Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives August 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MAJLIS PENGUMUMAN LANJUTAN KONTRAK PENAJAAN MAJLIS SUKAN NEGARA DAN ALLIANZ MALAYSIA

YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN telah hadir pada Majlis Pengumuman Lanjutan Kontrak Penajaan MSN dan Allianz Malaysia oleh YBrs. En. Sean Wang, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz ketika sesi bersama atlet-atlet para pada 22 Ogos yang lalu bertempat di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kg. Pandan.

Allianz Malaysia mengumumkan lanjutan kontrak penajaan bagi tempoh empat tahun bagi membantu membiayai program latihan atlet-atlet para negara daripada 2025 sehingga 2028 termasuk dilantik sebagai rakan strategik dan penaja utama program serta temasya sukan utama.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Misi emas Paralimpik negara bermula

PARIS: Bandar Paris sekali lagi bermandikan cahaya dengan menampilkan upacara pembukaan yang cukup memukau sempena Sukan Paralimpik Paris 2024 malam tadi, selepas 17 hari berakhirnya temasya Sukan Olimpik 2024.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Sukan Paralimpik, majlis pembukaan diadakan di luar stadium sama seperti majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 dalam suasana cukup menakjubkan di tengah-tengah kota Paris, kecuali perarakan terapung di sepanjang Sungai Seine.

Majlis yang penuh menakjubkan ini dipenuhi dengan gabungan persembahan seni dan detik-detik yang menyentuh hati, berlangsung di hadapan ribuan penonton yang berkumpul di bahagian bawah Champs-Elysees hingga ke dataran terbesar dan paling indah di Paris, Place de la Concorde.

Perasmian dimulakan dengan segmen ‘Discord’ dengan menampilkan 140 penari yang mewakili ‘Strict Society’ dan 16 penghibur yang dikenali sebagai ‘Creative Gang’ yang bergerak dengan penuh tenaga, bebas dan kreatif dengan menekankan masyarakat yang mendakwa inklusif tetapi gagal benar-benar mengintegrasikan golongan kurang upaya.

Maskot rasmi Sukan, Phryges, mengambil alih pentas untuk menyambut para atlet dan pegawai dari 168 negara bermula dengan Afghanistan ketika mereka berarak dari Champs-Elysees sebelum mengelilingi kawasan pentas di Place de la Concorde.

Kontinjen Malaysia yang tampil sebagai negara ke-94 dan terdiri daripada 24 atlet dan pegawai dengan jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin menggalas tugas bersama pelumba basikal para negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais membawa Jalur Gemilang.

Atlet negara mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga berwarna hijau zaitun dengan motif emas yang dipadankan dengan songkok dan sampin (lelaki), serta Baju Kurung (wanita), yang direka oleh pereka fesyen tempatan terkenal Rizman Ruzaini.

Selepas tuan rumah Perancis mengakhiri perarakan atlet, artist Lucky Love mendendangkan lagu berjudul ‘My Ability’ diringi dengan persembahan mengisahkan masyarakat tegas ‘Strict Society’ mula menyedari prasangka mereka terhadap ‘Creative Gang’ membawa kepada kebangkitan dan refleksi diri.

Bendera Perancis kemudian dinaikkan mengikut lagu kebangsaan mereka, ‘The Marseillaise’, yang ditafsirkan semula oleh Victor le Masne, komposer dan pengarah muzik bagi majlis Paris 2024 dan dipersembahkan oleh Ensemble Matheus.

Apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengisytiharkan Sukan Paralimpik Paris 2024 dibuka dari tempat duduk rasmi, ‘Strict Society’ dan ‘Creative Gang’ berkumpul sekali lagi dalam pertunjukan koreografi besar menggabungkan tarian, sukan dan seni ke dalam permainan fiksyen yang berfokus pada kerjasama berpasukan.

Bekas pelari pecut Britain dan pemenang pingat gangsa acara 100 meter (m) T42 (kecacatan fizikal) lelaki di Sukan Paralimpik Beijing 2008, John McFall kemudian diberi penghormatan untuk membawa bendera Paralimpik ke pentas diikuti dengan ikrar Paralimpik dilafazkan oleh para atlet, jurulatih dan pengadil.

Acara kemuncaknya dengan menyalakan kawah oleh lima atlet Paralimpik Perancis – Charles-Antoine Kouakou (olahraga), Nantenin Keita (olahraga), Fabien Lamirault (ping pong), Alexis Hanquinquant (triatlon) dan Elodie Lorandi (renang).

