Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Persiapan penganjuran Para SUKMA 2024 Sarawak sudah capai 80 peratus

KUCHING: Persiapan bagi penganjuran Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 Sarawak yang akan berlangsung pada 22 hingga 28 September ini sudah mencapai 80 peratus.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, semua jawatankuasa telah membuat persiapan dengan teliti berbekalkan pengalaman mengurus penginapan bagi atlet SUKMA 2024 yang baru melabuhkan tirainya.

Menurutnya jawatankuasa Para SUKMA 2024 juga merupakan jawatankuasa SUKMA 2024 yang menggalas tugas dan tanggungjawab sama cuma beberapa perkara khususnya dari segi logistik perlu diubah suai mengikut keperluan atlet para.

“Dari aspek penginapan misalnya kita lihat dari segi (atlet) khasnya yang menggunakan kerusi roda kerana kecacatan fizikal, cacat penglihatan dan kerdil termasuk yang mengalami masalah mental (mental disable), ubah suai perlu dibuat agar kemudahan disediakan menepati keperluan mereka.

“Maknanya perhatian khusus perlu diberi, semua aspek ini perlu diubah suai. Ini (persiapan) sudah mencapai 80 peratus kesiapsiagaan menerima para atlet para yang berjumlah 1,290 dan 260 berkerusi roda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke salah satu perkampungan Para SUKMA 2024 iaitu Hotel Raia di sini, hari ini.

Fatimah selaku menteri bertanggungjawab kepada penganjuran Para SUKMA 2024 berkata Perkampungan Para SUKMA 2024, 19 lagi hotel di sekitar Kuching akan digunakan dan penempatan para atlet adalah mengikut acara sukan disertai.

“Atas permintaan pengurus pasukan atau ketua kontinjen, penempatan atlet adalah mengikut acara sukan disertai kecuali kontinjen Sarawak, perkampungan mereka ialah di Hotel Imperial.

“Mereka akan diletakkan secara berpasangan dalam satu bilik, misalnya yang cacat penglihatan dan berkerusi roda digandingkan dengan yang kerdil atau mengalami masalah fizikal lain. 

“Ideanya supaya mereka dapat saling membantu antara satu sama lain,” jelasnya.

Beliau berkata pihaknya akan berusaha sebaik mungkin menyediakan kemudahan yang terbaik serta selesa kepada semua atlet para dan pengurus serta pegawai sukan.

“Kita mengakui mungkin tidak dapat menyediakan kemudahan yang paling ideal kerana setiap hotel mungkin ada had. 

“Hotel Raia menyediakan paling banyak bilik untuk OKU (orang kurang upaya) tetapi yang lain tidak banyak.

“Di situlah sentuhan insani kita perlu. Ada orang lain atau rakan atlet yang membantu menggerakkan kerusi roda misalnya,” katanya.

Untuk rekod, Para SUKMA XXI 2024 akan diadakan di Kuching mulai 22 hingga 28 September ini.

Sebanyak 10 acara akan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, pingpong, boling tenpin, boccia, boling padang, angkat berat, memanah dan catur.-utusanborneo