Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Makan Ikan, lobak resipi Saiful Islam raih emas

KUCHING: Makan ikan dan lobak hampir setiap hari menjadi resipi rahsia buat pemanah Terengganu Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan untuk memenangi emas bagi kategori recurve 70 meter (m) lelaki di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, semalam.

Walaupun ada yang menganggap itu mungkin hanyalah kebetulan namun bagi Muhammad Saiful Islam, amalan terbabit tidak pernah tinggal sejak berkecimpung dalam sukan memanah pada usia lapan tahun.

Anak sulung daripada enam beradik itu percaya dengan makan ikan dan lobak akan membantunya lebih fokus dan mempertajamkan penglihatan ketika beraksi dalam sukan memanah.

“Saya tiap hari makan ikan kalau tak ada lauk itu rasa lain. Lobak pula paling kurang tiga kali seminggu wajib makan.

Disyorkan Untuk Anda

“Jika diikutkan saya mula terbabit dalam sukan memanah ketika darjah dua apabila diperkenalkan oleh sepupu.

Pemanah Terengganu Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan (tengah) memperagakan pingat emas yang dimenangi selepas menjuarai acara recurve 70m  lelaki di sini hari ini.
Pemanah Terengganu Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan (tengah) memperagakan pingat emas yang dimenangi selepas menjuarai acara recurve 70m lelaki di sini hari ini.

“Sukan memanah sangat menyeronokkan namun perlu fokus dan konsisten untuk mendapatkan keputusan terbaik,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Terdahulu, Muhammad Saiful Islam beraksi cemerlang untuk memastikan emas miliknya kategori recurve 70 meter lelaki miliknya sekali gus berjaya ketepikan pesaing terdekat dari Pahang Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi walaupun masing-masing berkongsi 656 mata.

Wakil tuan rumah Liew Yu Jie terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa walaupun satu ketika dia mendahului saingan pada set pertama.

Sementara itu, Muhammad Saiful Islam yang bercita-cita menjadi seorang guru akan meminta restu dan doa ibu bapa sebelum ‘berentap’ dalam sukan memanah.

“Saya wajib telefon ibu dan ayah sebelum turun beraksi dalam setiap kejohanan. Saya perlukan doa dan restu mereka untuk memperoleh keputusan positif,” katanya.-Berita Harian