Kawah tersebut terdiri daripada cincin api dengan diameter tujuh meter (m) dengan di atasnya terdapat belon setinggi 30m dan diameter 22m, yang direka sebagai penghormatan kepada penerbangan pertama dua pencipta Perancis Jacques Alexander Charles dan Nicholas Louis Robert pada Disember 1783 dalam belon hidrogen buatan Jardindes Tuileries.

Edisi 2024 ini adalah Sukan Paralimpik pertama dianjurkan Paris walaupun bandar ini telah tiga kali menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada tahun 1900, 1924 dan 2024.

Sekitar 4,400 atlet dari seluruh dunia akan bersaing dalam 22 sukan sehingga 8 Sept ini manakala tiga negara – Eritrea, Kiribati dan Kosovo akan membuat penampilan sulung Paralimpik mereka di ibu negara Perancis.

Malaysia, menampilkan 30 atlet dalam lapan sukan berbeza, kontinjen terbesar mereka sejak debut Sukan Paralimpik pada edisi 1972 di Heidelberg, Jerman. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukan Paralimpik: Beri habuan kereta kepada yang selayaknya

PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyarankan kepada pihak yang berminat menawarkan ganjaran hadiah kereta kepada atlet yang selayaknya pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Beliau secara peribadi berkata, ganjaran yang dicadangkan itu perlu diberikan kepada pemenang emas dan bukan mereka yang memenangi pingat lain pada temasya sukan berprestij tersebut.

“Jika penaja ingin beri kereta mereka, anda perlu berikan kepada juara yang bawa emas untuk negara kerana jika anda mahu jenama anda sebagai nombor satu, anda perlu memberikan kepada atlet yang menang (emas).

“Jika nak bagi atlet yang tak menang (pingat emas) terpulang kepada anda,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Megat Shahriman berkata, cadangan itu bagi menggelakkan rakyat berasa layanan tidak sama rata diberikan kepada pemenang dari sukan para berbanding apa yang dinikmati pemenang pingat dari temasya sukan disertai dalam kalangan atlet normal.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 24 atlet dan pegawai yang menyertai upacara pembukaan rasmi Sukan Paralimpik 2024 malam ini akan menggayakan pakaian rasmi yang sama dipakai kontinjen negara pada majlis sama sewaktu Sukan Olimpik 2024, juga di sini, Julai lepas.

Busana rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini berwarna skim warna hijau zaitun dengan motif keemasan menyaksikan atlet wanita akan memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet berbaju Melayu Teluk Belanga.

Buat julung kalinya, upacara pembukaan rasmi yang dilangsungkan di luar stadium dalam sejarah Sukan Paralimpik menyaksikan atlet akan berarak sepanjang laluan di lokasi ikonik di sini, Champs-Elysees sehingga Place de la Concorde.

Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2024, Datuk R Subramaniam pula berkata, setakat ini tiada sebarang masalah timbul melibatkan kontinjen negara pada Paris 2024.

Berdasarkan laporan dari setiap pengurus sukan, kesemua 30 atlet negara juga siap sedia berjuang menggalas tugas negara pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang berakhir pada 8 September ini. – Bernama

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia tuan rumah Sukan SEA 2027

KUALA LUMPUR: Selepas 10 tahun, Malaysia akan kembali menjadi tuan rumah Sukan SEA dengan kali terakhir temasya dwitahunan itu berlangsung di negara ini adalah pada 2017.

Ini selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan keputusan Kerajaan menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027, hari ini.

KBS dalam satu kenyataan mengesahkan keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengambil kira komitmen penganjuran bersama oleh tiga negeri lainnya.

“Sebelum ini, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang sudah menyatakan kesediaan untuk menggunakan peruntukan masing-masing bagi menjadi penganjur bersama dengan Kuala Lumpur.

“Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang berjaya mengendalikan penganjuran temasya berakhir pada 24 Ogos lalu dengan jayanya,” kata KBS.

Sebagai rekod, edisi 2017 menyaksikan Malaysia menamatkan kempen sebagai juara keseluruhan selepas memenangi 145 pingat emas, 92 pingat perak dan 86 pingat gangsa.

Termasuk edisi 2027, Malaysia menjadi tuan rumah dalam tujuh edisi selepas 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan juga 2017.

