KUCHING – Pemegang rekod kebangsaan 400 meter (m), Umar Osman memperoleh kejayaan berganda ketika memenangi satu lagi pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Stadium Sarawak, sebentar tadi.
Selain mempertahankan kejuaraan, catatan 46.78 saat juga menyaksikan pelari Johor itu turut memperbaharui rekod kejohanan milik Muhammad Ilham Suhaimi dari Selangor yang mencatatkan 47.02s pada Sukm 2018.
“Saya memang yakin boleh menang tetapi saya perlu kawal perasaan itu kerana ada pelari lain seperti Muhammad Khalil Helmi dan beberapa lagi yang kuat-kuat dan memberikan saingan yang sengit.
“Hari ini saya rasa agak keletihan selepas beraksi dalam 4×400 lelaki (semalam) dan 4×400 campuran (kelmarin). Jadi, saya gembira tetap berjaya capai misi saya,” katanya.
Muhammad Khalil yang melakukan catatan 48.05s menghadiahkan pingat perak buat Sabah manakala pelari Perak, N Kanishkann melengkapkan tiga kedudukan podium (48.42s).
Dalam saingan wanita, pelari Melaka, Shayna Marianne Periera Jesindran menyumbang emas pertama negeri itu di lapangan olahraga, merekodkan masa terpantas 57.74s.
Tempat kedua dimenangi Nor Ainaa Balqis dari Kelantan (57.77s) dan gangsa diraih oleh pelari Johor, Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi (58.34s).-Kosmo