Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives August 2024

LAWATAN YB TIMBALAN MENTERI BELIA DAN SUKAN KE PUSAT MEDIA UTAMA SUKMA XXI SARAWAK 2024 DAN PUSAT OPERASI BERNAMA

YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam telah hadir ke Pusat Media dan Pusat Operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pada Sabtu.

SPORTS ICON TOUR SEMPENA PROGRAM MADANI BERSAMA RAKYAT ZON SELATAN 2024

SKUDAI – Kementerian Belia Dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara hari ini mengadakan Sports Icon Tour sempena Program Madani Bersama Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM Skudai, Johor.

Untuk program kali ini, MSN membawa Bekas Ratu Gimnastik Artistik Negara, Farah Ann Abdul Hadi untuk berkongsi pengalaman beliau sepanjang bergelar atlet dan bertemu mesra bersama pengunjung direruai KBS.

SUKMA XXI SARAWAK 2024

Sekitar aksi perlawanan peringkat kumpulan Hoki lelaki Pulau Pinang menentang Johor.

Pulau Pinang (1) vs (1) Johor

ONE NATION, ONE TEAM – SPORTS UNITING THE NATION

YBrs. Encik Abdul Rashid Yaakub, Ketua Pengarah MSN telah merasmikan Kempen One Nation, One Team – Sports Uniting The Nation dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan bersama Fahrenheit88 pada Jumaat.

Kempen yang telah bermula 12 Ogos hingga 22 September 2024 itu diadakan bersempena Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024 yang jatuh pada bulan Kemerdekaan dan sekaligus mempromosikan Hari Kemerdekaan yang ke-67 pada 31 Ogos dan juga Hari Malaysia pada 16 September 2024.

MESYUARAT BESAMA KETUA KONTINJEN (CDM) SUKMA XXI SARAWAK SESI 2

Mesyuarat bersama Ketua Kontinjen Negeri SUKMA XXI Sarawak sesi 2 telah dipengerusikan oleh YBhg. Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA XXI Sarawak 2024 bertempat di Hotel Waterfront pada Jumaat.

Turut hadir sama, YBrs. Encik Arrifin Mohd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), MSN.

27 pingat emas jadi buruan hari ini

KUCHING: Saingan sukan wushu terus menjadi tumpuan kontinjen negeri dan Brunei pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan taruhan 14 pingat emas lagi sebelum acara berkenaan melabuhkan tirai di Dewan Wushu SSC, Petra Jaya hari ini.

Acara dipertandingkan membabitkan disiplin taolu bagi kategori qiangshu lelaki dan wanita, gunshu lelaki dan wanita manakala sanda menyaksikan kategori 48 kilogram, 52kg, 56kg (wanita) diikuti kategori 52kg, 56kg, 60kg, 65kg, 70kg (lelaki) dan nandao (lelaki dan wanita).

Pada temasya kali ini, wushu yang membuka gelanggang kelmarin, menawarkan keseluruhan 28 pingat emas.

Hari ini, secara keseluruhan sebanyak 27 pingat emas ditawarkan menerusi wushu, taekwondo, berbasikal, boling padang dan boling.

Taekwondo yang membuka tirai saingan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, menawarkan lima pingat emas dalam acara poomsae diikuti dua emas acara berbasikal bagi kategori lepas beramai-ramai individu dan berpasukan wanita di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem.

Dua pingat emas berbasikal ditawarkan bagi kategori lepas beramai-ramai individu dan berpasukan wanita di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem hari ini. – Foto BERNAMA
Dua pingat emas berbasikal ditawarkan bagi kategori lepas beramai-ramai individu dan berpasukan wanita di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem hari ini. – Foto BERNAMA

Semua pelumba yang perlu mengharungi kayuhan sejauh 108 kilometer dilepaskan pada jam 9 pagi.

Selain itu, boling padang mempertaruhkan empat pingat emas dalam acara pairs dan triples lelaki serta singles dan fours wanita di Arena Lawn Bowls Petra Jaya.

SUKMA 2024 menawarkan 488 pingat emas dalam 37 jenis sukan dengan semua acara berlangsung di 50 gelanggang pertandingan di sembilan bahagian negeri Sarawak – Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Lebih 12,000 atlet dari seluruh negara termasuk Brunei mengesahkan penyertaan pada temasya dwitahunan itu.

Sarawak menganjurkan SUKMA buat kali ketiga selepas tahun 1990 dan 2016. – BERNAMA

Hantar Aniq jalani latihan di luar negara

KUALA LUMPUR: Peluang menjalani lebih banyak latihan di luar negara menerusi Program Road To Gold (RTG) mampu meningkatkan prestasi atlet angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan di persada antarabangsa, demikian menurut ketua jurulatih negara Edmund Yeo.

Menurutnya langkah itu amat penting untuk pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu bagi mendorong atlet berkenaan supaya lebih bermotivasi dan menambah keyakinan dalam kejohanan antarabangsa akan datang.

“Dengan bantuan program RTG harap lebih mudahkan Aniq untuk latihan di luar negara, ia sangat penting supaya lebih kompetitif serta menimba pengalaman daripada barisan atlet terbaik dunia,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih kelahiran Sarawak itu turut berharap Aniq diberikan rakan sepelatih dari luar negara untuk meningkatkan daya saing atlet kelahiran Johor berkenaan.

“Sekurang-kurangnya ada dua atau tiga orang untuk saling ‘push’ antara satu sama lain. Kita ada dua lagi atlet iaitu Muhammad Erry Hidayat dan Muhamad Aznil Bidin tetapi kalau dapat rakan sepelatih dari negara lain lebih bagus,” katanya.

