Nazmi mahu ‘pulun’ awal ke LA28

PARIS: Atlet olahraga para negara, Muhammad Nazmi Nasri tekad bekerja lebih keras untuk memastikan dia layak beraksi pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles (LA28) sekali gus memburu pingat emas.

Biarpun kecewa pulang tangan kosong pada penampilan pertamanya di Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, Nazmi berkata dia tidak akan mensia-siakan masa yang ada untuk merealisasikan impian seterusnya.

Juara dunia itu menamatkan saingan acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) di Stade de France awal pagi tadi di tempat kelima menerusi lompatan keduanya 6.00 meter.

“Persembahan saya di Paris 2024 kurang memuaskan tapi apa boleh buat, saya sudah buat yang terbaik dan itu takdir daripada Allah SWT.

“Insya-Allah di LA28 saya mahu ‘pulun’ dan mesti sasar emas,” katanya.

Atlet lompat jauh para negara Muhammad Nazmi Nasri mahu tebus kegagalan di Paris 2024 dengan pingat emas temasya Los Angeles 2028. – Foto REUTERS
Atlet lompat jauh para negara Muhammad Nazmi Nasri mahu tebus kegagalan di Paris 2024 dengan pingat emas temasya Los Angeles 2028. – Foto REUTERS

Pingat emas dimenangi atlet Argentina, Brian Impellizzeri dengan lompatan 6.42m manakala perak diraih Samson Opiyo dari Kenya (6.20m) dan gangsa milik Mateus Evangelista dari Brazil (6.20m).

Pencapaian itu juga menyaksikan atlet berusia 21 tahun tidak berjaya melepasi catatan peribadi terbaiknya 6.13m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lalu.

Nazmi yang mengalami erb’s palsy sejak lahir hingga sebelah badan kirinya kecil dan lemah juga berharap dapat menguatkan ketahanan fizikal, meningkatkan kelajuan dan memantapkan teknik lompatan untuk pergi lebih jauh pada masa depan.

Biarpun perasaan gemuruh menyelubungi dirinya di Paris 2024, dia mengakui seronok mengumpul pengalaman berharga sekali gus mampu mematangkan dirinya untuk mengawal tekanan sebaik mungkin dalam kejohanan mahupun temasya sukan akan datang.

Ditanya mengenai sasaran seterusnya, atlet dari Batu Pahat, Johor itu berazam untuk mempertahankan emas dimenangi pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025. – BERNAMA