KUCHING: Pemain boling Sarawak, Tsen Fan Yew menamatkan karier Sukan Malaysia (SUKMA) dengan bergaya apabila dia meraih pingat emas kedua dalam acara Masters lelaki hari ini.
Pemain skuad remaja kebangsaan berusia 21 tahun itu menangani tekanan untuk mengatasi pemain Pulau Pinang, Zuhair Zailani 2-1 (208-200, 202-212, 215-192) pada perlawanan akhir di Megalanes Sarawak di Batu Kawa.
Pada separuh akhir, Fan Yew mengatasi pemain Johor, Aliff Haiqal Sahrul 2-1 (196-155, 201-203, 164-149).
Kemenangan itu yang kedua buat Fan Yew selepas meraih emas beregu campuran bersama Nur Hazirah Ramli sebelum ini.
Dengan pencapaian itu, Fan Yew akan membawa pulang hadiah wang ganjaran RM33,000 termasuk RM3,000 bagi pingat gangsa dalam acara berpasukan lelaki.
Dalam acara Masters wanita, Anis Hannani Romzi dari Johor meraih emas selepas menundukkan Nur Anis Anisya Zaffli dari Kedah 2-0 (254-197, 215-165).
Anis mara ke final dengan mengatasi pemain Selangor, Adelia Nur Irwan Syazalee 2-0 (204-155, 176-156).
Pemain Sarawak, Nur Hazirah terlepas peluang meraih pingat emas kelima apabila kemaraannya disekat pada separuh akhir oleh Nur Anis, yang menang 2-0 (186-180, 198-157).
Nur Hazirah kemudian gagal pada penentuan pingat gangsa apabila dia tewas kepada Adelia 2-0 (204-164, 219-150), terlepas peluang tambahan ganjaran sebanyak RM3,000.
Di sebalik kekecewaan itu, Nur Hazirah sudah mengumpul RM63,000 dari segi ganjaran wang, sesudah menang empat pingat emas (perseorangan wanita, beregu wanita, trio wanita dan beregu campuran) selain satu gangsa (berpasukan wanita).
Tuan rumah Sarawak menjanjikan ganjaran RM15,000, RM5,000 dan RM3,000 bagi pemenang pingat emas, perak dan gangsa pada temasya kali ini.-Berita Harian