Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KOM ‘pantau’ pemenang emas Sukma 2024

ACARA olahraga yang berlangsung selama lima hari pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 menyaksikan satu rekod kebangsaan dan 11 rekod temasya baharu dirakamkan.

Isyarat ini menunjukkan terdapat banyak bakat baharu dalam acara trek dan padang, namun persoalannya apakah langkah seterusnya untuk masa depan atlet muda ini?

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang gembira dengan prestasi barisan atlet muda percaya bahawa mereka perlu diberikan peluang untuk beraksi di Sukan SEA sebagai permulaan kepada pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Bagi mereka yang menang alhamdulillah tetapi kami di pihak persatuan kita kena pastikan atlet ini akhirnya layak ke Sukan SEA, seterusnya ke Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Kita nak hantar atlet untuk pendedahan dan juga untuk mengutip mata dan akhirnya layak ke Sukan Olimpik.

“Jadi semua kemenangan yang dicatat di sini harus dibentuk supaya mereka ada hala tuju. Persatuan kena pastikan mengikuti perkembangan keberadaan mereka (atlet). Kadang-kadang selepas Sukma mereka hilang begitu saja.

“Jadi kita tak mahu benda ini berlaku, kita nak supaya mereka yang dapat pingat emas ada masa depan,” katanya kepada Bernama.

Untuk rekod, satu-satunya rekod kebangsaan dilebur dalam acara olahraga di Stadium Sarawak menerusi atlet pelapis kebangsaan, Muhammad Fakrul Afizul Nasir memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 400 meter (m) lari berpagar lelaki.

Muhammad Fakrul yang mewakili Kelantan mencatat 51.11 saat (s) bagi memperbaharui rekod miliknya 51.26s dilakukan pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Asia di Korea Selatan pada Jun tahun lepas.

Catatan tersebut membolehkan atlet berusia 20 tahun itu turut memperbaharui rekod Sukma berusia 20 tahun dipegang Mohd Zafril Mohd Zuslaini dengan masa 51.79s yang dilakukan pada 2004 di Negeri Sembilan.

Lapan daripada 11 rekod Sukma baharu yang dicipta adalah menerusi acara trek manakala bagi acara padang, dua rekod diperbaharui serta satu dalam acara gabungan dekatlon.

Rekod-rekod temasya dicipta menerusi atlet Wilayah Persekutuan, Khor Jing Hong dalam acara 20,000m lumba jalan kaki lelaki dengan masa satu jam 34 minit 38.20s, Umar Osman dari Johor (400m lelaki – 46.78s dan 800m lelaki -1:51.19s) serta kuartet Johor (4x400m lelaki – 3:12.35s).

Turut menyertai senarai selain Muhammad Fakrul adalah atlet pecut Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (100m wanita – 11.64s dan 200m wanita 23.89s) dan Yee Zhi Xin dari Negeri Sembilan (20,000m lumba jalan kaki wanita – 2’5:47.02s).

Rekod Sukma yang dilakar dalam acara padang pula masing-masing menerusi atlet Sarawak, Jonah Chang Rigan (lontar peluru lelaki – 17.66m) dan Ng Jing Xuan (rejam lembing wanita – 45.12m) sementara atlet Pulau Pinang, Wilson Quaik Zhen Han memperbaharui rekod dekatlon lelaki dengan kutipan mata 6,690.

Johor mempertahankan gelaran juara keseluruhan selepas mengutip sembilan emas, lima perak dan empat gangsa manakala Selangor (8-5-4) dan Wilayah Persekutuan (6-6-2) untuk melengkapkan tiga kedudukan teratas. – Bernama