Ammar Aiman kempunan gangsa 400m T20

PARIS: Pecutan terakhir pelari Mauritius menafikan impian Ammar Aiman Nor Azmi untuk meraih pingat gangsa acara 400 meter lelaki T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 awal pagi tadi.

Ammar Aiman memulakan larian dengan memberangsangkan dan berada dalam kelompok tiga terbaik sebelum Yovanni Philippe dari Mauritius meningkatkan pecutan dalam 10m terakhir untuk memintas pelari negara sekali gus menyambar gangsa di Stade de France.

Atlet berusia 22 tahun yang membuat kemunculan sulung di Paralimpik mencatat 48.38 saat untuk menamatkan larian di tempat keempat, 0.08s di belakang Philippe.

Pingat emas menjadi milik Jhon Obando dari Colombia yang tiba di garisan penamat dengan catatan 48.09s dan meninggalkan pencabar terdekat dari Sepanyol, David Pineda yang meraih perak dengan 48.24s.

Sementara itu, Ammar Aiman berkata badannya tidak begitu cergas selepas berada dalam bilik panggilan untuk tempoh lama sebelum acara bermula dan ia menjejaskan rentak lariannya selain perasaan gugup beraksi di hadapan penonton yang ramai dalam stadium berkenaan.

Pelari negara Ammar Aiman Nor Azmi kecewa apabila menamatkan perlumbaan 400m lelaki (kecacatan intelektual) di tangga keempat pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France awal pagi tadi. – Foto BERNAMA
Pelari negara Ammar Aiman Nor Azmi kecewa apabila menamatkan perlumbaan 400m lelaki (kecacatan intelektual) di tangga keempat pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France awal pagi tadi. – Foto BERNAMA

“Saya kecewa tapi nak buat macam mana kerana Allah SWT tak bagi lagi (pingat). Saya memang tak biasa duduk dalam bilik panggilan lama hingga badan saya sejuk dan peserta lain pun ramai yang kejang,” katanya.

Seorang lagi wakil negara yang juga juara dunia Nazmi Nasri, kurang menyerlah pada penampilan kali ini apabila menamatkan saingan di tempat kelima acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) dengan lompatan sejauh 6.00m pada percubaan kedua.

Pingat emas dimenangi atlet Argentina, Brian Impellizzeri dengan lompatan 6.42m manakala perak diraih Samson Opiyo dari Kenya (6.20m) dan gangsa milik Mateus Evangelista dari Brazil (6.20m). – BERNAMA