BINTULU: Atlet MuayThai Sarawak, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar meneruskan legasi emas abangnya apabila menjuarai kategori 51-54 kilogram pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 hari ini.
Mikail, 16, adik kepada petarung sensasi negara Mohammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo Ghazali jelas tiada tandingan apabila menewaskan Muhammad Zulfakar Othman dari Melaka 24-14 pada aksi final di Naim Street Paragon Mall di sini.
Mikail yang membuat penampilan sulung pada temasya SUKMA menyempurnakan tugasnya untuk meraih satu daripada dua pingat emas yang disasarkan oleh Sarawak menerusi MuayThai.
Untuk rekod, skuad MuayThai Sarawak memenangi pingat emas dalam kategori 60-63.5 kg menerusi Jojo Ghazali manakala abangnya Muhammad Elias Ghazali bagi kategori 63.5kg pada edisi 2022 di Kuala Lumpur.
Sukan MuayThai yang mempertandingkan sejumlah 18 pingat emas berakhir hari ini. – BERNAMA