Olimpik Paris: Azizulhasni pecah rekod kebangsaan

PETALING JAYA – Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang mempamerkan kayuhan dalam kelas tersendiri apabila berjaya memecah rekod kebangsaan pada pusingan kelayakan acara pecut temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris sebentar tadi.

Azizulhasni berada di kedudukan ke-10 keseluruhan selepas mencatatkan masa 9.402 saat (s) sekali gus berjaya mara ke pusingan 1/32 yang bakal berlangsung pada 8.30 malam ini.

Azizul yang digelar The Pocket Rocketman berjaya memadamkan rekod kebangsaan yang dilakukan pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 dengan catatan masa 9.523s.

Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut mara ke pusingan seterusnya selepas berada di tangga ke-22 keseluruhan ngan catatan 9.635s.

Pada sesi kelayakan yang sama, pelumba Belanda, Harrie Lavreysen memecahkan rekod dunia apabila mencatat masa terpantas kelayakan dengan catatan 9.088s.- KOSMO! ONLINE