YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan hadir sama ke Majlis Penghargaan Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 oleh Kedutaan Perancis di Malaysia yang disambut oleh TYT Mr. Axel Cruau, Duta Besar Perancis pada Isnin bertempat di Rรฉsidence de France, KL.
Turut hadir ke majlis tersebut, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS dan YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN.
PARIS: Daya pecutan kurang menjadi faktor utama Wong Kar Gee terlepas kedudukan podium acara lompat jauh lelaki T12 (kecacatan penglihatan) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.
Kar Gee memperoleh tempat keempat acara tersebut dengan catatan terbaik 6.85 meter pada hari keempat saingan olahraga di Stade de France.
Atlet berusia 33 tahun itu percaya lompatannya mungkin akan menjadi lebih baik sekiranya mempunyai kelajuan diperlukan bagi menjamin sekurang-kurangnya gangsa, sebelum dipintas pada percubaan terakhir oleh Fernando Vazquez dari Argentina yang melakukan 6.88m.
“Saya punya kelajuan pun kurang dan tidak berada dalam prestasi terbaik hari ini. Ketika latihan saya ada kelajuan namun hari ini tidak tahu mengapa kurang kelajuan.
“Memang kecewa tidak dapat gangsa. Ada orang cakap nombor empat ialah kedudukan terburuk tetapi bagi saya ia menaikkan semangat saya untuk lebih kuat berlatih,” katanya selepas aksinya di sini, hari ini.
Emas menjadi milik Said Najafzade dari Azerbaijan dengan 7.27m dan Donior Saliyev dari Uzbekistan (7.16m) meraih perak.
Keputusan hari ini menyaksikan Kar Gee membaiki prestasinya selepas menduduki tempat keenam acara lompat jauh T13 (kecacatan penglihatan) dengan catatan 5.93m pada penampilan sulung di Tokyo 2020.
Catatan terbaik atlet dari Sabah itu ialah 7.22m yang dilakukannya ketika Terbuka China 2018 dan dia berharap untuk kembali menyinar pada Sukan Para Asia 2026 di Jepun.
Meskipun umurnya kian meningkat, dia memberikan bayangan bahawa Paris 2024 bukanlah penampilan terakhirnya di pentas Paralimpik dan mahu terus berjuang pada Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.
“Saya rasa masih boleh (Sukan Paralimpik 2028). Jika boleh ‘perform’ kenapa tidak teruskan,” kata pemenang perak Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Emiriah Arab Bersatu itu.
Berasal dari Kota Kinabalu, Kar Gee menghidap penyakit Stargardt sejak lahir sebelum penglihatannya bertambah lemah ketika berusia lapan tahun. – BERNAMA
PARIS: Jurulatih pecut skuad olahraga para negara, Hamberi Mahat hanya memerlukan tiga bulan untuk membimbing Eddy Bernard yang menyumbang pingat sulung negara menerusi gangsa 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Hamberi menyifatkan pencapaian dilakar Eddy cukup menakjubkan memandangkan acara pecut itu bukanlah fokus utama anak buahnya yang sebelum ini menyertai lompat jauh sehingga pernah menggondol emas pada Sukan Para ASEAN 2022 di Solo, Indonesia.
Bekas pelari pecut negara itu berkata segala-galanya bermula apabila dia mengesan bakat dimiliki atlet berusia 23 tahun itu yang memiliki kepantasan baik bagi jarak 60 meter (m) ketika beraksi untuk acara lompat jauh.
Hamberi Mahat. – Foto fail NSTP
“Saya ada beritahu kepada jurulatih Shahrul Amri Suhaimi bahawa Eddy ada potensi besar untuk menang pingat di Sukan Paralimpik tapi perlu dorongan lebih dengan menambah kelajuan dan daya tahan memandangkan kelajuan pada 40m terakhir masih kurang baik.
“Selepas merangkul perak 100m lelaki T44 Sukan Para Asia Hangzhou 2022, jurulatih Shahrul ada beritahu saya dia tidak mampu tolong Eddy untuk acara tersebut pada Paris 2024 dan disebabkan itu dia menyerahkannya kepada saya sekitar April lepas,” katanya kepada Bernama.
Biarpun hanya lebih sebulan melatih Eddy, Hamberi membuktikan sentuhan magisnya, apabila atlet tersebut berjaya merangkul perak pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lepas.
Bagaimanapun, dia mengakui masih perlu memantapkan lagi teknik larian Eddy bagi jarak 40m terakhir selepas ini.
Seandainya mempunyai persiapan yang lebih rapi, Hamberi optimis atlet dari Beluran, Sabah itu mampu lebih menyinar dengan merangkul emas atau perak Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles.
Jurulatih itu pada masa sama amat mengagumi komitmen tinggi Eddy sepanjang sesi latihan dan usahanya benar-benar berbaloi selepas menjelmakan pingat sulung buat negara di kota Paris.
Bukan sahaja memperoleh gangsa pada penampilan sulungnya di pentas Paralimpik, malah catatan 11.58 saat (s) dilakukan Eddy memecahkan rekod Asia milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75s pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024.
Pingat emas pada aksi semalam disambar wakil Afrika Selatan, Mpumelelo Mhlongo dengan catatan 11.12s manakala pingat perak menjadi milik atlet Cuba, Yamel Luis Vives Suares dengan 11.20s. – BERNAMA
Tahniah Eddy Bernard!!!!Kontinjen Negara mendapat hadiah paling bermakna daripada atlet Para Olahraga Eddy Bernard apabila beliau memperoleh pingat gangsa menerusi acara 100M T44 dengan catatan 11.58 saat di Stade De France 7:30 petang tadi waktu Paris.
Untuk rekod Eddy berjaya memperbaharui catatan peribadi 11.77 saat yg dibuat di Kejohanan Dunia di Kobe, Jepun pada Mei lalu.