Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Saya harap bapa dapat lihat kejayaan saya hari ini’

KUALA LUMPUR: “Saya harap bapa (Ku Boon Euo) dapat lihat kejayaan saya hari ini”.

Itu luahan atlet lompat tinggi wanita Sabah, Ku Yee Aleng yang mengalirkan air mata selepas memenangi pingat emas sulungnya di SUKMA Sarawak 2024, hari ini.

Yee Aleng, 19, berkata sejurus kemenangan dilakarnya di Stadium Sarawak itu, dia teringat kepada bapanya yang meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Katanya, bapanya adalah individu yang menentang dirinya menceburi bidang sukan kerana mahu dia fokus kepada pelajaran.

“Saya menangis sebab teringat kepada bapa saya. Dulu dia tidak sokong saya untuk bersukan, dia mahu saya fokus pelajaran kerana saya bukan budak yang bijak, UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) saya pun tidak berapa bagus.

“Jadi, apabila saya sudah menang emas ini, saya agak sedih tidak dapat tunjuk kepada dia yang saya sudah berjaya dalam sukan dan pelajaran,” katanya ketika ditemui.

Atlet Sabah, Ku Yee Aleng, melakukan lompatan ketika acara lompat tinggi wanita akhir di Stadium Sarawak, Kompleks Sukan Petra Jaya, Kuching. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Atlet Sabah, Ku Yee Aleng, melakukan lompatan ketika acara lompat tinggi wanita akhir di Stadium Sarawak, Kompleks Sukan Petra Jaya, Kuching. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Atlet berasal dari Kunak itu turut berjaya dalam akademik apabila bergelar penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya di Sabah.

Terdahulu, pada aksi final, Yee Aleng merangkul emas dengan lompatan setinggi 1.64 meter (m), mengatasi atlet Pulau Pinang Melissa Choong yang turut merekodkan catatan sama selepas kedua-duanya gagal dalam percubaan ketinggian 1.67m.

Bagaimanapun, Yee Aleng disahkan sebagai pemenang selepas berjaya melepasi ketinggian 1.64m pada percubaan kedua berbanding Melissa pada percubaan ketiga.

Atlet Sabah Ku Yee Aleng meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak hari ini.
Atlet Sabah Ku Yee Aleng meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak hari ini.

Gangsa acara itu menjadi milik atlet Sarawak, Sylvia Nawan SA yang mencatat 1.54m.

“Saya sangat gembira kerana ini adalah kali pertama saya beraksi di SUKMA dan tidak jangka boleh menang.

“Saya bersaing dengan Melissa, dia pencabar yang kuat dan berpengalaman.

“Saya pula hanya seorang atlet dari daerah kecil di Sabah (Kunak) yang dilatih jurulatih (Mohd Zaid Abdul Razak) dari sana.

“Selain itu, rekod peribadi terbaik saya pun hanya 1.61m sebelum ini, jadi saya bangga dapat buat rekod peribadi di sini,” katanya.

Sementara itu, dalam acara rejam lembing lelaki, atlet Wilayah Persekutuan Cheah Jei Wun merangkul emas dengan catatan 56.53m.

Dia mengatasi wakil Selangor, Tan Jing Yi yang terpaksa berpuas dengan perak (54.03m) manakala Mohd Noor Iman Norman dari Johor meraih gangsa (53.36m).-Berita Harian