Ahad lalu.

Di sebalik kedudukan tersebut, Zakaria berharap pasangan negara itu perlu bekerja lebih keras agar tidak tergelincir pada saat akhir.

“Perjalanan masih panjang menerusi banyak lagi kejohanan dan ia amat penting buat mereka untuk mengekalkan ranking atau memperbaiki kedudukan ke tangga yang lebih selamat,” katanya.

Saingan beregu campuran juga meriah menerusi pertembungan tiga pasangan termasuk Olimpian, Tang Jie dan Ee Wei yang berada di kedudukan selesa tangga kedua.

Turut mengintai peluang ialah pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Lai di tempat ketiga dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (ketujuh).

Selepas kejohanan Antarabangsa Syed Modi di India senarai terakhir akan dikemaskini oleh BWF untuk mengesahkan lapan terbaik daripada lima kategori untuk ke Jelajah Dunia Akhir.-Sinar