Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Perlawanan Nurul Azreena ditunda atas faktor cuaca

KUALA LUMPUR: Aksi perlawanan pusingan penyingkiran 1/32 membabitkan pemanah wanita negara, Nurul Azreena Mohamad Fazil ditunda ke awal pagi esok susulan cuaca yang tidak mengizinkan.

Nurul Azreena, 20, dijadual bertemu pemanah dari Turkiye, Elif Berra Gokkir di pusingan berkenaan di Invalides hari ini namun acara berkenaan terpaksa ditunda atas faktor hujan.

Terdahulu, rakan seperjuangannya, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi tersingkir di pusingan yang sama di tangan pemanah berpengalaman dari Itali, Chiara Rebagliati.

Ariana begitupun boleh berbangga dengan pencapaiannya di penampilan sulung di Olimpik selepas memberikan saingan sengit ke atas bekas juara dunia 2022 itu.

Saingan diheret ke penentuan shoot off namun Rebagliati berjaya mengawal panahannya dengan lebih tenang menerusi pengalaman dimilikinya untuk memperoleh kemenangan.

Hanya seorang pemanah negara mampu mara dari pusingan penyingkiran berkenaan iaitu Syaqiera Mashayikh sebelum perjalanannya terhenti di aksi penyingkiran 1/16.

Dalam perlawanan berkenaan, Syaqiera yang membuat penampilan keduanya di Olimpik selepas Tokyo 2020, terpaksa akur tewas di tangan Ana Luiza Sliachticas Caetano dari Brazil 5-6.

Sebelum itu, Syaqiera yang berusia 23 tahun mudah melangkah mara ke aksi penyingkiran 1/16 selepas menewaskan Alexandra Mirca dari Moldova 6-0 pada pusingan 1/32, sekali gus mengatasi keputusan di Tokyo.-Berita Harian