27 pingat emas jadi buruan hari ini

KUCHING: Saingan sukan wushu terus menjadi tumpuan kontinjen negeri dan Brunei pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan taruhan 14 pingat emas lagi sebelum acara berkenaan melabuhkan tirai di Dewan Wushu SSC, Petra Jaya hari ini.

Acara dipertandingkan membabitkan disiplin taolu bagi kategori qiangshu lelaki dan wanita, gunshu lelaki dan wanita manakala sanda menyaksikan kategori 48 kilogram, 52kg, 56kg (wanita) diikuti kategori 52kg, 56kg, 60kg, 65kg, 70kg (lelaki) dan nandao (lelaki dan wanita).

Pada temasya kali ini, wushu yang membuka gelanggang kelmarin, menawarkan keseluruhan 28 pingat emas.

Hari ini, secara keseluruhan sebanyak 27 pingat emas ditawarkan menerusi wushu, taekwondo, berbasikal, boling padang dan boling.

Taekwondo yang membuka tirai saingan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, menawarkan lima pingat emas dalam acara poomsae diikuti dua emas acara berbasikal bagi kategori lepas beramai-ramai individu dan berpasukan wanita di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem.

Dua pingat emas berbasikal ditawarkan bagi kategori lepas beramai-ramai individu dan berpasukan wanita di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem hari ini. – Foto BERNAMA
Dua pingat emas berbasikal ditawarkan bagi kategori lepas beramai-ramai individu dan berpasukan wanita di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem hari ini. – Foto BERNAMA

Semua pelumba yang perlu mengharungi kayuhan sejauh 108 kilometer dilepaskan pada jam 9 pagi.

Selain itu, boling padang mempertaruhkan empat pingat emas dalam acara pairs dan triples lelaki serta singles dan fours wanita di Arena Lawn Bowls Petra Jaya.

SUKMA 2024 menawarkan 488 pingat emas dalam 37 jenis sukan dengan semua acara berlangsung di 50 gelanggang pertandingan di sembilan bahagian negeri Sarawak – Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Lebih 12,000 atlet dari seluruh negara termasuk Brunei mengesahkan penyertaan pada temasya dwitahunan itu.

Sarawak menganjurkan SUKMA buat kali ketiga selepas tahun 1990 dan 2016. – BERNAMA