Sekitar aksi pesilat-pesilat di Stadium Bandaraya, Miri pada Selasa.
Zii Jia dedah punca ‘tumbang’ di Jepun
PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mendedahkan bahawa faktor fizikalnya yang tidak mengizinkan selepas pulang dari berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi salah satu punca dia tersingkir di Terbuka Jepun kelmarin.
Pada aksi yang berlangsung di Yokohama Arena itu, pemenang pingat gangsa Olimpik Paris itu dilihat bergelut untuk menampilkan permainan sebenar sebelum tewas straight set 18-21, 13-21 kepada pemain Perancis, Alex Lanier dalam tempoh 41 minit.
Tegas Zii Jia, keadaannya badannya masih belum pulih 100 peratus sejak pulang dari Paris dan mengakui bahawa dia tiada sebarang perancangan untuk ‘menarik diri’ beraksi di Terbuka Jepun.
“Fizikal saya berasa lemah sejak beberapa hari lalu selepas pulang dari Sukan Olimpik. Namun, untuk tidak menyertai kejohanan (Terbuka Jepun) bukanlah dalam perancangan saya selagi tidak membahayakan saya.
“Saya telah mencuba yang terbaik dan berjuang dalam perlawanan tadi, tetapi badan saya tidak membenarkan saya untuk beraksi pada tahap terbaik,” kata Zii Jia menerusi Instastory miliknya semalam.
Dalam pada itu, Zii Jia turut menambah bahawa dia akan memanfaatkan masa yang ada untuk berehat dan pulih untuk menghadapi kejohanan seterusnya.
“Saya harap dapat pulih dengan baik bagi menghadapi kejohanan yang akan datang,” tambah Zii Jia.-Kosmo
Sukma 2024 : Memanah
SUKMA Sarawak : Melawat atlet-atlet memanah yang bertanding dalam acara 70-meter recurve di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya.
Sarawak beri petanda mampu capai sasaran 70 emas lebih awal
KUCHING: Hanya 16 pingat emas lagi diperlukan tuan rumah bagi mencapai sasaran 70 ditetapkan untuk muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Setakat 10 malam ini, kontinjen Bumi Kenyalang cemerlang mengungguli carta kedudukan pingat dengan mengumpul keseluruhan 54 emas, 33 perak dan 44 gangsa, meninggalkan pencabar terdekat Wilayah Persekutuan di tangga kedua (45-39-49) diikuti Terengganu ketiga (28-26-27).
Berbaki tiga hari sebelum menutup tirai, sebanyak 198 pingat emas lagi ditawarkan.
Hari ini rekod kebangsaan dilebur badang Perlis Muhammad Hafizuddin Roslin dan perenang Selangor Andrew Goh, masing-masing merangkul emas dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram (kg) dan 50 meter (m) kuak dada lelaki.
Di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, Muhammad Hafizuddin bagaikan tiada tandingan apabila memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam angkatan snatch, clean and jerk serta angkatan keseluruhan.
Di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pula, Andrew memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali masing-masing dengan catatan masa 28.03 saat (s) dalam saringan, diikuti 27.40s dalam perlumbaan final yang juga menjadi rekod baharu temasya.
Tidak kurang hebatnya, perenang Wilayah Persekutuan Isabelle Chiyi Buckley memecahkan rekod temasya 50m kuak dada wanita sebanyak dua kali masing-masing dengan masa 32.83s sewaktu saringan dan 32.76s ketika merangkul emas dalam perlumbaan akhir.
Acara 1,500m gaya bebas lelaki pula menyaksikan Muhammad Dhuha Zulfikry membutirkan emas sambil turut memperbaharui rekod temasya dengan masa 15 minit 51.53 saat (s).
Renang terus menyaksikan rekod temasya SUKMA diperbaharui apabila Wilayah Persekutuan mencipta rekod baharu ketika merangkul emas acara 4x100m gaya bebas lelaki menerusi gandingan Yap Min Shun, Bryan Leong Xin Ren, Muhammad Dhuha Zulfikry dan Jayden Tan yang mencipta 3:25.52s.
Dalam saingan 4x100m gaya bebas wanita pula, Morgan Eleven Teo Kai Cheng, Yoong Jia Jia, Lim Shun Qi dan Khew Zi Xian menghadiahkan Selangor kilauan emas sambil mencipta rekod baharu temasya dengan catatan 3:55.84s.
