KUCHING: Skuad silambam Perak membuka saingan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dengan langkah kanan apabila menyapu tiga daripada empat pingat emas ditawarkan di Hikmah Exchange Event Centre di sini.
G Aswin membawa pulang pingat emas acara kuthu aarisai lelaki (tanpa senjata) selepas mendapat markah tertinggi 8.67 mata, mengatasi T Yoganath (8.13) dari Wilayah Persekutuan untuk perak dan gangsa milik wakil Selangor, S Kahlisswaran (8.10).
Perak turut mendominasi acara wanita menerusi B Laashmita dalam acara thanithiramai (kemahiran individu) dengan mengutip 7.87 mata.
Atlet Negeri Sembilan L Kavinarasi (7.57) untuk perak dan gangsa dimenangi wakil Terengganu S Keertika (7.37).
Acara kuthu varisai wanita pula menyaksikan A Vidyasri memenangi pingat emas dengan 8.33 mata, meninggalkan M Iswari dari Terengganu yang mendapat 8.17 mata untuk perak manakala gangsa dimenangi M Harini (7.77) dari Selangor.
Perak terlepas satu lagi emas apabila H Sharvanish ketinggalan 0.3 mata di belakang pemenang pingat emas acara thanithiramai dari Selangor, M Sarveeshaa (8.10 mata) manakala S Nivess dari Wilayah Persekutuan (8.03 mata) gangsa.
Silambam kembali dipertandingkan pada temasya SUKMA selepas kali terakhir diadakan pada edisi 2013.-Berita Harian