Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives August 19, 2024

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SIRI LAWATAN KETUA KONTINJEN NEGARA KE PARALIMPIK PARIS 2024 – SUKAN PARA OLAHRAGA

BUKIT JALIL – Ketua Kontinjen Negara ke Temasya Paralimpik Paris 2024 YBhg. Laksamana Pertama (B) Dato’ Subramaniam Raman Nair meneruskan siri lawatan untuk sukan Para Olahraga diStadium Mini MSN petang tadi.

Pada lawatan tersebut beliau sempat bertemu dengan atlet Datuk Abdul Latif Romly (Lompat Jauh T20), Muhammad Ziyad Zolkefli (Lontar Peluru F20) dan Wong Kar Gee (Lompat Jauh T12).

Enam orang atlet mengesahkan tempat di Temasya Paralimpik untuk sukan Para Olahraga yang bakal berlangsung di Stade de France Stadium, Paris bermula 30 Ogos hingga 7 September 2024.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
DANISH, AFRINA DINOBATKAN RAJA DAN RATU PECUT SUKMA SARAWAK 2024

Pelari pecut Johor, Danish Iftikhar telah mencatat 10.53s untuk meraih pingat emas dalam acara 100m lelaki manakala Nur Afrina dari Selangor pamer aksi cemerlang dengan mencatat 11.64s sekaligus memperbaharui rekod SUKMA yang dipegang oleh Azreen Nabila dari Terengganu pada edisi 2018 di Perak.

Keputusan :

πŸ₯‡Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal (SGR) – 11.64 (GR)

πŸ₯ˆIzzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira (TRG) – 11.90

πŸ₯‰Ormilla Octavia Codday Nyadau (SWK) – 12.19

Keputusan :

πŸ₯‡Danish Iftikhar Muhammad Roslee (JHR) – 10.53

πŸ₯ˆDanish Irfan Tamrin (SGR) – 10.60

πŸ₯‰Muhammad Efrain Feerzan Qhan Mohd Yazid (PHG) – 10.66

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
‘Saya harap bapa dapat lihat kejayaan saya hari ini’

KUALA LUMPUR: “Saya harap bapa (Ku Boon Euo) dapat lihat kejayaan saya hari ini”.

Itu luahan atlet lompat tinggi wanita Sabah, Ku Yee Aleng yang mengalirkan air mata selepas memenangi pingat emas sulungnya di SUKMA Sarawak 2024, hari ini.

Yee Aleng, 19, berkata sejurus kemenangan dilakarnya di Stadium Sarawak itu, dia teringat kepada bapanya yang meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Katanya, bapanya adalah individu yang menentang dirinya menceburi bidang sukan kerana mahu dia fokus kepada pelajaran.

“Saya menangis sebab teringat kepada bapa saya. Dulu dia tidak sokong saya untuk bersukan, dia mahu saya fokus pelajaran kerana saya bukan budak yang bijak, UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) saya pun tidak berapa bagus.

“Jadi, apabila saya sudah menang emas ini, saya agak sedih tidak dapat tunjuk kepada dia yang saya sudah berjaya dalam sukan dan pelajaran,” katanya ketika ditemui.

Atlet Sabah, Ku Yee Aleng, melakukan lompatan ketika acara lompat tinggi wanita akhir di Stadium Sarawak, Kompleks Sukan Petra Jaya, Kuching. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Atlet Sabah, Ku Yee Aleng, melakukan lompatan ketika acara lompat tinggi wanita akhir di Stadium Sarawak, Kompleks Sukan Petra Jaya, Kuching. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Atlet berasal dari Kunak itu turut berjaya dalam akademik apabila bergelar penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya di Sabah.

Terdahulu, pada aksi final, Yee Aleng merangkul emas dengan lompatan setinggi 1.64 meter (m), mengatasi atlet Pulau Pinang Melissa Choong yang turut merekodkan catatan sama selepas kedua-duanya gagal dalam percubaan ketinggian 1.67m.

Bagaimanapun, Yee Aleng disahkan sebagai pemenang selepas berjaya melepasi ketinggian 1.64m pada percubaan kedua berbanding Melissa pada percubaan ketiga.

Atlet Sabah Ku Yee Aleng meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak hari ini.
Atlet Sabah Ku Yee Aleng meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak hari ini.

Gangsa acara itu menjadi milik atlet Sarawak, Sylvia Nawan SA yang mencatat 1.54m.

“Saya sangat gembira kerana ini adalah kali pertama saya beraksi di SUKMA dan tidak jangka boleh menang.

“Saya bersaing dengan Melissa, dia pencabar yang kuat dan berpengalaman.

“Saya pula hanya seorang atlet dari daerah kecil di Sabah (Kunak) yang dilatih jurulatih (Mohd Zaid Abdul Razak) dari sana.