Dalam pada itu, saingan olahraga di Stadium Sarawak pula menyaksikan jaguh pecut kebangsaan Umar Osman dari Johor berada dalam kelas tersendiri apabila merangkul emas 400m lelaki dengan melakar rekod baharu temasya selepas merakam masa 46.78s.
Turut tidak ketinggalan adalah atlet Sarawak Ng Jing Xuan yang memecahkan rekod temasya dalam acara merejam lembing wanita selepas membuat rejaman sejauh 45.12m untuk memenangi emas sekali gus mempertahankan warna pingat yang dimenangi pada edisi lepas.
Pada masa sama, penembak tepat Cheah Zen Hong dari Pahang dan Gan Chen Jie mewakili Negeri Sembilan masing-masing melengkapkan koleksi tujuh emas pada hari terakhir saingan menembak di Lapang Sasar Sarawak.
Kejayaan dua atlet itu meletakkan mereka antara pemenang pingat emas terbanyak dalam saingan SUKMA 2024 setakat ini.
Insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang telah mencemar acara silat di Stadium Bandaraya Miri hari ini hingga diarah beraksi tanpa penonton pada esok dan Jumaat. – BERNAMA
KEM AKHIR ATLET PARA KE TEMASYA PARALIMPIK PARIS 2024
KAMPUNG PANDAN – Kem Akhir Atlet Para ke Temasya Paralimpik Paris 2024 diadakan bermula 21 & 22 Ogos di Pusat Kecemerlangam Paralimpik di Kampung Pandan.
30 orang atlet yang layak ke temasya Paralimpik Paris 2024 berkumpul bersama barisan jurulatih bagi persediaan akhir demi menghadapi temasya terbesar dunia itu.
Sesi sebelah pagi dimulakan dengam pendaftaran diikuti Majlis Perasmian Kem oleh Encik Mohd Sofian Hamzah, Pengarah Bahagian Para MSN manakala pada sebelah petang pula diadakan Majlis Amanat Ketua Kontinjen Para ke Paris bersama YBhg. Laksamana Pertama (B) Dato’ Subramaniam Raman Nair.
Sesi penyerahan penajaan daripada Zero Healthcare, Skechers dan Voltra kepada kontinjen turut diadakan bagi menyemarakkan semangat atlet yang berjuang di Paris nanti.
Turut hadir semasa sesi penyerahan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, YH Dato’ Seri Megat D Shahriman Dato’ Zaharuddin.
Andrew pecah rekod kebangsaan dua kali acara 50m kuak dada
KUCHING: Perenang Selangor, Andrew Goh memperbaharui rekod kebangsaan dan SUKMA bukan sekali, tetapi dua kali dalam acara 50 meter (m) kuak dada lelaki di Pusat Akuatik Pandelela Rinong hari ini.
Andrew, 20, merakam masa 27.40 saat (s) pada aksi akhir untuk meraih emas, lebih pantas berbanding catatan 27.70s yang direkodkan Felix Viktor Iberle dari Indonesia semasa Sukan SEA Kemboja 2023.
Joseph Chan Kai Xiang dari Melaka (29.32s) dan wakil tuan rumah Hector Ho Rze Jun (29.67s) masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.
Terdahulu, dalam sesi saringan ketiga, Andrew mencatat masa 28.03s untuk memperbaiki rekod kebangsaan sebelumnya iaitu 28.10s dilakukan pada Terbuka Malaysia 2023 di Kuala Lumpur dan rekod SUKMA 28.86s milik Foong Wei Tze dari Melaka dicatat ketika edisi 2018.
Pada Isnin, Andrew melakar rekod kebangsaan dan SUKMA baharu, memperbaharui catatan miliknya sendiri dalam acara 100m kuak dada iaitu 1:01.39s memadam rekod lama 1:02.30s yang dicatat pada Terbuka Malaysia 2024 dan rekod SUKMA Wong Fu Kang iaitu 1:03.05s pada edisi 2016.
Andrew yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), dianugerahkan pingat emas oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan berangkat ke venue hari ini melahirkan rasa syukur atas pengalaman berharga itu.
