KUCHING: Malaysia sudah boleh membayangkan untuk memenangi pingat emas dalam acara 20,000 meter (m) lumba jalan kaki pada Sukan SEA Bangkok 2025.
Ini selepas pencapaian dilakar atlet muda Wilayah Persekutuan, Khor Jing Hong ketika memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod temasya acara itu di SUKMA Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Sarawak di sini, hari ini.
Atlet berusia 19 tahun itu yang membuat penampilan sulung di SUKMA mengungguli saingan dengan catatan masa 1 jam 34 minit 38.20 saat (s) sekali gus meleburkan rekod temasya berusia 20 tahun milik M Thiyagu dari Perak 1:34.56.10s yang dilakukan pada edisi 2004 di Negeri Sembilan.
Pingat perak dimenangi atlet Pulau Pinang, Sriven Tan yang mencatat 1:38.25.43s manakala gangsa menjadi milik wakil Selangor, C Teban Raj dengan catatan 1:48.07.56s.
Berbaki setahun menjelang Sukan SEA Bangkok, catatan masa dilakukan Jing Hong memberi petanda positif untuk Malaysia kembali mendominasi saingan di temasya dwitahunan itu.
Catatan dilakukan atlet muda itu jauh lebih baik berbanding masa yang direkodkan pemenang emas edisi terakhir di Sukan SEA Kemboja 2023 yang dimenangi Hendro Yap dari Indonesia dengan catatan 1:40:42s.
Kali terakhir Malaysia merangkul emas 20,000m jalan kaki lelaki adalah menerusi Lo Choon Sieng dengan catatan 1:32:34s pada Sukan SEA Jakarta/Palembang 2011.
Menariknya, Choon Sieng kini adalah jurulatih kepada Jing Hong.
Menurut Jing Hong, dia sememangnya berharap pencapaian diraih di bumi Kenyalang akan membuka pintu untuk dia mewakili negara buat kali pertama di temasya dwitahunan itu.
“Selepas SUKMA ini sehinggalah tahun depan, jurulatih memang sudah menyusun perancangan untuk saya menyertai beberapa kejohanan antarabangsa.
“Saya harap kejayaan ini akan membolehkan saya untuk diserap ke skuad pelapis. Sebenarnya, SUKMA kali ini juga adalah sebagai ujian untuk saya sama ada saya layak untuk menyertai skuad pelapis.
“Kalau diberi peluang itu, sudah tentu Sukan SEA tahun depan di Bangkok menjadi keutamaan saya dan akan membuat persiapan terbaik untuk beraksi di sana nanti,” katanya ketika ditemui.
Berkongsi pengalaman berlatih bersama Choon Sieng, Jing Hong menyifatkan jurulatih itu seorang yang sangat berdedikasi.
“Kehadiran jurulatih sangat penting, dia sangat komited. Ada masa dia akan joging dan jalan kaki bersama-sama saya.
“Dia juga sering beri nasihat yang baik. Ada masa mental saya tidak kuat dan dia akan beritahu mentaliti yang betul,” katanya yang turut mementingkan keseimbangan antara pelajaran dan sukan.
Jing Hong sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat A-Level di Methodist College Kuala Lumpur (MCKL).-Berita Harian