Olimpik Paris: Bertrand terkandas di pusingan kelayakan

PETALING JAYA – Harapan penerjun lelaki negara, Bertrand Rhodict Lises untuk mara ke separuh akhir acara 10 meter (m) platform di Sukan Olimpik Paris terkandas apabila hanya menduduki tempat ke-25 dalam pusingan kelayakan yang berlangsung di Pusat Akuatik Saint-Denis sebentar tadi.

Atlet berusia 19 tahun itu, memulakan aksi dengan baik selepas mencatat 66.00 dan 60.80 mata untuk terjunan pertama dan kedua, masing-masing pada darjah kesukaran 3.0 dan 3.2.

Bagaimanapun, Rhodict gagal mengekalkan momentum terjunan apabila mata kutipannya semakin merosot dalam terjunan ketiga hingga kelima dengan catatan mata hanya 49.50, 34.00, dan 37.80.

Meskipun, terjunan terakhir Rhodict kembali stabil dengan kutipan 65.60 mata, tetapi ia tidak cukup untuk melayakkannya berada dalam kelompok 18 terbaik.

Secara keseluruhan, Rhodict mengumpul 313.70 mata, jauh ketinggalan berbanding penerjun China, Cao Yuan yang mengungguli acara dengan 500.15 mata.

Sementara itu, Tamai Rikuto dari Jepun menduduki tempat kedua dengan 497.15 mata, diikuti penerjun Kanada, Weins Rylan yang berada di kedudukan ketiga dengan 485.25 mata.

Seterusnya, separuh akhir 10m platform lelaki dijadualkan berlangsung pada jam 4 petang esok, diikuti dengan pusingan akhir pada jam 9 malam. – KOSMO! ONLINE