“Tidak pernah lagi saya beraksi di hadapan kerabat diraja, ia pengalaman menakjubkan dan sangat istimewa. Saya terinspirasi daripada rekod yang saya lakukan pada Isnin, jadi rancangan saya adalah untuk berenang sepantas yang mampu untuk memecah rekod.
“Saya menunggu Sukan SEA Thailand tahun depan. Saya hanya perlu berlatih mulai sekarang… berazam untuk menjadi lebih pantas dan meraih pingat di Sukan SEA,” katanya.
Sementara itu, Isabelle Chiyi Buckley dari Wilayah Persekutuan turut merakam rekod SUKMA baharu sebanyak dua kali untuk meraih pingat emas acara 50m kuak dada wanita.
Selepas mencatat 32.83s dalam saringan awal untuk memperbaiki rekod milik Christina Loh 33.29s yang dilakukan pada edisi 2016, perenang berusia 15 tahun itu sekali lagi mencatat masa baharu dengan 32.76s sebagai rekod temasya pada aksi final.
Atlet renang Johor, Alicia Li Ann Soosai (33.10s) dan Low Ee Mang (33.68s) dari Selangor melengkapkan podium.
Rekod baharu renang terus dicipta apabila perenang Wilayah Persekutuan Muhammad Dhuha Zulfikry menamatkan saingan 1,500m gaya bebas lelaki dengan catatan 15:51.53s memadam masa 15:53.67s dilakukan wakil Sarawak Vernon Lee Jeau Zhi pada edisi 2012.
Muhammad Dhuha kemudian bergandingan dengan Yap Min Shun, Bryan Leong Xin Ren dan Jayden Tan untuk merangkul emas 4x100m gaya bebas lelaki dengan rekod temasya baharu 3:25.52s mengatasi 3:28.22s dicatat kuartet Selangor pada 2016.
Saingan renang pada hari ketiga hari ini diakhiri dengan satu lagi rekod baharu temasya dicipta dalam acara 4x100m gaya bebas wanita.
Kuartet Selangor Morgan Eleven Teo Kai Cheng, Yoong Jia Jia, Lim Shun Qi dan Khew Zi Xian membawa pulang emas dengan catatan masa 3:55.84s mengatasi rekod milik wakil Sabah pada edisi 2008 iaitu 3:56.51s.
Berbaki lagi dua hari acara renang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak bersaing rapat untuk merebut gelaran keseluruhan renang dengan Wilayah Persekutuan mengumpul 12 emas, sembilan perak dan enam gangsa manakala tuan rumah memperoleh 12-1-7. – BERNAMA
Badang Perlis pecah rekod kebangsaan lapan kali
BETONG: Badang Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin bagai tiada tandingan apabila memecah rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram (kg) lelaki untuk merangkul pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.
Pada aksi berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, atlet berusia 20 tahun itu melakukan angkatan snatch 141kg untuk memadam rekod kebangsaan milik Nasir Roslan, 140kg yang dilakukannya pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2021.
Pada angkatan keduanya, Muhammad Hafizuddin sekali lagi memecah rekod kebangsaan selepas mengangkat 146kg, sebelum sekali lagi memadamnya pada angkatan ketiga dengan 151kg.
Muhammad Hafizuddin melakukan angkatan pertama clean and jerk 165kg, sekali gus memecah rekod kebangsaan angkatan keseluruhan 316kg, untuk memadam rekod lama dipegang Nasir 315kg.
Rentak cemerlang Muhammad Hafizuddin tidak boleh disekat lagi apabila memecah rekod kebangsaan clean and jerk pada angkatan kedua dengan 176kg sebelum memperbaharui rekod sendiri dengan angkatan 181kg, menjadikan keseluruhan angkatan 332kg untuk muncul di tangga podium utama.
“Sebenarnya sudah lama saya nak pecahkan rekod kebangsaan dalam acara ini dari 2022. Ketika itu di SUKMA Kuala Lumpur saya kalah. Selepas itu memang saya simpan hasrat untuk pecahkan semua rekod pada edisi kali ini.
“Alhamdulillah hari ini, saya berjaya buktikan yang saya mampu untuk pecahkan semua rekod sebelum ini untuk Perlis raih emas,” kata Muhammad Hafizuddin ketika ditemui hari ini.
Pingat perak acara berkenaan dimenangi Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri dari Terengganu dengan melakukan 273kg manakala atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Elvin Muhammad Hidayat gangsa dengan angkatan 249kg.