Bagi edisi ke-33 yang akan berlangsung pada Disember tahun depan, Thailand akan menjadi tuan rumah dengan tiga lokasi menjadi venue pertandingan iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Zarif mahu bukti kemampuan di Piala Raja Thai

KUALA LUMPUR: Pemain sepak takraw negara Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican mahu membuktikan beliau bukan lagi tekong ‘joker’ apabila diberi tugas penting di Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai, September ini.

Pemain berusia 23 tahun tersebut perlu menggalas tanggungjawab penting itu apabila tekong utama negara Muhammad Syahir Rosdi tidak dapat beraksi susulan kecederaan hamstring kaki kanan.

“Insya-Allah saya akan buktikan, sebenarnya siapa sahaja diturunkan akan memberikan yang terbaik. Saya rasa sudah pun bersedia (memikul tanggungjawab ganti Syahir),” katanya kepada media selepas sidang media Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) hari ini.

Muhammad Zarif mengakui berdepan tekanan menggantikan pemain lebih senior dan berpengalaman itu namun tekad memberikan saingan sengit pada kejohanan berprestij tersebut yang bakal berlangsung 8-20 Sept ini.

“Setakat ini segala persiapan kami mencukupi, sudah buat pelbagai latihan termasuk dari kecergasan dan psikologi hasil bantuan Institut Sukan Negara. Kem latihan di Ratchaburi (Thailand) juga melengkapkan persiapan kami,” katanya.

Malaysia disenaraikan dalam Kumpulan C acara berpasukan bersama China dan Laos selain diletakkan berdepan India, China, Singapura dan Brunei bagi regu. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hon Jian-Haikal idam aksi Jelajah Dunia Akhir

Kuala Lumpur: Beraksi di Jelajah Dunia Akhir 2024 menjadi impian Choong Hon Jian-Haikal Nazri selepas beregu lelaki negara itu menewaskan rakan seperjuangan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di pusingan pertama Terbuka Korea, hari ini.

Hon Jian-Haikal yang kini menghuni ranking kelima Jelajah Dunia menewaskan juara Terbuka Jepun, Sze Fei-Nur Izzuddin 13-21, 21-16, 21-16 dalam tempoh 55 minit di Stadium Tertutup Mokpo.

Kemenangan dilakar Hon Jian-Haikal itu membawa mereka ke pusingan kedua untuk bertemu gandingan tuan rumah, Choi Sol Gyu-Heo Kwang Hee.

“Ranking kami di Jelajah Dunia juga OK, saya dan Hon Jian ada sasarkan (ke Jelajah Dunia Akhir).

“Minggu lalu (di Terbuka Jepun) kami kalah di pusingan kedua dengan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia). Di kejohanan ini (Terbuka Korea) undian agak bertuah juga kerana (antara) Malaysia-Malaysia.

“Nak tak nak kena lawan juga, dan kami menang (Sze Fei-Nur Izzuddin). Alhamdulillah, ini mungkin salah satu untuk kami cari lebih mata ke Jelajah Dunia (Akhir),” kata Haikal dalam satu temu bual bersama SPOTV Malaysia, hari ini.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Sze Fei-Nur Izzuddin yang akan meninggalkan kem kebangsaan pada 1 September ini, Hon Jian berkata: “Set pertama, kami tak keluarkan ‘speed’, semua adalah kerana kesalahan sendiri.

“Namun selepas itu, ‘speed’ kami bertambah dan gaya permainan kami menjadi.”

Sementara itu, turut mara ke pusingan kedua ialah dua gandingan profesional, Boon Xin Yuan-Goh V Shem dan Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan Presley Smith-Allison Lee dari Amerika Syarikat 21-14, 21-11.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Penerjun wanita Terengganu terus berlatih di Sekolah Sukan

KUALA LUMPUR: Dua penerjun wanita Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 akan meneruskan latihan harian mereka di Sekolah Sukan Malaysia seliaan Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang percaya bakat kedua-dua atlet ini akan dapat diperkembangkan sebelum terpilih memasuki program di peringkat kebangsaan di masa akan datang.

“Pengarah teknikal kebangsaan sukan terjun, Bryan Nickson sudah mengenalpasti penerjun ini untuk dipertimbangkan memasuki program pelapis kebangsaan pada tahun hadapan sekiranya terus menunjukkan peningkatan prestasi di beberapa kejohanan akan datang,” kata Hannah dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hannah berkata, pihaknya berharap Kerajaan Negeri Terengganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua atlet ini.

