KUCHING: Kontinjen Pahang memastikan status sebagai ‘penembak tepat’ terus menjadi milik mereka apabila dinobatkan juara keseluruhan acara menembak di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Kehebatan ‘hitman’ pasukan Tok Gajah menerusi Cheah Zen Hong berjaya menembak tujuh emas sekali gus dinobatkan sebagai penembak lelaki nombor satu di temasya dwi-tahunan itu.
Setakat ini, atlet terbabit meraih emas dalam kategori Pistol 25 meter (m) lelaki individu dan berpasukan,Pistol Udara 10m lelaki individu serta berpasukan selain turut bergelar juara bagi kategori Pistol Standard 25m lelaki individu dan berpasukan.
Terbaharu, Zen bersama pasangannya Wan Nyr Afiqah Wan Mohd Haneef memperoleh emas dalam kategori 10m Pistol udara campuran dengan menewaskan rakan sepasukan Muhammad Zainal Azim Ahmad Mahmud dan Damia Hani Mohamad Sakran 16-4 pada hari terakhir acara menembak berlangsung di pentas SUKMA Sarawak.
Sementara itu, seorang lagi penembak wanita Pahang, Sayyeda Khadeeja turut cemerlang membawa pulang empat emas masing-masing dalam acara 25m pistol individu dan berpasukan wanita, 10m pistol individu serta berpasukan wanita.
Pahang juga menyapu emas bagi kategori Rifle Prone 50m berpasukan lelaki menerusi gandingan Ahmad Zaffin Kushairie Mohd Azman, Hairiz Haiqal Ramlan dan Muhammad Fikhri Hafiy Mohd Fazley.
Jurulatih menembak, Elina Sotnik mengakui bahawa barisan penembak Pahang mengikuti setiap arahan dan teknik ketika sesi latihan sekali gus memastikan mereka meraih kejayaan gemilang.
“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran kepada mereka. Apa yang saya katakan tembak saja dan jangan takut,” kata jurulatih berasal dari Rusia itu.
Secara keseluruhan kem menembak Pahang membawa pulang 12 emas, lima perak dan empat gangsa sekali gus memintas pencabar terdekat iaitu Negeri Sembilan (12 emas, tiga perak, empat gangsa) manakala Sarawak di tempat ketiga (empat perak, enam gangsa).
Pungutan emas terbabit menyaksikan kem menembak Pahang terus mengekalkan penguasaan dalam sukan terbabit untuk tempoh 16 tahun.-Berita Harian