Kuching: Nasihat bapa supaya fokus kepada petanque berbanding sukan lain ternyata berbaloi buat Dayang Nurulnuhaa Fasihah Abang Misbahhuddin, apabila berjaya meraih pingat emas acara itu pada Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) hari ini.
Lebih manis bagi gadis berusia 18 tahun itu, kejayaannya menamatkan kemarau emas Sarawak dalam acara petanque sejak lapan tahun lalu.
Dayang Nurulnuhaa berkata, dia mula berjinak-jinak dengan petanque sejak berusia tiga tahun namun pernah juga mencuba sukan lain terutamanya bola jaring.
Bagaimanapun katanya, pencapaiannya kurang menyerlah dalam acara bola jaring. “Bapa saya kemudian meminta saya memberi fokus kepada sukan petanque kerana saya sudah lama bermain sukan itu.
“Hari ini terbukti nasihat bapa itu benar dan saya amat berbangga dapat membuktikan kemampuan apabila menyumbang pingat untuk Sarawak pada Sukma XXI menerusi acara ini,” katanya.
Dayang Nurulnuhaa memenangi acara ‘shooting’ wanita selepas menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Nur Arissa Qasreena Ratinan 29-27 dalam aksi final hari ini.
Menurutnya, sokongan serta dorongan keluarga menguatkan semangatnya untuk beraksi sebaik mungkin di Gelanggang Petanque Negeri Sarawak di Santubong, hari ini.
“Terima kasih kepada keluarga saya dan pasukan yang tidak pernah jemu memberi sokongan hingga saya membuktikan mampu meraih pingat emas hari ini,” katanya.
Mengenai ganjaran yang bakal diterimanya kerana kerajaan Sarawak menyediakan insentif RM15,000 kepada pemenang pingat emas, Dayang Nurulnuhaa berkata, ia akan dikongsi dengan ibu bapanya.
Dengan kemenangan itu, dia turut berharap mampu membuka mata barisan jurulatih pasukan kebangsaan untuk menyenaraikannya dalam skuad negara.-Harian Metro