KUCHING: Atlet Sarawak, Pauline Ului membuktikan usia muda bukan halangan untuk dia mencipta kejayaan apabila merangkul pingat emas dalam acara lempar cakera wanita di SUKMA Sarawak 2024, hari ini.
Pauline yang baru berusia 16 tahun cemerlang apabila melakukan balingan sejauh 38.50 meter sekali gus menduduki tempat pertama pada aksi final di Stadium Sarawak di sini.
Catatan itu bagaimanapun gagal untuk menyamai rekod peribadi terbaiknya 40.00m.
ADVERTISING
Pingat perak dimenangi atlet Perlis, Farhana Izurein Faizal Amizul dengan catatan 38.41m manakala atlet Selangor, Sasha Alyssa Philip membawa pulang gangsa dengan 37.62m.
“Secara jujurnya saya agak gugup kerana ini adalah SUKMA pertama yang juga kejohanan terbesar saya. Dengan keadaan cuaca hujan hari ini, ia bukan sesuatu yang mudah.
“Pada masa sama, saya terlalu fokus untuk memperbaharui rekod peribadi terbaik saya.
“Sejak dari balingan pertama hingga akhir, saya berasa gugup tetapi apabila disahkan sebagai pemenang, saya sangat lega,” kata pelajar Sekolah Menengah Long Bedian di Ulu Baram itu.
Sementara itu, atlet Wilayah Persekutuan, Kristian Tung terus cemerlang apabila merekodkan emas kedua peribadinya selepas mengungguli saingan acara 1,500m lelaki dengan masa 4 minit 04.62 saat diikuti atlet Perak, Shawn Roshan Singh (4:04.94s) dan Mohamad Ahsan Atta Ur Rahman dari Sabah (4:07.54s).
Pagi tadi, Kristian yang berpangkalan di United Kingdom merangkul emas pertama selepas menjuarai saingan 10,000m lelaki.
Saingan 1,500m wanita pula menyaksikan atlet Johor, S Geetha merangkul emas (4:45.16s) diikuti Clezendra Chanda Cevester Empari dari Sarawak (4:54.29s) dan atlet Selangor, C Taarini (4:58.52s).-Berita Harian