“Selain itu, rekod peribadi terbaik saya pun hanya 1.61m sebelum ini, jadi saya bangga dapat buat rekod peribadi di sini,” katanya.

Sementara itu, dalam acara rejam lembing lelaki, atlet Wilayah Persekutuan Cheah Jei Wun merangkul emas dengan catatan 56.53m.

Dia mengatasi wakil Selangor, Tan Jing Yi yang terpaksa berpuas dengan perak (54.03m) manakala Mohd Noor Iman Norman dari Johor meraih gangsa (53.36m).-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Akur nasihat bapa bawa tuah buat Dayang

Kuching: Nasihat bapa supaya fokus kepada petanque berbanding sukan lain ternyata berbaloi buat Dayang Nurulnuhaa Fasihah Abang Misbahhuddin, apabila berjaya meraih pingat emas acara itu pada Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) hari ini.

Lebih manis bagi gadis berusia 18 tahun itu, kejayaannya menamatkan kemarau emas Sarawak dalam acara petanque sejak lapan tahun lalu.

Dayang Nurulnuhaa berkata, dia mula berjinak-jinak dengan petanque sejak berusia tiga tahun namun pernah juga mencuba sukan lain terutamanya bola jaring.

Bagaimanapun katanya, pencapaiannya kurang menyerlah dalam acara bola jaring. “Bapa saya kemudian meminta saya memberi fokus kepada sukan petanque kerana saya sudah lama bermain sukan itu.

“Hari ini terbukti nasihat bapa itu benar dan saya amat berbangga dapat membuktikan kemampuan apabila menyumbang pingat untuk Sarawak pada Sukma XXI menerusi acara ini,” katanya.

Dayang Nurulnuhaa memenangi acara ‘shooting’ wanita selepas menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Nur Arissa Qasreena Ratinan 29-27 dalam aksi final hari ini.

Menurutnya, sokongan serta dorongan keluarga menguatkan semangatnya untuk beraksi sebaik mungkin di Gelanggang Petanque Negeri Sarawak di Santubong, hari ini.

“Terima kasih kepada keluarga saya dan pasukan yang tidak pernah jemu memberi sokongan hingga saya membuktikan mampu meraih pingat emas hari ini,” katanya.

Mengenai ganjaran yang bakal diterimanya kerana kerajaan Sarawak menyediakan insentif RM15,000 kepada pemenang pingat emas, Dayang Nurulnuhaa berkata, ia akan dikongsi dengan ibu bapanya.

Dengan kemenangan itu, dia turut berharap mampu membuka mata barisan jurulatih pasukan kebangsaan untuk menyenaraikannya dalam skuad negara.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS puji Sarawak naik taraf kemudahan sukan

Kuching: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memuji usaha kerajaan Sarawak menaik taraf kemudahan sukan sedia ada bagi menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) 2024, khususnya Lapang Sasar Menembak yang dilengkapi sistem elektronik.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata usaha berkenaan mampu mengangkat martabat temasya dwitahunan kebangsaan itu dalam usaha melahirkan lebih ramai ‘ubi muda’ untuk menggalas cabaran ke peringkat antarabangsa.

“Saya gembira melihat kemudahan telah dinaik taraf khususnya sistem acara menembak paling terkini (sistem elektronik),” katanya kepada Bernama selepas melawat atlet taekwondo di Stadium Perpaduan di sini hari ini.

Sukma 2024 membuka tirai secara rasmi pada Sabtu lepas dan dijadual berakhir 24 Ogos.

Edisi kali ini berlangsung di sembilan bahagian di Sarawak membabitkan 488 acara dalam 37 jenis sukan terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 wanita dan 35 acara campuran dengan penyertaan lebih 12,000 atlet dari seluruh Malaysia termasuk Brunei.-Harian Metro

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bayangan emas 20km jalan kaki di Bangkok

KUCHING: Malaysia sudah boleh membayangkan untuk memenangi pingat emas dalam acara 20,000 meter (m) lumba jalan kaki pada Sukan SEA Bangkok 2025.

Ini selepas pencapaian dilakar atlet muda Wilayah Persekutuan, Khor Jing Hong ketika memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod temasya acara itu di SUKMA Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Sarawak di sini, hari ini.

Atlet berusia 19 tahun itu yang membuat penampilan sulung di SUKMA mengungguli saingan dengan catatan masa 1 jam 34 minit 38.20 saat (s) sekali gus meleburkan rekod temasya berusia 20 tahun milik M Thiyagu dari Perak 1:34.56.10s yang dilakukan pada edisi 2004 di Negeri Sembilan.

Pingat perak dimenangi atlet Pulau Pinang, Sriven Tan yang mencatat 1:38.25.43s manakala gangsa menjadi milik wakil Selangor, C Teban Raj dengan catatan 1:48.07.56s.

