KUCHING: Ratu menembak Negeri Sembilan, Gan Chen Jie melengkapkan hari indah di Bumi Kenyalang apabila membawa pulang emas ketujuh dalam acara 10 meter (m) rifle udara campuran di Lapang Sasar Menembak, Petra Jaya, hari ini.
Cheng Jie bersama pasangannya Amar Syawal Abdul Mutalib mengesahkan pingat emas selepas menundukkan wakil Pahang, Nabila Aisya Rahman Abdullah dan Amar Syawal Abdul Mutalib menerusi 16-12.
Pingat gangsa pula milik wakil Negeri Sembilan, Tan Yee Xuan-Muhammad Azman Mohd Ridzuan selepas menewaskan peserta Perlis, Nur Aina Sofea Azi-Muhammad Ariff Naim Ariff Nazir(16-12).
Sebelum itu, Chen Jie yang juga pelajar kolej swasta memenangi emas menerusi acara rifle udara 10m wanita individu dan berpasukan.
Dia juga membawa pulang emas untuk kategori 50m tiga posisi individu dan berpasukan selain turut memenangi 10m rifle udara individu serta berpasukan.
Sementara itu, Chen Jie yang kemungkinan membawa pulang RM24,000 hasil kemenangan itu akan menyerahkan wang terbabit kepada keluarga untuk diuruskan kelak.
“Wang kemenangan itu saya serahkan kepada keluarga kerana mungkin mereka lebih mengetahui untuk membeli keperluan seperti peralatan menembak atau kegunaan lain,” kata atlet berusia 20 tahun itu.-Berita Harian