Azizulhasni sedia bersara, yakin Shah Firdaus teruskan legasi

Kuala Lumpur: Datuk Azizulhasni Awang atau digelar ‘The Pocket Rocketman’ sedia bersara dan mahu seluruh peminat sukan tanah air memberi sokongan padu kepada pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan beberapa pelumba lain selepas ini.

Pengumuman itu dilakukannya ketika ditemubual Astro Arena di Velodrom Saint Quentin en Yveline, di Paris di mana pemenang pingat perak dan gangsa di temasya Olimpik Tokyo 2020 dan Rio 2016 itu dilihat sebak ketika berkongsi perancangan masa depannya selepas ini.

“Shah Firdaus akan meneruskan legasi saya. Ia bukan lagi tentang saya. Saya harap peminat akan berhenti bercakap mengenai saya, ia bukan lagi tentang saya.

ADVERTISING

“Ia tentang kita menyokong dia (Shah Firdaus) dan generasi baru itu. Apa sahaja yang mereka perlukan bantuan saya, saya akan sentiasa berada di sana untuk mereka,” katanya selepas melihat Shah Firdaus hampir memenangi pingat gangsa dalam acara keirin lelaki akhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Begitupun, Shah Firdaus terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi apabila diselekoh terakhir dia dilanggar oleh pelumba Jepun, Shinji Nakano sekali gus gagal menamatkan perlumbaan itu.

“Saya tidak risau untuk berundur, memang saya akan berundur kerana kita ada Shah Firdaus. Melihat perlumbaannya tadi pun memang saya amat kagum, saya gembira untuknya.

“Dia memang sepatutnya menang gangsa tetapi malangnya dia dihimpit oleh pelumba Jepun. Kalau kita lihat kelajuannya, dia memang sepatutnya menang gangsa.

“Tetapi masuk ke selekoh terakhir, nampak pelumba Jepun itu sudah hilang kelajuan dan terdesak sehingga naik ke atas dan menghimpit Shah Firdaus sebelum kedua-dua mereka terjatuh.

“Saya memang menangis melihatnya, saya harap yang terbaik untuknya kerana sayu tahu potensi sebenarnya,” kata Azizulhasni.

Terdahulu, Shah Firdaus yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022, menggalas tugas berat di bahunya selepas Azizulhasni tidak dapat meneruskan saingan.

Ia selepas Azizulhasni dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara keirin akibat kesalahan mendahului pacer.

Dengan perkembangan terkini itu, bermakna tamat sudah perjuangan atlet negara di Paris 2024 sekali gus menyaksikan Malaysia perlu menunggu empat tahun lagi di Los Angeles 2028 (LA28) untuk memburu emas pertama.

Kontinjen negara menamatkan saingan di Paris 2024 dengan meraih dua gangsa dalam sukan badminton menerusi beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain profesional perseorangan negara, Lee Zii Jia.-Harian Metro