Berbaki setahun menjelang Sukan SEA Bangkok, catatan masa dilakukan Jing Hong memberi petanda positif untuk Malaysia kembali mendominasi saingan di temasya dwitahunan itu.

Catatan dilakukan atlet muda itu jauh lebih baik berbanding masa yang direkodkan pemenang emas edisi terakhir di Sukan SEA Kemboja 2023 yang dimenangi Hendro Yap dari Indonesia dengan catatan 1:40:42s.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas 20,000m jalan kaki lelaki adalah menerusi Lo Choon Sieng dengan catatan 1:32:34s pada Sukan SEA Jakarta/Palembang 2011.

Atlet Wilayah Persekutuan, Khor Jing Hong mengibarkan bendera Wilayah selepas meraih pingat emas dalam acara 20,000 meter lumba jalan kaki lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak hari ini. - BERNAMA
Atlet Wilayah Persekutuan, Khor Jing Hong mengibarkan bendera Wilayah selepas meraih pingat emas dalam acara 20,000 meter lumba jalan kaki lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Sarawak hari ini. – BERNAMA

Menariknya, Choon Sieng kini adalah jurulatih kepada Jing Hong.

Menurut Jing Hong, dia sememangnya berharap pencapaian diraih di bumi Kenyalang akan membuka pintu untuk dia mewakili negara buat kali pertama di temasya dwitahunan itu.

“Selepas SUKMA ini sehinggalah tahun depan, jurulatih memang sudah menyusun perancangan untuk saya menyertai beberapa kejohanan antarabangsa.

“Saya harap kejayaan ini akan membolehkan saya untuk diserap ke skuad pelapis. Sebenarnya, SUKMA kali ini juga adalah sebagai ujian untuk saya sama ada saya layak untuk menyertai skuad pelapis.

“Kalau diberi peluang itu, sudah tentu Sukan SEA tahun depan di Bangkok menjadi keutamaan saya dan akan membuat persiapan terbaik untuk beraksi di sana nanti,” katanya ketika ditemui.

Berkongsi pengalaman berlatih bersama Choon Sieng, Jing Hong menyifatkan jurulatih itu seorang yang sangat berdedikasi.

“Kehadiran jurulatih sangat penting, dia sangat komited. Ada masa dia akan joging dan jalan kaki bersama-sama saya.

“Dia juga sering beri nasihat yang baik. Ada masa mental saya tidak kuat dan dia akan beritahu mentaliti yang betul,” katanya yang turut mementingkan keseimbangan antara pelajaran dan sukan.

Jing Hong sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat A-Level di Methodist College Kuala Lumpur (MCKL).-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kisah duka Puteri Durratun raih emas

KUCHING: Luar nampak ceria namun atlet taekwondo Sarawak Puteri Durratun Zulaikha Samat sebenarnya memendam pelbagai kisah duka di sebalik emas yang diraih dalam sukan taekwondo kategori bawah 73 kilogram (kg) wanita di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, semalam.

Hal ini kerana, di sebalik kemenangannya itu Puteri Durratun Zulaikha sebenarnya mempunyai kisah duka hingga ahlinya keluarganya tidak dapat bersama meraikan kejayaan mengharumkan nama Sarawak di pentas SUKMA.

Ketika ini, ayah kepada atlet berusia 19 tahun itu bergelut melawan penyakit kronik selepas disahkan menghidap penyakit jantung dan usus bocor sekali gus menyebabkan pergerakannya terbatas.

Puteri Durratun Zulaikha yang kelihatan sebak apabila berkongsi mengenai kehidupannya memaklumkan bahawa ibu bapanya hanyalah kerja kampung sekali gus mereka sekeluarga perlu berjimat dalam setiap perbelanjaan harian.

“Ketika saya masih kecil, ayah disahkan menghidap penyakit leukemia namun sudah beransur pulih sebelum diserang pula penyakit lain sejak setahun lalu.

“Saya mengambil keputusan untuk berkorban demi keluarga dengan menyertai sukan taekwondo kerana dengan cara ini saja mungkin boleh ubah kehidupan lebih senang,” katanya yang berasal dari Subuyau, Sarawak.

Selain itu, Puteri Durratun Zulaikha yang membuat penampilan pertama di pentas SUKMA memaklumkan dia adalah satu-satunya individu berasal dari Subuyau menceburi sukan taekwondo.

“Jika diikutkan, hanya saya seorang saja menyertai taekwondo di Subuyau. Penduduk di Subuyau lebih mengenali silat berbanding taekwondo malah ada yang tidak mengetahui berkaitan sukan ini.

