KUCHING: Kehadiran pelari 400 meter negara, Umar Osman memberi impak besar buat kuartet 4x400m Johor yang memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod Sukan Malaysia (SUKMA) pada edisi 2024 di Sarawak.
Umar bersama Muhammad Aiman Najmi Mohd Anuar, Mohamad Akmal Haziq Mohd Zahari dan Wills Harnessy Gindal mempamerkan larian konsisten untuk merakamkan catatan terpantas 3 minit 12.35 saat pada aksi final di Stadium Sarawak di sini.
Catatan itu membolehkan mereka memadamkan rekod temasya 3:12.66s milik kuartet Melaka terdiri daripada Khairul Hafiz Jantan, Amirul Haziq Borhan, Mohd Azam Masri dan Badrul Hisyam ketika melakukannya pada edisi 2016 juga di Sarawak.
Pingat perak acara itu dimenangi kuartet Perak dibarisi D Samuel, Muhammad Anas Muhammad Zubair Kanan, Ahmad Amir Aiman Mohd Kamaruddin dan N Kanishkann (3:12.99s) manakala gangsa diraih Sabah menerusi Aubrey Aron, Muhammad Fahami Samsudin, Edrick Feivel Florentius dan Muhammad Khalil Helmi (3:13.40).
Semalam, Umar turut membantu kuartet 4x400m campuran Johor meraih emas acara itu.
Bagi Umar, kejayaan yang dilakar setakat ini di Bumi Kenyalang membuatkan dia semakin membara bagi mempertahankan emas acara 400m esok selain turut mengintai peluang untuk meleburkan rekod temasya berusia 22 tahun milik Muhd Zaiful Zainal Abidin 47.34s yang dicipta pada edisi 2002 di Sabah.
“Sasaran utama saya adalah untuk mempertahankan emas yang dimenangi pada 2022 selain cuba untuk perbaharui rekod SUKMA. Saya akan cuba yang terbaik untuk capai kedua-dua sasaran itu,” katanya.
Ditanya mengenai peluang untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 46.09s pada temasya kali ini, Umar bagaimanapun enggan meletakkan harapan yang tinggi meskipun dirinya berada dalam keadaan terbaik dan bebas daripada sebarang kecederaan.
Saingan 4x400m wanita menyaksikan kuartet Terengganu muncul juara selepas merakam masa terpantas 3:54.83s diikuti Johor kedua (3:55.53s) manakala Selangor ketiga (4:01.81s).
Sementara itu, pelari Terengganu, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif memenangi emas dalam acara 110m lari berpagar dengan catatan 14.26s diikuti Muhammad Fiross Mohd Faizal dari Wilayah Persekutuan yang meraih perak (14.51s) manakala atlet Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau membawa pulang gangsa (14.57s).
Dalam saingan 100m lari berpagar wanita, emas dimenangi pelari Selangor, Lie Yee Teng dengan catatan 14.28s diikuti Nur Shaqirah Cik Mat Kilau dari Johor perak (14.87s) manakala gangsa menjadi milik atlet Perak, Farah Syakira Azifsafrin (14.97s).-Berita Harian