Penerjun wanita Terengganu terus berlatih di Sekolah Sukan

KUALA LUMPUR: Dua penerjun wanita Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 akan meneruskan latihan harian mereka di Sekolah Sukan Malaysia seliaan Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang percaya bakat kedua-dua atlet ini akan dapat diperkembangkan sebelum terpilih memasuki program di peringkat kebangsaan di masa akan datang.

“Pengarah teknikal kebangsaan sukan terjun, Bryan Nickson sudah mengenalpasti penerjun ini untuk dipertimbangkan memasuki program pelapis kebangsaan pada tahun hadapan sekiranya terus menunjukkan peningkatan prestasi di beberapa kejohanan akan datang,” kata Hannah dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hannah berkata, pihaknya berharap Kerajaan Negeri Terengganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua atlet ini.

“KBS berharap Kerajaan Negeri Terenganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua penerjun ini memandangkan mereka juga menyumbang pingat kepada kontinjen negeri Terengganu.

“Untuk makluman semua, setiap peserta yang mewakili negeri di SUKMA perlu melalui proses pendaftaran yang dipersetujui oleh Majlis Sukan Negeri tertentu,” kata Hannah.

Hannah dalam pada itu berkata, kementerian turut bimbang dengan arahan Kerajaan Negeri untuk tidak membenarkan pembabitan atlet wanita dalam bidang tertentu yang dikhuatiri akan merencatkan potensi ramai atlet muda.

“Pihak Kementerian bimbang dengan arahan Kerajaan Negeri untuk tidak membenarkan penglibatan atlet wanita dalam bidang tertentu dikhuatiri akan merencatkan potensi ramai atlet muda yang terbukti mempunyai bakat, serta memberikan impak negatif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Di SUKMA Sarawak, penerjun Terengganu iaitu Ilyssa Ixora Imran dan Uzlifatil Jannah Ashraf meraih dua pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform seirama.

Uzlifatil turut berjaya menjelmakan satu lagi gangsa dalam acara 1 meter papan anjal.-Berita Harian