KBS puji Sarawak naik taraf kemudahan sukan

Kuching: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memuji usaha kerajaan Sarawak menaik taraf kemudahan sukan sedia ada bagi menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) 2024, khususnya Lapang Sasar Menembak yang dilengkapi sistem elektronik.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata usaha berkenaan mampu mengangkat martabat temasya dwitahunan kebangsaan itu dalam usaha melahirkan lebih ramai ‘ubi muda’ untuk menggalas cabaran ke peringkat antarabangsa.

“Saya gembira melihat kemudahan telah dinaik taraf khususnya sistem acara menembak paling terkini (sistem elektronik),” katanya kepada Bernama selepas melawat atlet taekwondo di Stadium Perpaduan di sini hari ini.

Sukma 2024 membuka tirai secara rasmi pada Sabtu lepas dan dijadual berakhir 24 Ogos.

Edisi kali ini berlangsung di sembilan bahagian di Sarawak membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran dengan penyertaan lebih 12,000 atlet dari seluruh Malaysia termasuk Brunei.-Harian Metro