KUCHING: Pasukan petanque Sarawak melepasi sasaran tiga pingat emas pada temasya SUKMA Sarawak 2024 apabila meraih satu lagi pingat emas di Arena Petanque Sarawak di Santubong, di sini, malam ini.
Pingat emas keempat itu diperoleh menerusi beregu campuran, Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom-Nur Durratul Sahira Yazit.
Mereka menewaskan gandingan Perak, Mohamad Yusman Haizad Mohamad Yusof dan Nur Zafirah Zafri 13-9 pada perlawanan akhir manakala gangsa dimenangi Selangor menerusi Muhamad Arif Irfan Zainudin-Nur Alya Farzana Rushazlir Effeny.
Bagi acara beregu lelaki, Selangor meraih pingat emas, perak dimenangi Perlis manakala Pulau Pinang membawa pulang gangsa.
Perak pula meraih pingat emas beregu wanita, Sarawak menang perak manakala Negeri Sembilan meraih gangsa.
Sementara itu Akhtar Shauqi, 17, yang juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kemboja 2023 berkata, dia puas dapat menyumbang pingat emas buat Sarawak dalam penyertaan keduanya pada SUKMA.
“Pada SUKMA di Kuala Lumpur pada 2022, saya meraih pingat gangsa dan rezeki saya disenarai dalam pasukan kebangsaan selepas itu untuk saingan Sukan SEA di Kemboja.
“Memang puas dengan kemenangan ini dan saya berazam untuk terus menyumbang kepada Sarawak dalam dua edisi SUKMA akan datang,” katanya.-Berita Harian