Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukma 2024: Nur Farisya lebih bertuah di kolam terjun

KUCHING – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu!

Itu yang boleh menggambarkan sejarah perjalanan karier penerjun Sarawak, Nurul Farisya Alia Affendi yang cipta kejutan dengan memenangi pingat emas dalam acara 10 meter (m) platform Sukan Malaysia (Sukma) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, hari ini.

Walaupun terjun adalah pilihan keduanya, keputusan Nurul Farisya ‘tukar bidang’ daripada gimnastik nyata berbaloi apabila mengalahkan pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, Lee Yiat Qing yang mewakili Wilayah Persekutuan.

Dalam persaingan kali ini, Nurul Farisya melengkapkan lima terjunan dengan mengutip 241.90 mata, berkelebihan 0.80 mata dengan Yiat Qing di tempat kedua manakala seorang lagi wakil Sarawak, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj raih gangsa (231.45 mata).

“Pada asalnya saya main gimnastik tetapi persaingan agak tinggi. Kalau ikutkan saya lebih minat dengan gimnastik tetapi saya ikut saja saranan ibu untuk sertai sukan terjun. Bagi saya dua-dua sukan ini lebih kurang saja.

“Sebelum turun beraksi, saya hanya fikir untuk sekadar habiskan pertandingan kerana saya tidak meletakkan sasaran dalam acara individu. Jadi saya tidak sangka dapat menang sebab terjunan saya pun tidak begitu bagus.

“Mungkin disebabkan terjunan keempat yang membantu kemenangan saya,” katanya.

Ini adalah emas kedua Nurul Farisya selepas memenangi acara 10m platform seirama bersama Nur Eilisha. – KOSMO! ONLINE