Aniq membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menamatkan cabaran di tempat keempat dalam kategori 61 kilogram (kg) lelaki dengan hanya satu kilogram menjadi pemisah untuknya membawa pulang pingat gangsa biarpun berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan jumlah angkatan 297kg.

Beliau turut memecahkan rekod kebangsaan dalam acara snatch, 129kg dipegang oleh Muhammad Aznil Bidin dengan angkatan 130kg tetapi berjaya mengangkat 167kg dalam clean and jerk.

Pingat emas dipertahankan atlet China, Li Fabin dengan jumlah angkatan keseluruhan 310kg manakala wakil Thailand, Theerapong Silachai membawa pulang perakdengan angkatan 303kg.

Aniq dimasukkan dalam program RTG November tahun lepas. – BERNAMA

SUKMA XXI SARAWAK 2024

Sekitar aksi tenpin boling skuad ketiga bagi acara perseorangan lelaki dan wanita pada hari pertama pertandingan.

‘Hadiah buat arwah’

KUCHING: “Ini hadiah buat arwah,” kata pelumba Terengganu Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi selepas meraih pingat emas acara berbasikal lepas beramai-ramai individu dan berpasukan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Beliau berkata jurulatih skuad berbasikal Terengganu Muhammad Muslim Marzuki merupakan individu yang bertungkus-lumus dalam memastikan prestasi pelumba berada pada tahap terbaik.

Malangnya, Muhammad Muslim tidak sempat mengecapi kejayaan bersama mereka kerana telah meninggal dunia selepas motosikal dinaikinya terlibat kemalangan dengan sebuah lori ketika mengiringi skuad berbasikal Terengganu menjalani latihan di Kilometer 52 Jalan Kuantan-Maran pada 12 November lepas.

Pelumba berusia 20 tahun itu berkata tragedi berlaku ketika pasukan dalam persiapan menyertai Jelajah Negeri Sembilan 2023 dan SUKMA 2024 ternyata merentap semangat pasukan yang rata-ratanya berusia 19 tahun ketika itu.

“Jurulatih (Muhammad Muslim) bertungkus-lumus untuk pastikan kami semua berada dalam prestasi terbaik dan dapat latihan secukupnya.

“Jadi saya cakap pada pasukan kita jadikan SUKMA ini medan untuk bangkit, bawa semangat jurulatih ketika kayuh dan usaha keras untuk capai kejayaan hari ini untuknya,” katanya.

Atlet berbasikal Terengganu, Muhammad Iqbal Daniel Mohd Nawawi (tengah) bergambar selepas memenangi acara lepas beramai-ramai individu Lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Kampung Bukit Asal hari ini. - Bernama
Atlet berbasikal Terengganu, Muhammad Iqbal Daniel Mohd Nawawi (tengah) bergambar selepas memenangi acara lepas beramai-ramai individu Lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Kampung Bukit Asal hari ini. – Bernama

Muhamad Iqbal Daniel yang meraih emas acara individu selepas menamatkan perlumbaan sejauh 146.4 kilometer (km) di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem di sini dengan catatan 3 jam 39 minit 16 saat, turut membantu Terengganu menambah koleksi pingat emas menerusi acara berpasukan sekali gus mengulangi pencapaian pada edisi 2016.

Sementara itu, Muhamad Iqbal Daniel yang membuat penampilan kedua di pentas SUKMA selepas edisi 2022 di Kuala Lumpur berkata beliau tidak meletakkan sasaran emas dalam kategori individu memandangkan baru bertukar ke acara lebuh raya selepas acara trek tidak dipertandingkan.

“Saya asal pelumba trek, tapi tahun ini (SUKMA) tak ada acara trek jadi jurulatih lihat dan pantau prestasi saya sebelum ambil keputusan mahu saya bantu pasukan dalam acara lebuh raya. Tak sangka menang dua-dua sekali,” katanya.

Jurulatih skuad berbasikal Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata tiga pingat emas dimenangi kem berbasikal setakat ini, termasuk menerusi Kee Zhe Yie dalam acara ujian masa individu lelaki semalam, merupakan hasil kerja keras dan latihan intensif selama berbulan-bulan sebelum SUKMA 2024.

“…dengan prestasi baik atlet mungkin kita boleh tambah pingat emas lagi sekali gus menjadikan kempen di Sarawak ini sebagai penyertaan paling cemerlang pasukan berbasikal Terengganu dalam sejarah penyertaan di SUKMA,” katanya.

Esok Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem di sini, terus menjadi tumpuan acara berbasikal yang menawarkan dua lagi pingat emas melibatkan acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan wanita. – BERNAMA

SIRI LAWATAN KETUA KONTINJEN NEGARA KE PARALIMPIK PARIS 2024 – SUKAN TENIS BERKERUSI RODA

JALAN DUTA – Ketua Kontinjen Negara ke Temasya Paralimpik Paris 2024 YBhg. Laksamana Pertama (B) Dato’ Subramaniam Raman Nair meneruskan siri lawatan untuk sukan Tenis Berkerusi Roda di Kompleks Tenis Jalan Duta hari ini.

Pada lawatan tersebut beliau bertemu dengan Mohamad Yusshazwan Yusoff dan Abu Samah Borhan yang bakal membawa cabaran dalam acara persorangan lelaki dan beregu di Stade Rolland Gaross, Paris bermula 30 Ogos hingga 7 September 2024.

Majlis Sukan Negara Malaysia