Peserta silat kena baling botol

KUCHING: Acara silat di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Miri, bertukar sedikit kecoh berikutan tindakan tidak bertanggungjawab penonton membaling botol ke gelanggang.

Insiden memalukan itu berlaku ketika perhitungan membabitkan pesilat tuan rumah, Iman Syakilla Mahdi dan peserta Wilayah Persektuan, Nurin Alyaa Damia Mohd Masran di peringkat suku akhir bawah 45 kilogram (kg).

Kejayaan Nurin mendahului Iman Syakilla menyaksikan pertarungan terpaksa dihentikan dan tinjauan di aplikasi SUKMA 2024 menyaksikan perarungan itu masih lagi ditangguh.

Akibat daripada insiden berkenaan, Utusan Borneo melaporkan jawatankuasa penganjur menghentikan perlawanan di kedua-dua arena satu dan dua bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Keputusan sama ada untuk meneruskan perlawanan atau sebaliknya akan ditentukan oleh pihak jawatankuasa pertandingan selepas perbincangan bersama.

Bagaimanapun, setakat ini difahamkan semua kontinjen diarahkan balik ke penginapan masing-masing.

Laman sesawang SUKMA Sarawak juga menyatakan bahawa perlawanan membabitkan perlawanan itu ditangguh.-Berita Harian