Sementara itu, dalam kategori 73kg lelaki wakil Selangor Noor Hirzie Fariez Mustafa membawa pulang pingat emas dengan angkatan keseluruhan 270kg untuk memperbaiki pencapaian edisi lepas yang pulang tangan kosong.
Sharon Jastine Silas dari Sabah memperoleh perak dengan angkatan keseluruhan 251kg manakala atlet Johor Muhammad Afiq Lili Razak melengkapkan kedudukan podium, hanya ketinggalan 1kg di belakang.
Bagi kategori 59kg wanita, atlet Perlis Nurul Aisyah Athirah Mohd Nadzim melakukan angkatan keseluruhan 170kg untuk emas, manakala perak dimenangi wakil Melaka Nurul Syasya Khairina Samsur (162kg) dan Noorshahida Mohamad Saiffol Aza meraih gangsa (145kg). – BERNAMA
Silat SUKMA berlangsung tanpa penonton
MIRI: Susulan insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang, saingan acara silat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan berlangsung tanpa kehadiran penonton pada esok dan Jumaat.
Ketua Delegasi Teknikal sukan silat, Kamarul Ariffin A Latib berkata, keputusan itu dicapai selepas satu mesyuarat antara pihak berkuasa dan pengurus pasukan yang berlangsung hampir dua jam, petang tadi.
“Untuk keselamatan semua, keputusannya ialah kita tidak akan membenarkan semua penonton atau pasukan untuk hadir menyaksikan sukan silat esok hingga hari akhir 23 Ogos ini (Jumaat).
“Hanya yang mempunyai pas masuk petugas akan dibenarkan seperti pasukan perubatan, petugas media dan akan dipantau pihak keselamatan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di sini hari ini.
Acara Putri Kelas 45 kilogram (kg) ke bawah antara pesilat Sarawak Iman Syakilla Mahdi dan pesilat Wilayah Persekutuan Nurin Alyaa Damia Mohd Masran petang tadi dicemari insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang.
Beliau berkata, pesilat kesemua pasukan juga akan diasingkan bagi mengelak insiden tidak diingini berulang.
Kamarul Ariffin berkata pihaknya turut mengambil keputusan memberhentikan perlawanan hari ini berikutan pelayan sistem pemarkahan pertandingan mengalami kerosakan dan akan diperbaiki malam ini.
“Apa sahaja perlawanan tergendala tadi akan bersambung esok pagi,” katanya.
Terdahulu, perlawanan antara kedua-dua pesilat menjadi hangat selepas Nurin berjaya mendahului semula pesilat tuan rumah dengan kiraan mata 70 berbalas 65.
Insiden itu difahamkan bersangkut paut dengan sistem pemarkahan dipapar di skrin sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati penonton. – BERNAMA
Sukma 2024 : Ragbi
Sekitar aksi perlawanan peringkat kumpulan Ragbi wanita di Stadium Miri pada Selasa.
Peserta silat kena baling botol
KUCHING: Acara silat di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Miri, bertukar sedikit kecoh berikutan tindakan tidak bertanggungjawab penonton membaling botol ke gelanggang.
Insiden memalukan itu berlaku ketika perhitungan membabitkan pesilat tuan rumah, Iman Syakilla Mahdi dan peserta Wilayah Persektuan, Nurin Alyaa Damia Mohd Masran di peringkat suku akhir bawah 45 kilogram (kg).
Kejayaan Nurin mendahului Iman Syakilla menyaksikan pertarungan terpaksa dihentikan dan tinjauan di aplikasi SUKMA 2024 menyaksikan perarungan itu masih lagi ditangguh.
Akibat daripada insiden berkenaan, Utusan Borneo melaporkan jawatankuasa penganjur menghentikan perlawanan di kedua-dua arena satu dan dua bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Keputusan sama ada untuk meneruskan perlawanan atau sebaliknya akan ditentukan oleh pihak jawatankuasa pertandingan selepas perbincangan bersama.
Bagaimanapun, setakat ini difahamkan semua kontinjen diarahkan balik ke penginapan masing-masing.
Laman sesawang SUKMA Sarawak juga menyatakan bahawa perlawanan membabitkan perlawanan itu ditangguh.-Berita Harian