Puteri Durratun Zulaikha Samat meraikan kejayaan selepas memenangi pingat emas dalam perlawanan menentang atlet Taekwondo Terengganu Fu Chervyn dalam acara -73 kg wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya. - BERNAMA
Puteri Durratun Zulaikha Samat meraikan kejayaan selepas memenangi pingat emas dalam perlawanan menentang atlet Taekwondo Terengganu Fu Chervyn dalam acara -73 kg wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya. – BERNAMA

“Saya mula menyertai taekwondo secara serius sejak berusia 13 tahun. Ketika itu jurulatih hadir ke sekolah bagi mencari pelajar perempuan yang memiliki ketinggian tertentu untuk menyertai kem latihan taekwondo.

“Ini adalah peluang untuk mengubah nasib keluarga menyebabkan saya mengambil keputusan menyertai pasukan taekwondo walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga,” katanya yang memaklumkan jarak Subuyau ke Kuching mengambil masa tiga jam perjalanan.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga berkata, dia akan menggunakan wang insentif kemenangan RM15,000 untuk membuat rawatan di bahagian pinggang yang cedera sejak enam bulan lalu selain turut mahu membawa ahli keluarga makan angin kelak.

“Saya hanya memikirkan untuk membantu dan menggembirakan ahli keluarga. Walaupun saya baru saja berusia 19 tahun namun itulah tanggungjawab yang harus dipikul,” katanya yang bercita-cita menjadi anggota polis.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Makan Ikan, lobak resipi Saiful Islam raih emas

KUCHING: Makan ikan dan lobak hampir setiap hari menjadi resipi rahsia buat pemanah Terengganu Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan untuk memenangi emas bagi kategori recurve 70 meter (m) lelaki di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, semalam.

Walaupun ada yang menganggap itu mungkin hanyalah kebetulan namun bagi Muhammad Saiful Islam, amalan terbabit tidak pernah tinggal sejak berkecimpung dalam sukan memanah pada usia lapan tahun.

Anak sulung daripada enam beradik itu percaya dengan makan ikan dan lobak akan membantunya lebih fokus dan mempertajamkan penglihatan ketika beraksi dalam sukan memanah.

“Saya tiap hari makan ikan kalau tak ada lauk itu rasa lain. Lobak pula paling kurang tiga kali seminggu wajib makan.

Disyorkan Untuk Anda

“Jika diikutkan saya mula terbabit dalam sukan memanah ketika darjah dua apabila diperkenalkan oleh sepupu.

Pemanah Terengganu Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan (tengah) memperagakan pingat emas yang dimenangi selepas menjuarai acara recurve 70m  lelaki di sini hari ini.
Pemanah Terengganu Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan (tengah) memperagakan pingat emas yang dimenangi selepas menjuarai acara recurve 70m lelaki di sini hari ini.

“Sukan memanah sangat menyeronokkan namun perlu fokus dan konsisten untuk mendapatkan keputusan terbaik,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Terdahulu, Muhammad Saiful Islam beraksi cemerlang untuk memastikan emas miliknya kategori recurve 70 meter lelaki miliknya sekali gus berjaya ketepikan pesaing terdekat dari Pahang Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi walaupun masing-masing berkongsi 656 mata.

Wakil tuan rumah Liew Yu Jie terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa walaupun satu ketika dia mendahului saingan pada set pertama.

Sementara itu, Muhammad Saiful Islam yang bercita-cita menjadi seorang guru akan meminta restu dan doa ibu bapa sebelum ‘berentap’ dalam sukan memanah.

“Saya wajib telefon ibu dan ayah sebelum turun beraksi dalam setiap kejohanan. Saya perlukan doa dan restu mereka untuk memperoleh keputusan positif,” katanya.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jing Hong raih emas 20km jalan kaki, pecah rekod SUKMA

KUCHING: Atlet Wilayah Persekutuan, Khor Jing Hong muncul atlet pertama memenangi pingat emas sukan olahraga di SUKMA Sarawak 2024 selepas mengungguli saingan 20,000 meter lumba jalan kaki lelaki di Stadium Sarawak di sini, sebentar tadi.

Lebih membanggakan, atlet berusia 19 tahun itu yang membuat penampilan pertama di SUKMA turut memecahkan rekod temasya dengan catatan 1 jam 34 minit 38.20 saat (s).

Catatan itu menyaksikan dia meleburkan rekod berusia 20 tahun milik M Thiyagu 1:34.56.10s yang dilakukan ketika SUKMA 2004 di Negeri Sembilan.

Pingat perak acara itu dimenangi atlet Pulau Pinang, Sriven Tan yang nencatat 1:38.25.43s manakala gangsa menjadi milik wakil Selangor, C Teban Raj dengan catatan 1:48.07.56s.-Berita Harian

Majlis Sukan Negara Malaysia