“KBS berharap Kerajaan Negeri Terenganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua penerjun ini memandangkan mereka juga menyumbang pingat kepada kontinjen negeri Terengganu.

“Untuk makluman semua, setiap peserta yang mewakili negeri di SUKMA perlu melalui proses pendaftaran yang dipersetujui oleh Majlis Sukan Negeri tertentu,” kata Hannah.

Hannah dalam pada itu berkata, kementerian turut bimbang dengan arahan Kerajaan Negeri untuk tidak membenarkan pembabitan atlet wanita dalam bidang tertentu yang dikhuatiri akan merencatkan potensi ramai atlet muda.

“Pihak Kementerian bimbang dengan arahan Kerajaan Negeri untuk tidak membenarkan penglibatan atlet wanita dalam bidang tertentu dikhuatiri akan merencatkan potensi ramai atlet muda yang terbukti mempunyai bakat, serta memberikan impak negatif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Di SUKMA Sarawak, penerjun Terengganu iaitu Ilyssa Ixora Imran dan Uzlifatil Jannah Ashraf meraih dua pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform seirama.

Uzlifatil turut berjaya menjelmakan satu lagi gangsa dalam acara 1 meter papan anjal.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Liek Hou janji aksi terbaik di Paris

KUALA LUMPUR: Mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024 menjadi keutamaan buat jaguh badminton negara, Cheah Liek Hou di Paris 2024.

Liek Hou yang juga juara dunia lapan kali dijadual bertemu wakil Poland, Bartlomiej Mroz di Porte de La Chapelle Arena dalam aksi peringkat Kumpulan A lelaki SU5, esok.

Saingan kumpulan itu turut menyaksikan Liek Hou, 36, yang juga pilihan utama dijadual bertemu wakil tuan rumah, Meril Loquette dan pemain Indonesia, Suryo Nugroho pada 31 Ogos ini.

Hanya pemain yang berada di kelompok dua teratas bakal mara ke pusingan separuh akhir dengan aksi Kumpulan B menyaksikan pemain Taiwan, Fang Jen Yu diletakkan sebagai pilihan kedua.

Berdasarkan saingan kumpulan, laluan berliku mungkin pada pertemuan dengan Suryo – pesaing yang meraih gangsa di Tokyo 2020 namun Liek Hou nyata sudah bersedia untuk mengharungi kempen kali ini.

“Doakan yang terbaik. Saya berjanji akan buat yang terbaik demi Malaysia, menang untuk Malaysia,” kata Liek Hou dalam satu hantarannya di akaun Facebook miliknya.

Liek Hou yang secara peribadi sudah meraih 14 emas di kejohanan dunia termasuk dalam acara beregu lelaki turut menyatakan proses latihannya menjelang perlawanan berjalan lancar di bumi Paris.

Untuk rekod, kontinjen paralimpik negara berjaya meraih tiga emas pada edisi Tokyo 2020 dengan salah satunya disumbangkan Liek Hou dan bakinya menerusi atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran), Datuk Abdul Latif Romly.

Kontinjen Malaysia di Paris 2024 disertai 30 atlet para negara yang akan bertanding dalam lapan jenis sukan di temasya yang dijadual berlangsung sehingga 8 September ini.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PEMBELIAN DAN PEMBEKALAN PERALATAN DAPUR DI KAFETARIA ‘TIME OUT’ BUKIT JALIL UNTUK MSNM-Tutup

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

020401 – PERALATAN DAN PERKAKASAN DOMESTIK

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/042/2024 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN DAN PEMBEKALAN PERALATAN DAPUR DI KAFETARIA ‘TIME OUT’ BUKIT JALIL UNTUK MSNM
TARIKH BUKA : 28 OGOS 2024 (RABU)
TARIKH TUTUP : 3 SEPTEMBER 2024 (SELASA)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
Pn. Sahazliza Sahid Abdullah (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929770

Muat Turun: <Iklan><Spesifikasi><Maklumat Penyebutharga><Akuan Pembida>

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
4th World Taijiquan Championships

Day 3 (26 Aug 2024)

Women 3rd set Taijishan

🥇1st – MAS🇲🇾 Kwan Yong Xin

🥈2nd – CAN🇨🇦

🥉3rd – USA🇺🇸

Majlis Sukan Negara Malaysia