Bonnie harapan emas kedua Malaysia

PARIS: Jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang akan turun dalam kategori 72 kilogram lelaki di Porte de La Chapelle Arena hari ini menjadi sandaran emas kedua kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Kontinjen negara juga pastinya mengharapkan Porte de La Chappelle terus ‘bertuah’ buat mereka selepas jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menyumbang emas sulung dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), Isnin lalu di gelanggang pertandingan itu.

Di atas kertas, badang kerdil dari Sarawak itu berpotensi besar untuk mempertahankan emas dimenanginya ketika membuat penampilan pertama Sukan Paralimpik bagi edisi 2020 di Tokyo.

Reputasi sebagai pemegang rekod dunia 231kg dan temasya 228kg meletakkan atlet berusia 25 tahun itu sebagai pilihan utama untuk menggegar acara powerlifting di sini.

Bukan itu sahaja, jurang angkatan Bonnie juga agak jauh jika dibandingkan dengan pencabar terdekatnya Donato Telesca dari Itali yang merekod angkatan terbaik 216kg.

Dalam pada itu, perenang para negara Imaan Aiman Muhammad Redzuan yang akan beraksi dalam acara 100m kuak lentang S14 (kecacatan intelektual) berpeluang mencipta sensasi pada penyertaan sulungnya di Paralimpik Paris 2024.

Selepas tular gara-gara wajahnya mirip pemain bola sepak kebangsaan, Safawi Rasid, Imaan Aiman yang gemar bergaya perlu menunjukkan kesungguhannya dan mencapai kecemerlangan di Paris.

Dia dijadual turun beraksi dalam saringan ketiga pada jam 10.37 pagi (4.37 petang waktu Malaysia) di Paris La Defense Arena.

Hanya lapan perenang terbaik daripada tiga saringan layak ke final. – BERNAMA